ATTENTION !!!

Wednesday, June 17, 2009

Jeruk Beremi Persatuan Nelayan Kuala Kedah

(Post: Bahasa Melayu)
"Tumbuhan ini dibeli daripada nelayan yang mengutipnya di persisir pantai sebelum diproses oleh Persatuan Nelayan Kuala Kedah. Dengan cara itu nelayan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan di laut untuk menyara keluarga."

Siapa sangka pokok yang hidup meliar di persisiran pantai dan tidak diendahkan mampu memberi pelbagai khasiat kepada manusia dengan menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Lebih menarik pokok yang tumbuh meliar di dalam air dan atas tanah itu dikatakan mampu menghilangkan ketagihan merokok selain dapat menyembuhkan asma.

Portulaca atau lebih dikenali sebagai pokok beremi sebelum ini dijadikan ulam yang diyakini dapat memberi pelbagai khasiat di kalangan nenek moyang kita yang tinggal berhampiran laut.

Namun, peredaran zaman telah melenyap dan melupakan kita kepada khasiat warisan itu.

Menyedari hakikat itu, Pengurus Persatuan Nelayan Kuala Kedah, Mohd. Rosli Ismail, mengambil inisiatif untuk mengkaji khasiat sebenar tumbuhan tersebut sebelum mempopularkan semula pokok beremi.

Melalui kajian yang dilakukan selama tiga tahun, akhirnya sejenis produk yang dinamakan jeruk beremi dihasil dan dipasarkan melalui agensi kerajaan dan swasta.

Penyelidikan itu juga mendapat sokongan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut Mohd. Rosli, 56, projek menghasilkan jeruk daripada pokok beremi itu juga merupakan inisiatif Persatuan Nelayan Kuala Kedah untuk menambahkan pendapatan para nelayan.

"Pokok beremi memang kaya dengan khasiat dan tanaman ini pula banyak tumbuh di sekitar kawasan pesisir pantai di sekitar Kuala Kedah."

"Dengan menggunakan kekayaan alam semula jadi yang ada produk itu boleh menjana sumber pendapatan sampingan kepada para nelayan," katanya.

Jelasnya, idea menghasilkan produk berkenaan wujud sejak dia melihat orang tua di kampungnya mengutip pokok beremi atau lebih dikenali dengan nama pucuk sepit atau pokok remilang untuk dijadikan ulam-ulaman.

"Saya ada juga mendengar cerita daripada mulut ke mulut tentang khasiat pokok beremi terutama keberkesanan pokok ini untuk menyembuhkan penyakit," ujarnya.

Setelah dikaji secara mendalam, beliau mendapati pokok beremi mempunyai khasiat yang baik dalam merawat penyakit pada paru-paru, asma dan menghilangkan ketagihan merokok.

Katanya, memandangkan pokok beremi mudah layu dan rosak seperti sayur-sayur yang lain, beliau memutuskan untuk mengawet tanaman itu sebelum dijual.

Dengan menjadikan pokok beremi sebagai jeruk beliau dapat mengekalkan nutrien sebenar pokok itu dalam jangka masa yang lebih panjang.

Beliau memberitahu, pokok beremi diawet dengan menggunakan bahan seperti cuka, garam serta gula dan melalui proses menjeruk. Ia dapat mengekalkan kerangupan, tekstur dan rasa tumbuhan ini seperti asal.

Jelas Mohd. Rosli, sehingga kini seramai 20 nelayan terlibat dengan proses mengutip pokok beremi dan pihaknya yakin bilangan itu akan bertambah jika produk berkenaan mendapat sambutan.

"Bagi orang ramai yang ingin mencuba jeruk beremi ini mereka boleh mendapatkannya di Persatuan Nelayan Kuala Kedah atau membelinya di cawangan HPA Sdn. Bhd. yang turut memasarkan produk ini," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::