ATTENTION !!!

Wednesday, June 2, 2010

Bertungku di Andak Spa

(Post: Bahasa Melayu)
" Tungku merupakan kaedah rawatan tradisi yang biasanya dikaitkan dengan wanita dalam pantang. Namun ia sebenarnya sesuai dan boleh diamalkan oleh semua orang bagi penjagaan kesihatan dan kesegaran badan. "

Terdapat beberapa jenis tungku seperti tungku batu, tungku pasir herba, tungku bijirin herba, tungku besi, tungku layor (daun dan buah), tungku abu dan tungku garam bukit.

Menurut pemilik Andak Spa yang terletak di Plaza Mahkota, Melaka, Raja Abdul Rahim Raja Hussin atau dipanggil Andak, tungku batu amat popular di kalangan wanita dalam pantang.

Beberapa jenis batu boleh digunakan seperti batu sungai, batu gunung, batu bata merah dan batu kelikir.

"Batu ini dibakar sehingga merah dan dimasukkan ke dalam kain yang berlapikkan daun mengkudu, bunga kantan, halia dan halba. Ia bertujuan mengeluarkan darah beku, mengecutkan peranakan, menghilangkan kebas-kebas kaki serta buasir."

"Tungku pasir pula lebih ringkas. Pelbagai jenis pasir boleh digunakan seperti pasir sungai, pasir laut, campuran lumpur, tanah bukit atau pasir bukit," kata Andak.

Pasir disangai (digoreng tanpa minyak) terlebih dahulu sehingga betul-betul kering. Sediakan kain belacu yang dialas daun pisang, daun mengkudu, lada hitam, hirisan daun pandan dan pucuk kecubung.

Tuang pasir di atas kain dan tuam di bahagian pinggul, bahu, belikat, perut dan tapak kaki. Elok bagi wanita yang mengalami senggugut dan meroyan.

"Tungku bijirin digunakan oleh sesetengah bidan kampung sebagai terapi bersalin, menyusutkan bengkak dan nanah dan boleh dituam di bahagian pinggul."

"Bijirin yang boleh digunakan ialah jagung, kacang hijau, lada hitam, halba, lada ekor, ketumbar, daun kantan, daun pandan, halia bara dan lengkuas," jelasnya.

Beliau menambah, tungku pasir terkenal di negeri-negeri utara, iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Tungku ini dibuat daripada besi dan berbentuk laras. Cara penyediaannya sama juga dengan tungku lain di mana daun kecubung, lengkuas, daun dan kulit limau purut diletakkan di atas kain.

Tungku dipanaskan dan dibungkus dengan kain yang berisi daun-daun tersebut.

Jelas Andak, tungku layor pula menggunakan dua jenis bahan sama ada daun atau buah. Daun yang sesuai ialah daun kantan, lengkuas, mengkudu, jambu batu hutan, sirih, kecubung dan kaduk.

Tungku buah pula menggunakan buah mengkudu.

Daun dan buah dilayorkan (diletakkan di atas api perlahan sehingga daun layu) dan dibungkus dengan sapu tangan.

"Tungku abu amat unik dan sukar diperoleh pada masa kini kerana tidak ramai lagi yang memasak menggunakan kayu api."

"Abu daripada kayu api yang masih suam dibalut dengan daun mengkudu atau kain dan digunakan bagi meredakan bengkak di dahi, bisul, kuping kulit dan mengeringkan kudis," jelas Andak.

Kepada yang ingin mendapatkan rawatan di Andak Spa boleh menghubungi 013-6384099.

Sumber: Utusan Malaysia Online
Foto: Flickr , Intrans Beautyline

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::