ATTENTION !!!

Tuesday, March 31, 2009

Tokei Kerepek Ubi Kayu

(Post: Bahasa Melayu)
"Kejayaan usahawan ini bukannya datang bergolek. Ia hasil kerja keras, didorong rasa tanggungjawab untuk memberikan kehidupan yang lebih terjamin buat isteri dan lima orang anaknya yang sedang membesar ketika itu."

Pesara tentera, Haji Jamaluddin Singah, 60, dari Kampung Bukit Bangkong, Sg Pelek di sini, kira-kira 100km dari Kuala Lumpur bergelar usahawan dengan pendapatan lumayan kerana ubi kayu.

Beliau mampu meraih pendapatan kasar sehingga RM69,000 sebulan, hasil perniagaan kerepek ubi kayu dan makanan ringan lain yang diusahakan sejak 1987.

Perusahaan Sepang RJ milik Jamaluddin tidak bermula dengan modal yang besar atau pun pinjaman bank. Semuanya dibuat secara berdikit-dikit dan perniagaan yang diusahakan secara industri kampung ini semakin meningkat.

Jamaluddin boleh berbangga kerana produk kerepek ubi kayunya turut dipromosikan dengan bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Malaysia (FAMA) ke Singapura, Brunei, Bahrain, China dan Taiwan.

Dengan modal awal sekitar RM50, beliau membeli kuali dan sagat ubi untuk memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan. Dapur memasak pula terdiri daripada "tungku" dan kayu api.

Bermula dengan sebuah tungku menjadi 10 tungku dan dari tungku kayu api kepada dapur gas.

Ketekunan dan kegigihan beliau mengusahakan perniagaan kerepek ubi kayu ini kemudiannya mendapat perhatian pejabat pertanian. Dari sebuah kuali menggoreng automatik (yang diberikan jabatan pertanian), beliau telah menambah dua lagi kuali menggoreng bagi memenuhi keperluan pengeluaran.

Usaha-usaha pemasaran dilakukannya sendiri. Tanpa perasaan segan dan malu, beliau menemui pengusaha kedai di lebuhraya, stesen minyak serta pasaraya mini untuk memasarkan kerepek ubinya.

"Saya kemudiannya berjinak-jinak dengan FAMA. Merata saya ikut ekspo mereka untuk promosi kerepek ubi kayu yang saya hasilkan ini," kata Jamaluddin.

Bagi menjamin bekalan ubi kayu yang mencukupi, Jamaluddin mengambil langkah menanam pokok ubinya sendiri. Beliau mengusahakan ladang ubi kayu seluas 40 hektar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Sungai Belankan yang terletak kira-kira 4 km dari rumahnya. Pokok ubi yang ditanam adalah dari jenis yang menghasilkan ubi berwarna kuning yang sememangnya sesuai dijadikan kerepek.

Sehingga kini, Perusahaan Sepang RJ menghasilkan 16 jenis makanan ringan. Untuk kerepek ubi, di samping ubi masin, terdapat perasa lain seperti ubi pedas kering, ubi perasa lada hitam, ubi perasa BBQ dan ubi perasa kari.

Makanan ringan lain termasuk kerepek pisang, rempeyek, keropok bawang, keropok kacang dal, jejari ikan bilis, kuih tiram, kuih bahulu dan kuih bijan.

Sumber: BERNAMA

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::