ATTENTION !!!

Sunday, May 24, 2009

Replika Kapal Bajau Hiasan

(Post: Bahasa Melayu)
"Mengambil masa setengah hari bagi menyiapkan sebuah model kapal, secara purata, Sarang mampu menghasilkan 50 kapal sebulan."

Hiasan kapal mungkin disifatkan antara bahan hiasan klasik kerana mampu bertahan sejak sekian lamanya. Malah, tidak ramai yang tahu hiasan kapal ini mempunyai kumpulan pengikut atau peminatnya tersendiri.

Satu ketika dulu, replika kapal kecil dalam botol dianggap antara koleksi eksklusif seiring dengan hobi popular waktu itu, mengumpul model kapal kayu dan logam.

Keunikannya terletak pada statusnya yang bukan hiasan biasa, tetapi unik dan menarik kerana memaparkan perincian serta kesukaran menghasilkannya.

Bagi pengusaha kraf dari Sabah, Mohd Sarang Manjalang, kapal sebagai simbol perjuangan lampau, kemakmuran dan lambang rezeki melimpah ruah.

Kekagumannya terhadap pengangkutan yang begitu tersohor sejak beratus-ratus tahun lalu itu diabadikan melalui penghasilan replika khusus bagi hiasan sudut atau dinding, malah ada antaranya dijadikan bekas meletak pen dan gambar.

"Saya tertarik replika kapal kerana ia adalah pengangkutan tradisi kaum Bajau untuk berdagang dan mengembara," katanya yang berpengalaman 20 tahun berkarya membuat kapal mini.

Replika dibentuk menggunakan kayu ngeri berpandukan kelebihan cirinya iaitu keras, tahan lasak, mudah diukir, selain lebih berkilat apabila disapu barnis.

"Selama ini kayu itu digunakan untuk membuat replika kapal. Saya belum malah tidak berhasrat mencuba spesies kayu lain," katanya yang menghasilkannya berdasarkan permintaan dan tempahan khas.

Kebanyakan kapalnya menonjolkan motif tumbuhan dengan badannya dicat hitam dan coklat, kata Sarang, rekaan ini digemari pelanggan dan sesuai menghiasi sebarang gaya kediaman.

"Membuatnya tidak susah sekiranya mempunyai minat, bakat dan kemahiran. Selain mendapat gambaran bentuk melalui cerita orang tua-tua, saya banyak menggunakan imaginasi untuk binaan dan struktur yang lebih jelas," katanya yang berazam meneruskan usaha mengembangkan seni kraf itu untuk tatapan generasi akan datang.

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::