ATTENTION !!!

Tuesday, September 29, 2009

Hobi Kapal Terbang Miniatur

(Post: Bahasa Melayu)
"Pemilik blog AirPlaneModel itu juga mempamerkan sebahagian daripada koleksinya di dalam blog. Menerusi blog tersebut, orang ramai yang berminat boleh membeli kapal terbang miniatur yang mereka minati."

Deretan model kapal terbang miniatur yang tersusun di atas rak itu membuatkan sesiapa yang melihat berasa teruja.

Di sebuah bilik kecil tingkat bawah rumah Ahmad Nor Azlie Ramli, 29, terdapat lebih 50 himpunan model miniatur tersebut.

Azlie pernah memasang cita-cita untuk menjadi seorang juruterbang. Namun, impian itu tidak kesampaian. Bagaimanapun, minat beliau masih kekal dan terzahir menerusi koleksi miniatur kapal terbangnya.

Azlie berkata, dia mula giat mengumpul model kapal terbang sejak tahun 2007.

"Pada tahun tersebut, sebagai seorang jurutera, saya mempunyai banyak projek yang dijalankan dengan Malaysia Airlines System (MAS) dan sering berulang alik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang."

"Saya mendapat akses ke bahagian lapangan dan dapat melihat kapal terbang pada jarak dekat. Sejak itu saya semakin obses kepada kapal terbang," katanya.

Model-model kapal terbang yang dimilikinya dibeli di kedai permainan sekitar Kuala Lumpur dan di KLIA.

"Pada mulanya saya beli model kapal terbang yang diperbuat daripada plastik ini pada harga RM29.90 dari sebuah kedai permainan. Bila saya letak dalam kereta, model itu mula rosak dan cair bila suhu terlampau panas."

"Koleksi terbaru saya kebanyakannya dihasilkan daripada besi 100 peratus dan dijual pada harga di antara RM49.90 hingga RM200," katanya.

Selain daripada model kapal terbang MAS dan AirAsia, Azli mempunyai koleksi model lain seperti Korean Air, KLM, British Airways, Egypt Air, Lion Air, Indian Airlines, Garuda, Thai Airways, Singapore Airlines, American Airlines, Air Canada dan banyak lagi.

Menurut pemilik blog AirPlaneModel ini, ada di antara himpunan kapal terbang miniaturnya telah diberikan kepada teman-teman dan ada yang telah dijual.

"Bila orang datang rumah kadang-kadang mereka suka koleksi saya. Saya beri kepada mereka sebagai cenderamata."

"Kalau diikutkan hati memanglah sayang tapi benda ini boleh dibeli lagi," katanya.

"Mengumpul model kapal terbang ini adalah sebahagian daripada hobi saya. Buat apa saya nak jual pada harga yang lebih mahal."

"Jika ada yang berminat dan ingin membeli, harganya adalah sama dengan harga saya membeli model itu," katanya.

Azlie berkata, dia mengikuti setiap perkembangan MAS dan mengetahui dengan terperinci hampir kesemua pesawat yang digunakan oleh MAS. Dia begitu mengagumi MAS kerana kualiti, pencapaian dan khidmatnya yang bertaraf antarabangsa.

Azlie juga tahu banyak aspek mengenai kapal terbang termasuk mengumpul artikel dan foto.

Permainan simulator kapal terbang merupakan antara koleksi pelengkap kepada minatnya itu.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::