MadMonkeyz Climbing Gym
(Post: Bahasa Melayu)
"Baru sahaja dibuka secara rasminya pada 30 April 2009, MadMonkeyz Climbing Gym ternyata mempunyai aura tersendiri. Buktinya, walaupun usianya masih terlalu hijau, namun lebih daripada 250 orang pelanggan sudah pun mengunjungi dan 'beraksi' di sana."
Tidak seperti gimnasium biasa, MadMonkeyz Climbing Gym tampil dengan kelainan konsep tersendiri yang mampu menarik minat individu yang gemar dan aktif dalam sukan mendaki tebing atau rock climbing.
Menurut salah seorang pemilik gim itu, Lok Hon San, idea menubuhkan MadMonkeyz Climbing Gym dicetuskan oleh rakan kongsinya, Wong Shi Wen yang merupakan seorang pendaki tebing profesional di Malaysia.
"Beliau mendapat idea menubuhkan MadMonkeyz Climbing Gym ini setelah melihat gim di negara-negara Asia lain seperti Korea, Jepun dan China yang lebih berkonsepkan santai serta terbuka."
"Tanpa sebarang peralatan senaman moden tetapi hanya ruang untuk mendaki disediakan, ia menjadikan gim ini begitu istimewa di Malaysia," kata Hon San.
MadMonkeyz Climbing Gym dimiliki oleh syarikat AGC Sports & Equipment Sdn. Bhd.
Di samping itu, Hon San yang turut aktif dalam sukan mendaki tebing di negara ini memberitahu, selain menyediakan perkhidmatan mengajar cara-cara memanjat dan mendaki tebing, mereka turut menjual barang atau peralatan untuk memanjat di gim tersebut.
"Memang kami masih terlalu baru dalam industri gim di Malaysia. Tetapi, apa yang menggembirakan ialah komuniti sukan mendaki di Malaysia sudah mengetahui mengenai gim ini."
"Malah, mereka memberi respons positif di atas penubuhan MadMonkeyz Climbing Gym dan memberi sokongan dengan berkunjung serta berlatih mendaki tebing di sini," ujar pemuda berusia 27 tahun itu sambil menjelaskan bahawa pemilihan nama MadMonkeyz untuk gim tersebut dipengaruhi feng-shui.
Bagi anda yang baru memulakan aktiviti ini, MadMonkeyz Climbing Gym menyediakan ruang khas untuk mereka belajar mendaki dan memahami peringkat awal teknik-teknik pendakian di aras satu premis tersebut.
Aras dua pula menempatkan ruang untuk mereka yang telah mahir dan mahukan cabaran dalam sukan mendaki dalaman kerana reka bentuknya lebih mencabar ketahanan diri.
Selain itu, pihak pengurusan gim juga menyediakan ruang istirehat untuk pelanggan yang mahu melepaskan penat selepas memanjat batu-batu berwarna-warni yang terdapat di situ.
Tidak ketinggalan, di aras satu gim tersebut terdapat lokar yang mempamerkan peralatan yang diperlukan dalam sukan mendaki dalaman mahupun luaran seperti tali, kasut, beg kapur, beg, seluar yang bersesuaian dan peralatan lain.
Salah seorang tenaga pengajar, Mohd. Khairuddin Haja, 30, berkata, antara perkara menarik jika anda mahu belajar mendaki atau memanjat di sana ialah tahap keselamatan yang terjamin.
"Di gim ini, anda tidak perlu risau langsung mengenai keselamatan. Tetapi ia bukanlah bermakna kami tidak menitikberatkan keselamatan pelanggan. Risiko untuk cedera jika mendaki di gim ini amat rendah."
"Ini kerana kami menyediakan tilam lembut untuk menahan sesiapa yang terjatuh ketika berlatih memanjat batu. Dengan adanya tilam tersebut, tiada siapa yang akan tercedera meskipun terjatuh dari bahagian atas bumbung memanjat," kata Khairuddin yang berpengalaman lebih daripada 10 tahun dalam sukan lasak ini.
INFO:
MadMonkeyz Climbing Gym
19-1 & 19-2, Jalan Metro Wangsa,
Seksyen 2, Wangsa Maju,
53300 Setapak, Kuala Lumpur
Tel: 03-41420698
Fax: 03-41420697
Waktu operasi:
Isnin - Jumaat: 2 petang - 11 malam
Sabtu, Ahad & cuti umum: 10 pagi - 7 malam
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment