ATTENTION !!!

Monday, May 10, 2010

Antena Seramik Universiti Sains Malaysia

(Post: Bahasa Melayu)
" Bahan seramik yang sebelum ini digunakan bagi menghasilkan perkakasan makanan seperti pinggan dan cawan kini berpotensi dijadikan sebagai antena dielektrik berprestasi tinggi bagi telekomunikasi tanpa wayar. "

Ia hasil penyelidikan saintis Universiti Sains Malaysia (USM) yang menggabungkan kepakaran dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM).

Berukuran seperti sebiji butang, antena penyalun (resonator) dielektrik ini boleh diaplikasikan pada frekuensi dan sistem yang berlainan seperti WiFi, Wireless Bridge, WiMax, Radar dan sensor wayarles.

Diketuai oleh Dr. Mohd. Fadzil Ain dari PPKEE, beliau dibantu tiga penyelidik dari PPKBSM iaitu Profesor Zainal Arifin Ahmad, Profesor Madya Sabar Hutagalung dan Mohd. Arif Sulaiman.

Binaan antena ini juga cukup ringkas. Antena seramik dipasang di atas papan litar (PCB), manakala dawai kuprum pula bertindak menghubungkan aliran dari antena ini ke bahagian kepala penyambung.

"Walau kecil berbanding antena logam, produk ini terbukti boleh menambahkan jarak pemancaran daripada produk sedia ada dan mempunyai kapasiti lebar jalur yang luas serta kecekapan sinaran yang tinggi."

"Ujian telah dilakukan pada sistem WLAN beroperasi pada frekuensi 2.5 GHz dan sistem Wireless Bridge beroperasi pada 5.8 GHz menyaksikan pertambahan jarak pancaran 25 meter berbanding antena biasa," ujarnya.

Pada sidang media di Kampus USM Pulau Pinang baru-baru ini, Mohd. Fadzil memberitahu antena penyalun dieletrik menggunakan bahan seramik itu berupaya menggantikan bahan antena konvensional menggunakan logam.

Seramik ini dihasilkan daripada bahan asas iaitu titanium oksida, kuprum oksida dan kalsium karbonat yang diproses secara makmal sebelum dipasang pada papan litar dengan jalur penyuap kuprum bagi menghasilkan antena.

"Kelebihan utama antena penyalun dielektrik ini adalah kebolehubahannya yang tinggi membenarkannya memenuhi pelbagai syarat fizikal atau elektrik untuk aplikasi sistem komunikasi."

"Ia berpotensi digunakan dalam pelbagai sistem komunikasi tanpa wayar dan membolehkan pembekal perkhidmatan telekomunikasi menawarkan perkhidmatan tanpa perlu membina menara telekomunikasi seperti sedia ada," jelasnya.

Selain 100 peratus produk rekaan tempatan, faktor lain yang menyumbang kepada penggunaan antena jenis ini adalah disebabkan harga binaan yang murah untuk penyalun dilektrik iaitu kira-kira RM2 sahaja (mengikut harga makmal).

Penyelidikan yang bermula pada tahun 2005 menerusi geran penyelidikan Kementerian Pengajian Tinggi (FRGS) berjumlah RM100,000 ini telah memenangi tujuh anugerah inovasi dan penciptaan di dalam dan luar negara.

Antaranya, pingat emas Malaysia Technology Expo 2008, Seoul International Invention Fair 2008 di Korea (emas), International Trade Fair IENA 2009 di Jerman (emas) dan Anugerah Perak pada Pameran Inovasi Pecipta 2009 di Kuala Lumpur.

Mohd. Fadzil memberitahu, penyelidikan mendalam masih lagi dijalankan melalui pembiayaan terkini geran FRGS sebanyak RM40,000. Ia digunakan untuk kajian peningkatan upaya antena ini bagi kegunaan komersil.

"Walaupun penyelidikan sama telah dijalankan oleh universiti tempatan lain, tetapi USM adalah yang pertama menjalankan penyelidikan ini."

"Rancangan penyelidikan kita selepas ini ialah meningkatkan keupayaan antena ini bagi pancaran berkuasa tinggi misalnya bagi menggantikan cakera logam seperti yang digunakan oleh stesen televisyen berbayar sekarang."

"Mungkin antena ini boleh dipasang pada kenderaan untuk menerima pancaran siaran televisyen tersebut dan kami yakin ia tidak mustahil untuk dibangunkan suatu masa nanti," ujar Mohd. Fadzil.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::