ATTENTION !!!

Tuesday, November 23, 2010

1Malaysia Departmental Store

(Post: Bahasa Melayu)
" Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Neguin Group of Companies mempelawa syarikat Malaysia memasarkan produk halal mereka di Iran, menerusi rangkaian perniagaan 1Malaysia Departmental Store (1MDS) yang akan diwujudkan di negara itu. "

Ketua Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin, berkata pihaknya menyasar membuka 11 gedung 1MDS di Iran dalam tempoh lima tahun ini, khususnya di pusat perniagaan dan pusat beli-belah utama di negara itu.

Katanya, 1MDS bakal menjadi platform terbaik bagi syarikat Malaysia untuk meneroka pasaran halal di Iran, yang mana eksport produk dan perkhidmatan halal ke negara itu dianggarkan mencecah RM1.85 bilion dalam tempoh lima tahun.

"1MDS diwujudkan bagi membantu syarikat Malaysia khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempromosi serta memasarkan produk halal di Iran, seterusnya menjadikan negara itu sebagai pintu masuk ke pasaran Asia Barat."

"Menerusi inisiatif ini, syarikat tempatan boleh memasarkan produk dan perkhidmatan halal mereka menerusi Neguin yang akan bertindak sebagai ejen pembeli yang memasarkan produk mereka di Iran," katanya sambil menambah ketika ini ada lebih 3,000 syarikat di negara ini yang mempunyai persijilan halal dengan kebanyakannya adalah PKS.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan kerjasama antara HDC dan Neguin Group mengenai pelancaran 1MDS di Iran, di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Pengarah Eksekutif Neguin Group, Dr Abdul Rahman Bidin.

Menerusi kerjasama itu, katanya, Neguin Group yang berpangkalan di Malaysia akan menyediakan infrastruktur 1MDS, manakala HDC dilantik dalam mengendalikan kursus perniagaan serta pemasaran kepada syarikat tempatan bagi menerokai pasaran Iran dan Asia Barat.

Katanya, gedung 1MDS yang pertama berkeluasan kira-kira 40,000 kaki persegi akan dibuka pada pertengahan 2011 di Tehran Mega Mall, iaitu antara pusat beli-belah terbesar di Iran yang dibangunkan oleh Neguin Group.

"Antara produk dan perkhidmatan yang akan ditawarkan di 1MDS merangkumi makanan dan minuman, kosmetik dan penjagaan kesihatan, pakaian Muslim serta restoran."

"Kami menyasar menarik kira-kira 30 syarikat Malaysia," katanya.

"Setakat ini dua peruncit terbesar negara berkaitan sektor makanan dan minuman mengesahkan pembabitan mereka," katanya.

Katanya, pasaran halal global ketika ini dianggarkan bernilai AS$2.1 trilion merangkumi sektor makanan dan bukan makanan, manakala pasaran halal Iran dianggarkan sebanyak AS$26 bilion.

Sementara itu, Jamil berkata HDC akan menganjurkan seminar bertajuk 'The New Halal Frontier Market - Iran and West Asia' di Matrade, Kuala Lumpur pada 24 dan 25 November ini yang akan disertai kira-kira 350 syarikat PKS.

Beliau berkata, ia akan dihadiri 20 peruncit dan pembeli termasuk perwakilan dari Dewan Perniagaan Iran yang juga akan menjalankan pemadanan produk dan perkhidmatan untuk pasaran Iran.

Katanya, nilai eksport dagangan bernilai RM35 juta dijangka diraih pada akhir misi belian itu dengan nilai jualan eksport sebanyak RM15 juta diperoleh pada program berkenaan.

Sumber: Berita Harian Online
Foto: HDC Global

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::