ATTENTION !!!

Showing posts with label rawatan tradisional. Show all posts
Showing posts with label rawatan tradisional. Show all posts

Sunday, June 19, 2011

Rawatan Bekam Purba China

(Post: Bahasa Melayu)
" Riak wajah Jiang Feng, 47, dan Wang Li Xiang, 36, seperti sedang bergelut dengan emosi. Sambil membuat pergerakan ala shaolin, tapak tangan kedua-duanya dilalukan di bahagian belakang badan seorang pesakit dalam gerakan perlahan. "

Apabila mereka berhenti di satu bahagian pada tubuh pesakit itu, liang roma permukaan kulit yang ditepuk secara perlahan itu terbuka dengan sendirinya. Sensasi sentuhan atau aura tenaga juga dapat dirasakan oleh pesakit tersebut tanpa kedua-dua lelaki itu membuat sentuhan fizikal.

Sebaik sahaja darah berkumpul di bawah permukaan kulit, cawan khas yang sering digunakan untuk rawatan bekam ditelangkupkan pada permukaan kulit tubuh itu. Dalam kesan vakum itu, darah kotor yang mengandungi toksin disedut keluar secara perlahan-lahan.

Tanpa ditusuk dengan sebatang jarum arau torehan pisau kecil, darah kotor mengalir keluar dari tubuh pesakit.

Jiang Feng dan Li Xiang menggunakan tenaga dalaman mereka yang tinggi untuk menyempurnakan proses tersebut.

Itulah kelebihan rawatan bekam yang menggunakan teknik chi gong. Bagi masyarakat Malaysia, terapi chi gong pasti kedengaran asing tetapi ia adalah rawatan tradisional purba itu diamalkan sejak beribu-ribu tahun lalu itu di China.

Kedua-dua ahli terapi itu berasal dari wilayah Anhui yang terletak di timur China. Di wilayah berkenaan, kanak-kanak didedahkan dengan kemahiran menggunakan chi sejak kecil.

Bagi mendalami ilmu tersebut ia memakan masa bertahun-tahun malah tidak semua orang mempunyai kelebihan tersebut.

Chi secara teori yang mudah difahami ialah tenaga yang mengalir di sekeliling kita, manakala terapi chi gong pula menggunakan tenaga itu yang dimanipulasi menjadi getaran atau aliran elektrik yang dialirkan melalui titik-titik meridien di dalam badan manusia bagi memulihkan kesihatan.

Agak sukar menjelaskan tentang kemampuan seseorang itu memiliki kuasa yang dapat mengalirkan tenaga di dalam dirinya sehingga getarannya dapat dirasai oleh pesakit.

Dengan teknik pernafasan, aktiviti fizikal dan minda yang tepat, rawatan bersifat kerohanian itu diakui berkesan membantu penyembuhan pelbagai jenis penyakit.

Menurut Jiang Feng, tidak seperti rawatan bekam lain yang mengeluarkan darah kotor di bawah permukaan kulit untuk merawat penyakit-penyakit kecil, bekam chi gong menyasarkan sokongan proses penyembuhan penyakit-penyakit biasa dan kronik. Antaranya termasuklah penyakit jantung, buah pinggang dan kanser.

"Menerusi tenaga chi, toksin di dalam darah pesakit didorong untuk berkumpul di satu titik meridien yang tepat iaitu di kawasan badan pesakit yang berpenyakit."

"Walaupun tanpa cawan bekam, darah kotor akan mengalir keluar tetapi penggunaan cawan bekam adalah bagi mempercepatkan proses menyedut keluar darah kotor yang berkumpul di bawah permukaan kulit pesakit," katanya yang berpengalaman selama tiga dekad dalam bidang tersebut.

Menurut beliau, sesiapapun boleh menjalani rawatan jika badan mereka dapat menerima tenaga chi daripada pengamal perubatan. Bagaimanapun, ia tidak digalakkan untuk dilakukan kepada kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun.

"Pengamal perubatan akan menjalankan diagnosis untuk menentukan sama ada pesakit sesuai menjalani rawatan ini atau sebaliknya."

"Ketika chi dialirkan ke dalam badan pesakit melalui titik meridien semasa proses diagnosis dijalankan, bahagian badan yang terjejas dapat dikenal pasti," katanya ketika ditemui di kliniknya.

Tambahnya, kelebihan rawatan chi gong ialah ia dapat mengesan sesuatu penyakit yang cenderung menyerang seseorang pesakit walaupun ia tidak dapat dikesan oleh teknik perubatan moden hari ini.

"Sekiranya mereka yang sihat melakukan rawatan ini, ia dapat menguatkan imunisasi badan dan bertindak sebagai penghalang penyakit, manakala bagi mereka yang menjalani rawatan ini, ia adalah pilihan alternatif untuk membantu mempercepatkan proses menyembuhan," katanya.

Mengeluarkan toksin

Sementara itu, Li Xiang memberitahu, hanya pengamal perubatan chi gong di peringkat master mempunyai kelebihan merawat penyakit kronik seperti sakit jantung dan kanser.

"Toksin disimpan di dalam badan akan menjadi racun. Semakin lama dibiarkan, semakin sukar dan lambat untuk pulih. Tetapi apabila ia dikeluarkan, secara semula jadi dan perlahan-lahan ia dapat membantu penyembuhan pesakit atau memanjangkan jangka hayat pesakit."

"Tubuh badan setiap manusia juga sebenarnya mempunyai chi dan ia juga merupakan salah satu tenaga yang dapat digabungkan dengan tenaga chi daripada pengamal perubatan semasa menjalankan rawatan," katanya.

Tambahnya, proses rawatan bergantung kepada jenis penyakit dan kekuatan badan untuk menerima tenaga chi daripada pengamal perubatan.

"Untuk satu-satu proses selalunya ia memakan masa selama lebih kurang 30 minit tetapi bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik, rawatan susulan mungkin diperlukan," katanya.

Jiang Feng dan Li Xiang adalah pengamal perubatan chi gong di Chi-Gong Healing Incorporated Sdn. Bhd. yang terletak di Damansara Heights, Kuala Lumpur.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, June 2, 2010

Bertungku di Andak Spa

(Post: Bahasa Melayu)
" Tungku merupakan kaedah rawatan tradisi yang biasanya dikaitkan dengan wanita dalam pantang. Namun ia sebenarnya sesuai dan boleh diamalkan oleh semua orang bagi penjagaan kesihatan dan kesegaran badan. "

Terdapat beberapa jenis tungku seperti tungku batu, tungku pasir herba, tungku bijirin herba, tungku besi, tungku layor (daun dan buah), tungku abu dan tungku garam bukit.

Menurut pemilik Andak Spa yang terletak di Plaza Mahkota, Melaka, Raja Abdul Rahim Raja Hussin atau dipanggil Andak, tungku batu amat popular di kalangan wanita dalam pantang.

Beberapa jenis batu boleh digunakan seperti batu sungai, batu gunung, batu bata merah dan batu kelikir.

"Batu ini dibakar sehingga merah dan dimasukkan ke dalam kain yang berlapikkan daun mengkudu, bunga kantan, halia dan halba. Ia bertujuan mengeluarkan darah beku, mengecutkan peranakan, menghilangkan kebas-kebas kaki serta buasir."

"Tungku pasir pula lebih ringkas. Pelbagai jenis pasir boleh digunakan seperti pasir sungai, pasir laut, campuran lumpur, tanah bukit atau pasir bukit," kata Andak.

Pasir disangai (digoreng tanpa minyak) terlebih dahulu sehingga betul-betul kering. Sediakan kain belacu yang dialas daun pisang, daun mengkudu, lada hitam, hirisan daun pandan dan pucuk kecubung.

Tuang pasir di atas kain dan tuam di bahagian pinggul, bahu, belikat, perut dan tapak kaki. Elok bagi wanita yang mengalami senggugut dan meroyan.

"Tungku bijirin digunakan oleh sesetengah bidan kampung sebagai terapi bersalin, menyusutkan bengkak dan nanah dan boleh dituam di bahagian pinggul."

"Bijirin yang boleh digunakan ialah jagung, kacang hijau, lada hitam, halba, lada ekor, ketumbar, daun kantan, daun pandan, halia bara dan lengkuas," jelasnya.

Beliau menambah, tungku pasir terkenal di negeri-negeri utara, iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Tungku ini dibuat daripada besi dan berbentuk laras. Cara penyediaannya sama juga dengan tungku lain di mana daun kecubung, lengkuas, daun dan kulit limau purut diletakkan di atas kain.

Tungku dipanaskan dan dibungkus dengan kain yang berisi daun-daun tersebut.

Jelas Andak, tungku layor pula menggunakan dua jenis bahan sama ada daun atau buah. Daun yang sesuai ialah daun kantan, lengkuas, mengkudu, jambu batu hutan, sirih, kecubung dan kaduk.

Tungku buah pula menggunakan buah mengkudu.

Daun dan buah dilayorkan (diletakkan di atas api perlahan sehingga daun layu) dan dibungkus dengan sapu tangan.

"Tungku abu amat unik dan sukar diperoleh pada masa kini kerana tidak ramai lagi yang memasak menggunakan kayu api."

"Abu daripada kayu api yang masih suam dibalut dengan daun mengkudu atau kain dan digunakan bagi meredakan bengkak di dahi, bisul, kuping kulit dan mengeringkan kudis," jelas Andak.

Kepada yang ingin mendapatkan rawatan di Andak Spa boleh menghubungi 013-6384099.

Sumber: Utusan Malaysia Online
Foto: Flickr , Intrans Beautyline

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::