ATTENTION !!!

Monday, September 28, 2009

Serai Satay Bar

(Post: Bahasa Melayu)
"Bisnes yang diusahakannya bukan berkaitan dengan kecantikan yang secara tipikalnya diusahakan oleh golongan wanita seperti membuka butik atau salon sebaliknya bisnes makanan."

Di sebalik kemewahan Pavilion di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang diperakui setaraf gedung beli-belah tujuh bintang, Fifth Avenue di New York, ada cerita yang menarik untuk dikongsi bersama.

Ia bukan mengenai keseronokan membeli-belah barangan berjenama elit seperti Bvlgari, Versace, Gucci, Chopard, Burberry Prosum, Hermès atau Prada tetapi tentang kejayaan anak Malaysia atau lebih khusus, anak Melayu bertapak di situ sebagai penggiat bisnes.

Memperkenalkan diri sebagai Qistina Taff, 28, sosok dirinya lebih memperlihatkan visual tipikal seorang gadis remaja urban yang datang ke Pavilion dengan satu matlamat - membeli-belah!

Namun, tersirat di sebalik pandangan skeptikal terhadap Qistina, gadis cantik ini sebenarnya ialah pemilik Serai Satay Bar.

Penglibatan Qistina dalam dunia bisnes merupakan suatu perkara yang serius pernah berlaku dalam hidupnya.

Apatah lagi bisnes yang dijalankannya itu ialah di Pavilion. Bukan calang-calang orang yang berani membuka perniagaan di situ.

Di Serai Satay Bar, menu utama yang ditampilkan ialah sate yang dihidangkan mengikut konsep baru iaitu di dalam cawan kertas yang mudah dibawa ke mana sahaja.

Ia turut menyediakan pelbagai makanan tradisional Melayu seperti keropok lekor, keropok ikan, cucur udang, roti bom, roti jala, di samping menu istimewanya, pisang panggang berkeju atau coklat cip dan pisang goreng yang dicelup vanila atau sambal.

"Ketika sedang tercari-cari lokasi bagi merealisasikan idea untuk menjelmakan Serai Satay Bar, Pavilion menawarkan ruang niaganya," tutur Qistina.

"Saya sangat gembira kerana Pavilion menyediakan platform yang sangat baik bagi sasaran bisnes iaitu pendedahan yang meluas kepada pelancong asing dan tempatan, golongan profesional muda, golongan berkeluarga yang muda dan trendy - secara keseluruhannya golongan yang mahukan konsep baru dalam menikmati makanan tradisional Melayu yang selama ini lebih banyak dijual di tepi-tepi jalan," tambahnya ketika ditemui di ruang bisnesnya yang terletak di tingkat 1, Pavilion yang dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam.

Namun, tidak semudah yang dijangka, cabaran sengit kemudian mendatangi Qistina.

"Timbul masalah dari segi teknikal atau operasi. Saya sangat kecewa apabila pihak pengurusan Pavilion tiba-tiba memberitahu ruang yang ditawarkan sebelum ini tidak bersesuaian dengan konsep operasi Serai Satay Bar."

"Alhamdulillah, selepas beberapa sesi perbincangan, saya diberikan ruang niaga yang lebih baik kedudukannya cuma sewanya lebih mahal."

"Bagaimanapun, selepas mengkaji semula pelan bisnes dan dengan sokongan ibu dan bapa, saya bercadang meneruskan projek bisnes sulung saya ini."

Satu cabaran telah diatasi, namun cabaran lain dan yang paling besar pula menjelma.

"Saya hanya ada di antara tiga hingga empat bulan untuk menghasilkan reka bentuk bagi hidangan menu di Serai Satay Bar."

"Prosesnya sangat memeritkan kerana ia pertama kali diperkenalkan di dunia - bagi memastikan keselesaan bakal pelanggan kami beradaptasi dengan konsep baru yang menyenangkan mereka untuk menikmati produk Serai Satay Bar di mana-mana sahaja."

"Pada peringkat ini, timbul tekanan antara saya, pereka bentuk dan pengilang kerana semua reka bentuk yang dihasilkan itu adalah eksklusif untuk Serai Satay Bar dan telah dipatenkan," jelas graduan jurusan Rekaan Hiasan Dalaman Universiti RMIT, Melbourne, Australia.

Menurut Qistina lagi, yang paling mencabar adalah untuk menyiapkan segala kelengkapan sebelum diwajibkan oleh pengurusan Pavilion memulakan bisnes bermula pada 30 April 2009.

"Percaya atau tidak, semua kelengkapan Serai Satay Bar dihantar oleh pengilang tiga hari sebelum hari pelancaran!"

"Ia agak mengujakan. Malah ada pelanggan dari negara asing memberitahu saya kenapa tidak buka francais Serai Satay Bar di negara mereka."

"Namun bagi saya, biarlah saya memantapkan operasi Serai Satay Bar di Malaysia terlebih dahulu."

"Cabaran saya sekarang ini ialah bagaimana mahu mengikut jejak langkah ibu yang berjaya dengan bisnes restorannya," ujar Qistina.

Sebagai anak sulung pasangan Rina Abdullah dan Shahryir Taff, Qistina mengakui dia berasa perlu memikul tanggungjawab untuk menyambung bisnes keluarga.

Keluarga Qistina sebenarnya telah membuka sebuah restoran makanan Thailand di Seksyen 3, Shah Alam yang dikenali sebagai Restoran Serai Thai sejak tahun 1989.

"Ibu dan bapa saya sudah lama bercadang untuk mengangkat produk makanan tradisional Melayu yang dijual di jalanan ke tahap antarabangsa, tetapi mereka belum mendapat peluang."

"Sekembalinya saya daripada belajar di Australia pada 2006, saya mahu melakukan sesuatu bagi mengembangkan lagi bisnes di bawah jenama Serai."

"Selepas siri perbincangan dan penyelidikan, akhirnya muncul idea untuk membuka Serai Satay Bar," beritahu Qistina.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::