ATTENTION !!!

Wednesday, October 14, 2009

Kartunis Ram

(Post: Bahasa Melayu)
"Permulaan bekerja di majalah Humor memberi latihan yang baik untuk saya kerana di situ kami perlu hasilkan kartun tanpa dialog. Apabila kurang dialog, seseorang kartunis perlu lebih menekankan kepada aspek ilustrasi. Sebagai orang baru, mentor seperti Lee Inas, Don dan Fatah banyak memberi tunjuk ajar."

Cuti sakit akibat demam campak rupa-rupanya membuka jalan personaliti ini mencipta nama dalam dunia kartunis.

Ketika itu, tempoh bercuti yang agak panjang dimanfaatkan Ramzahurin Noutwil atau Ram dengan menghantar karya kepada majalah Gila-Gila.

Tidak disangka-sangka, walaupun kali pertama mencuba nasib, karya Ram disiarkan dalam majalah humor popular itu.

Minat dalam bidang kartun tercetus dalam diri ketika majalah Gila-Gila berada di puncak populariti. Seperti kebanyakan remaja lain pada era itu, Ram adalah antara peminat setia majalah Gila-Gila.

"Bakat melukis saya boleh dikatakan ada, tapi tidaklah hebat sangat. Tapi kerana kesukaan terhadap kartun dalam majalah itulah yang membuatkan saya mengasah bakat melukis kartun sedikit demi sedikit," kata Ram yang popular dengan siri Cerita-Cerita Pak Johar, Mat Kuyup dan Don Parasit.

Menceritakan soal karya sulung yang tersiar di Gila-Gila, Ram berkata, karyanya itu terpilih untuk disiarkan dalam ruangan bakat baru. Kolum ini kata Ram, menjadi kolum impian semua orang yang mahu kartunis. Sebaik karyanya tersiar, Ram terus menyumbang kartunnya kepada majalah Gila-Gila.

Terus bercerita, Ram berkata, mungkin sudah rezekinya, pada suatu hari, beliau dipanggil pengurusan Creative Enterprise untuk menghadiri sesi temu duga sebagai kartunis untuk majalah Humor. Tawaran ini nyata tidak dipersiakan Ram.

"Saya masih ingat membawa semua karya kartun termasuk yang dihasilkan ketika saya demam campak sewaktu ditemu duga menjadi kartunis."

"Saya tidak pernah terfikir cita-cita menjadi kartunis akan menjadi realiti. Tetapi, apabila saya menghasilkan karya awal-awal dulu, saya tahu saya mampu melakukannya malah meletakkan harapan supaya karya saya diterima," katanya mengimbau kenangan silam menjadi kartunis.

Antara kartunis yang disukainya dulu termasuklah Lat, Kerengge dan Lee Inas kerana dalam karya mereka banyak peristiwa yang ditampilkan seolah berkaitan dengan diri sendiri selain timbul rasa gembira setiap kali membaca karya mereka.

Katanya lagi, "Saya bukannya jenis orang yang mudah memperoleh idea. Oleh itu, saya terpaksa buat banyak benda untuk menjana idea. Biasanya, saya akan cuba mendapatkannya menerusi pembacaan, selalunya melalui akhbar."

"Saya akan gunakan isu semasa yang ada dalam akhbar, olah sedikit dan paparkan dalam karya. Kadangkala apa yang kita nak suarakan kepada orang ramai kita boleh selitkan dalam karya."

"Apabila diperhatikan sekarang, kebanyakan generasi kartunis baru cenderung mengikut gaya kartun luar negara. Bukannya tidak boleh, saya pun baca juga kartun dan komik dari Jepun."

"Tapi, mengapa perlu mengikut cara mereka sedangkan kita mempunyai ciri, gaya dan identiti kita sendiri. Kita boleh contohi teknik, teknologi dan kemajuan mereka dalam industri ini tapi keaslian karya masih perlu dijaga."

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

1 comments:

SatuJutaIdea October 23, 2009 at 12:58 AM  

Majalah2 humor yg pernah popular termasuklah Gila-Gila, Ujang, Humor, Lanun dan Apo?

Melalui majalah2 ni telah menonjonlkan ramai kartunis berbakat di Malaysia.

Syabas diucapkan dan semoga teruskan berkarya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::