ATTENTION !!!

Showing posts with label pengeluar. Show all posts
Showing posts with label pengeluar. Show all posts

Thursday, November 18, 2010

Coklat Rab Nine Food and Industries

(Post: Bahasa Melayu)
" Jika dinilai daripada segi umur, dia masih terlalu muda bergelar 'bos' kepada 15 kakitangan yang usianya lebih kurang sebaya. Pun begitu, pepatah kecil-kecil cili padi tepat ditujukan kepada anak muda berjiwa besar, Asri Abidin, 26. "

Bercita-cita bergelar ahli perniagaan berjaya dan tidak gemar kerja makan gaji membuatkan Asri tekad berhenti kerja sebagai penyelidik di Lembaga Koko Malaysia, (LKM) Bangi.

Meskipun tempoh dua tahun bekerja dirasakan terlalu pendek bagi kebanyakan individu yang baru bekerja, namun Asri sanggup meninggalkan pekerjaannya yang waktu itu berada pada tahap selesa demi mencari kepuasan diri walau mendapat tentangan hebat daripada keluarga.

"Tiada perkataan menyesal dalam kamus hidup saya apabila meninggalkan pekerjaan yang sudah stabil sebab terlalu 'menyintai' dunia perniagaan. Usia bukan halangan bagi seseorang untuk berjaya asal ada kemahuan dan sikap tidak pernah putus asa dalam diri mereka."

"Memanglah sebelum meninggalkan sesuatu pekerjaan, kita harus fikir risiko yang bakal dihadapi tambahan pula jika perniagaan yang diusahakan tidak berjaya."

"Seperti orang lain, saya juga membuat persiapan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. Apa lagi saya hanya bekerja dalam tempoh singkat," katanya.

Pemilik kilang coklat jenama Rab Nine Food and Industries Sdn Bhd yang terletak di Desa Tun Razak, Cheras itu tidak menoleh ke belakang walaupun perniagaannya tidak mendapat sambutan seperti diharapkan pada peringkat awal.

Akur ia sebahagian daripada rencah dunia perniagaan yang perlu dihadapi peniaga baru sepertinya, dia tidak cepat melatah malah menganggapnya sebagai cabaran.

Ditanya, mengapa dia memilih coklat sebagai pertaruhannya, dengan tenang dia menjawab kerana coklat mempunyai potensi besar dalam bidang pasaran selain belum dipelopori golongan Bumiputera.

"Pengalaman sebagai penyelidik di LKM sedikit sebanyak membantu meninjau pasaran coklat yang dihasilkan sama ada mendapat permintaan mahupun sebaliknya," katanya.

Mengakui banyak cabaran dilalui sebelum berjaya, Asri berkata, ada kala seakan mahu berputus asa apabila kesungguhannya mahu memulakan perniagaan coklat dipandang sinis sesetengah pihak.

Antara yang masih segar dalam ingatannya bagaimana kertas kerjanya ditolak pihak bank disebabkan mereka tidak yakin dengan golongan Bumiputera ditambah ketika itu usianya baru mencecah 23 tahun.

"Hanya Tuhan tahu bagaimana perasaan saya waktu itu apabila pulang dengan tangan kosong. Mujur keluarga dan rakan terus memberi sokongan."

"Pada masa sama saya juga bersyukur dipertemukan seorang rakan yang berjaya dalam perniagaan apabila dia sudi memberi tips serta pinjaman modal bagi memulakan perniagaan," katanya.

Menurut Asri, pada awal memulakan perniagaan dia melalui fasa memeritkan apabila coklat buatannya tidak mendapat sambutan.

Sedar persaingan dengan coklat jenama antarabangsa yang lebih lama dan dikenali, dia masih mengharapkan keajaiban kerana sedar ia asam garam perniagaan.

Enam bulan pertama sambutan diterima mengecewakan hingga dia 'terpaksa' menjual dua motosikal kesayangan bagi membayar gaji pekerja yang waktu itu hanya dua orang.

"Saya tiada pilihan sebab pekerja perlu diutamakan. Waktu itu berjaya membayar gaji pekerja dikira sebagai 'kejayaan besar' meskipun perniagaan tidak sepenuhnya berjaya," katanya.

Selepas perniagaannya tidak mendatangkan hasil, pada 2007 dia menyertai Pameran Perdagangan Halal Malaysia (Mihas) yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade Jalan Duta sebagai ikhtiar memperkenalkan produknya kepada orang ramai.

Nyata usahanya tidak sia-sia apabila gerai jualannya mendapat sambutan selain tempahan berduyun yang diterima hingga tamat pameran berkenaan.

Di situ barulah Asri merasakan dirinya sebagai usahawan kerana berjaya memperoleh pendapatan pertama hasil jualan coklatnya selepas hampir setahun memulakan perniagaan.

"Tahun itu juga negara menguatkuasakan hab halal yang menjadi nadi utama sesebuah perniagaan dan bertepatan dengan konsep itu syarikat turut menekankan halal sebagai keutamaan."

"Memandangkan waktu itu hanya saya dan rakan kongsi menjadi perintis pembuatan coklat, tempahan yang diterima di luar jangkaan hingga pekerja sedia ada tidak mampu menghasilkannya sebab terlampau banyak."

"Semakin hari, permintaan terhadap coklat semakin tinggi. Mungkin strategi perniagaan dan perkhidmatan yang ditawarkan berlainan dengan pengusaha coklat sedia ada," katanya.

Bermula hanya satu jenis coklat, perniagaannya bertambah maju dengan menghasilkan hampir 30 jenis coklat. Antaranya coklat bar, Lolychoc, Hezlique, Casylss, Nut Empire, Dark Rich dan pelbagai jenis coklat lain.

Selain dijual di kebanyakan stesen minyak, pasar raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kawasan bebas cukai, Rab Nine Food and Industries juga menerima tempahan pembungkusan, majlis korporat, hari jadi dan perkahwinan.

Malah penyanyi dan pelakon, Nabila Huda Suhaimi yang juga anak kepada penyanyi Amy Search membuat tempahan coklat pada majlis perkahwinannya untuk diberikan kepada tetamu sebagai cenderahati.

Pada masa sama juga, banyak syarikat korporat membuat tempahan dalam kuantiti banyak menyebabkan Asri terpaksa membeli mesin khas yang diimport dari Jerman.

"Saya turut dijemput oleh LKM menghadiri pameran coklat terbesar Jerman selain meninjau pasaran coklat tempatan di sana. Pengalaman itu digunakan sebaik mungkin sebab bukan semua individu berpeluang menikmatinya," katanya.

Tidak pernah mendabik diri, Asri sedar perniagaannya akan 'jatuh' jika dia terus lalai dan cepat berpuas hati dengan kejayaan yang diperoleh.

Apatah lagi senarai pengusaha coklat makin bertambah dengan adanya bantuan daripada pihak tertentu membuatkan Asri lebih peka dengan keadaan sekeliling.

"Saya anggap ia sebagai persaingan sihat dalam bidang perniagaan supaya sentiasa aktif berfikir menghasilkan produk lebih berkualiti setanding dengan produk antarabangsa," katanya.

INFO PROFIL:
Nama: Asri Abidin
Asal: Taiping, Perak
Pendidikan: Diploma Seni Kulinari, Institut Makanan Malaysia
Jawatan: Pengurus Operasi Rab Nine Food Industries Sdn Bhd

Sumber: myMetro
Foto: HalalSquare

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, October 30, 2010

Debu Tayammum MIFF Marketing

(Post: Bahasa Melayu)
" Mencari yang halal itu fardu, begitu juga menyediakan produk atau perkhidmatan yang dijamin status halalnya untuk memenuhi keperluan masyarakat hari ini supaya dapat melakukan amal ibadat dengan mudah serta sentiasa mematuhi kehendak hukum syarak. "

Bagi MIFF Marketing Sdn Bhd, syarikat pengeluar debu tanah liat untuk tayammum yang turut menawarkan perkhidmatan sertu atau samak, menyediakan produk memenuhi syariat agama sebagai memenuhi fardu kifayah.

Pengarah Urusannya, Ab Razak Ab Hadi, berkata membangunkan produk yang diperlukan umat Islam supaya terus dapat melakukan tuntutan agama menjadi tanggungjawab semua pihak terutama dalam gaya hidup masa kini melihat perubahan berlaku begitu pantas.

Katanya, jika dulu persoalan bagaimana hendak berwuduk jika tiada air atau sukarnya untuk bertayammum kerana sukar mencari tanah, kini pelbagai pilihan disediakan termasuk debu tayammum bagi merungkai permasalahan itu.

Justeru, katanya, Islam agama yang menekankan ilmu inovasi sepatutnya dikembangkan umat Islam melalui idea kreatif bukan saja untuk menangani masalah yang timbul tetapi membawa diri lebih maju dalam pelbagai bidang.

"Jika dulu kita tidak banyak pilihan tetapi dengan adanya kepakaran serta teknologi, kita boleh mencipta tidak menyalahi hukum agama sebaliknya dapat memberi manfaat serta kemudahan kepada semua terutama dalam beribadat."

"Debu tayammum yang dikeluarkan MIFF bertujuan memberi kemudahan jika air tiada untuk berwuduk dan bersolat. Dulu banyak sangat soalan, nak ambil tanah di mana, tetapi sekarang sudah ada di pasaran dan boleh diperoleh dengan mudah."

"Bagi yang bermusafir atau ada penyakit tidak boleh terkena air, kini mudah bertayammum. Begitu juga sertu atau samak kerana bukan mudah untuk melakukannya."

"Namun, dengan adanya perkhidmatan yang disediakan, perkara itu bukan mustahil. Buat masa ini kami banyak melakukan perkhidmatan sertu untuk restoran, rumah dan kilang bagi memastikan ia benar-benar bebas daripada unsur meragukan," katanya.

Beliau berkata, terbaru pihaknya menyediakan perkhidmatan sertu kontena untuk syarikat penyedia kontena sebagai pilihan kepada pelanggan yang ingin kontena yang tidak diragukan kesucian mengikut hukum syarak.

Katanya, MIFF mendapat kerjasama Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memantau proses sertu kontena bagi membolehkan sijil pengesahan dikeluarkan badan yang diiktiraf itu.

APL-NOL Malaysia Sdn Bhd, peneraju dalam pengangkutan kontena kini mengambil inisiatif menyediakan kontena berstatus halal untuk kegunaan pihak yang ingin menjaga kesucian serta kebersihan produk mereka.

Pengarah Urusannya, Ab Aziz Toha, berkata penyediaan kontena sudah disertu itu menyediakan pilihan kepada pelanggan yang ingin memelihara produk mereka mengikut syariat Islam.

Katanya, walaupun semua kontena berkenaan melalui proses pembersihan dan pembaikan setiap kali tiba di depoh penyimpan, proses sertu yang diperkenalkan memberi nilai tambah dari sudut status serta keyakinan pelanggan.

"Perkhidmatan ini sejajar dengan tuntutan syariah dan kita yakin akan ada permintaan untuk kontena yang disertu. Sekurang-kurangnya, produk sudah ada di pasaran dan ini perkara baik," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Kontena Sertu APL-NOL Malaysia Sdn Bhd, baru-baru ini.

Bagi proses sertu, kontena yang sudah dibersihkan akan dibasuh menggunakan air dicampur tanah sekali, diikuti enam kali menggunakan air bersih mengikut syariat ditetapkan Islam dengan memastikan air tanah mengenai setiap sudut bahagian dalam kontena.

Kontena yang sudah disertu akan dikunci dan ditampal pelekat khas, kemudian di hantar kepada pelanggan untuk digunakan.

Sijil sah sertu hanya sah sekali saja dan status kontena yang disertu terbatal sebaik saja kontena dibuka dan produk dikeluarkan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Abdul Hamid Mohamed Salleh, berkata JAKIM berpuas hati dengan proses sertu dilakukan MIFF dan untuk setiap sesi sertu pihaknya akan mengawasi serta memantau demi menjaga tatacara sertu sebenar.

“Berdasarkan proses yang dilakukan dengan pemantauan JAKIM, sertu itu mengikut syariat. Kami memastikan syarikat yang menjalankannya mematuhi syarat sebelum pengesahan dibuat,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online
Foto: Gaya Wanita

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::