ATTENTION !!!

Monday, February 16, 2009

Ustaz Mekanik

(Post: Bahasa Melayu)
"Agak pelik, ustaz menjadi mekanik kereta, tetapi itulah realitinya kepada anak muda, Mohd Karim Abd Rahman, 32, yang kini mempunyai tiga bengkel membaik pulih kenderaan dikenali sebagai Aeroline Motors Sdn Bhd di Shah Alam dan Klang, Selangor serta di Parit Buntar, Perak."

Mungkin takdir, mungkin juga kebetulan. Seorang siswazah berkelulusan Sarjana Muda Syariah Universiti Malaya (UM) pernah memohon melanjutkan pengajian sebagai ustaz menerusi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) tetapi ditolak sepanjang tiga tahun berturut-turut.

Kegagalan itu mungkin menyebabkan kerjayanya berbeza daripada kelayakan dimiliki selepas bergelar pengusaha dan pemilik bengkel kenderaan.

Walaupun dunia berbeza, tetapi impiannya mendidik tetap diteruskan melalui pendekatan lain iaitu menerapkan nilai murni melalui pengisian pelbagai program rohaniah kepada anak buahnya.

Hujahnya mudah, jika pekerja mempunyai keimanan, pegangan agama kukuh serta mendapat sokongan padu majikan, sudah tentu ia akan menyumbang kepada hasil kerja berkualiti dan murni.

"Kami berikan pekerja ilmu, kemahiran berterusan supaya mereka belajar sesuatu. Takkan selamanya mereka mahu menjadi mekanik, sekurang-kurangnya saya mahu menjadikan mereka tauke bengkel."

Baginya, berkongsi ilmu mengusahakan bengkel kenderaan sudah memadai untuk menyebarkan ilmu selepas hasratnya menjadi seorang ustaz terbantut. Kini, pendekatan kerja diamalkan berdasarkan konsep 3S iaitu Solat, Syukur dan Sedekah.

Mengulas lanjut konsep kerja 3S itu, Karim menegaskan, setiap individu patut bersyukur dengan rezeki dan kemahiran dimiliki tetapi perlu sentiasa berusaha memajukan diri. Paling penting, sentiasa menunaikan zakat kerana ia sebenarnya hak milik individu lain yang berhak.

"Saya juga membesar dalam keluarga susah dan menjadi anak yatim ketika berusia lima tahun. Perasaan itu menginsafkan diri untuk maju dan inilah masanya membalas jasa keluarga dan bangsa."

Selepas lima tahun terbabit dalam perniagaan ini, beliau mensasarkan meningkatkan jualan kepada RM400,000 sebulan dan bercadang membuka tiga lagi cawangan baru di Butterworth, Pulau Pinang dan Nilai, Negeri Sembilan serta Sepang, Selangor.

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::