ATTENTION !!!

Friday, June 4, 2010

Kilang Pellet Pelepah Sawit

(Post: Bahasa Melayu)
" Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengorak satu lagi langkah kejayaan apabila menghasilkan makanan ruminan ternakan berasaskan pelepah kelapa sawit. "

Kilang seumpamanya yang pertama di dunia, mula beroperasi Julai 2008, berjaya menghasilkan dua jenis makanan untuk ternakan iaitu pellet makanan lengkap dan pellet makanan seratus peratus pelepah segar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan ketika melawat kilang tersebut di Felda Bukit Sagu, Kuantan, Pahang, berkata kerajaan berharap kilang ini menjadi perintis kewujudan lebih banyak lagi kilang sedemikian pada masa depan.

Ini kerana pellet, yang dihasilkan menggunakan teknologi Jepun dan Jerman, mendapat permintaan tinggi di pasaran sekarang.

"Malah, pengusaha ternakan dari Kanada dan Korea Selatan juga dilihat berminat dan menyatakan hasrat untuk membeli produk ini," katanya.

Ahmad Maslan berkata kewujudan kilang itu adalah selaras dengan usaha kerajaan bagi meningkatkan jumlah ternakan negara bagi mencapai sasaran 28 peratus untuk pengeluaran daging dan 16 peratus bagi pengeluaran susu menjelang 2010.

"Justeru itu, bekalan makanan ternakan yang bermutu tinggi dan mampu dibekalkan sepanjang tahun dilihat sangat penting bagi memenuhi matlamat itu. Dan kita yakin kilang pellet pelepah sawit ini dapat membantu usaha giat kita menyuburkan lagi sektor penternakan negara ini," katanya.

Keistimewaan Pellet Pelepah Sawit

Pengurus Kilang Oil Palm Frond (OPF) Felda Bukit Sagu, Jamil Md Yasin berkata kilang yang didirikan di Felda Bukit Sagu 2 dibina di kawasan seluas 1.5 hektar melibatkan kos RM14.1 juta.

"Kilang ini menghasilkan pellet untuk ternakan lembu dan kambing, dan sasaran kami ialah menjadi pembekal utama makanan kepada ternakan negara," katanya dalam satu temubual dengan Bernama.

Menurut Jamil, formulasi makanan tersebut dicipta khusus berasaskan kepada keperluan nutrien seperti protein, serabut, lemak dan mineral bagi menjamin pertumbuhan, pembiakan, dan kesihatan ternakan.

"Harganya juga murah iaitu RM30 untuk 40 kilogram (kg) bagi pellet makanan lengkap, dan bagi pellet makanan 100 peratus pelepah sawit segar ialah RM17 untuk 40kg," katanya.

Penternak juga tidak perlu bimbang mengenai had tamat tempoh pellet itu kerana pellet 100 peratus pelepah sawit segar boleh digunakan dalam tempoh dua tahun sementara bagi pellet makanan lengkap bertahan sehingga tiga bulan.

"Makanan lengkap ini dibangunkan khusus bagi memenuhi keperluan nutrien untuk pelbagai peringkat fisiologi dan pengeluaran ternakan, selain ia juga dikenalpasti bebas daripada toksin, faktor anti-pemakanan dan logam berat," katanya.

Hasil kajian mendapati pengambilan pellet sebanyak 7 kilogram (kg) sehari dapat meningkatkan berat badan lembu daging antara 0.8 kg dan 1kg sehari.

Manakala pengambilan makanan sebanyak 14kg sehari untuk lembu tenusu dapat menghasilkan pengeluaran susu sebanyak 21.8kg liter sehari.

Pertambahan berat melebihi 180 gram (g) sehari juga pernah dicapai pada kambing baka boer.

"Perbezaan antara kedua-dua pellet itu adalah pellet makanan 100 peratus pelepah sawit segar ibarat seperti makan nasi tanpa lauk sementara pellet makanan lengkap adalah seperti makan nasi beserta dengan sayur dan lauk," katanya.

Beri Peluang Peneroka Tambah Pendapatan

"Kilang ini mampu mengeluarkan 1,200 tan pellet sebulan menerusi satu shif dan kita punyai tiga shift bekerja," katanya.

Jamil berkata kewujudan kilang itu juga dilihat dapat menambahkan lagi pendapatan peneroka kawasan terbabit.

"Peneroka dapat menjual pelepah kelapa sawit kepada kilang dan harga yang ditawarkan amat berpatutan iaitu RM65 untuk satu tan pelepah kelapa sawit. Sehingga kini kilang ini telah membelanjakan RM93,558 bagi membeli pelepah tersebut daripada peneroka," katanya.

"Setakat ini terdapat 13 pekerja dan majoriti ialah anak peneroka tempatan atau generasi kedua warga Felda," katanya.

Jamil berkata kilang tersebut juga tidak mengalami masalah kekurangan bekalan memandangkan terdapat 17,000 hektar kebun kelapa sawit di Felda Bukit Sagu 1, Bukit Sagu 2, Bukit Goh dan Bukit Kuantan, yang berpotensi menjadi pembekal pelepah sawit.

"Selain itu terdapat seluas 61,000 hektar ladang kelapa sawit di rancangan felda Wilayah Felda Kuantan, jadi kita tidak akan menghadapi masalah mendapatkan bekalan pelepah sawit," katanya.

Sumber: Bernama.com
Foto: blog MBFeldaBukitBading , blog Al-Faqeh , blog KelapaSawitBlitarSelatan

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::