ATTENTION !!!

Thursday, November 18, 2010

Coklat Rab Nine Food and Industries

(Post: Bahasa Melayu)
" Jika dinilai daripada segi umur, dia masih terlalu muda bergelar 'bos' kepada 15 kakitangan yang usianya lebih kurang sebaya. Pun begitu, pepatah kecil-kecil cili padi tepat ditujukan kepada anak muda berjiwa besar, Asri Abidin, 26. "

Bercita-cita bergelar ahli perniagaan berjaya dan tidak gemar kerja makan gaji membuatkan Asri tekad berhenti kerja sebagai penyelidik di Lembaga Koko Malaysia, (LKM) Bangi.

Meskipun tempoh dua tahun bekerja dirasakan terlalu pendek bagi kebanyakan individu yang baru bekerja, namun Asri sanggup meninggalkan pekerjaannya yang waktu itu berada pada tahap selesa demi mencari kepuasan diri walau mendapat tentangan hebat daripada keluarga.

"Tiada perkataan menyesal dalam kamus hidup saya apabila meninggalkan pekerjaan yang sudah stabil sebab terlalu 'menyintai' dunia perniagaan. Usia bukan halangan bagi seseorang untuk berjaya asal ada kemahuan dan sikap tidak pernah putus asa dalam diri mereka."

"Memanglah sebelum meninggalkan sesuatu pekerjaan, kita harus fikir risiko yang bakal dihadapi tambahan pula jika perniagaan yang diusahakan tidak berjaya."

"Seperti orang lain, saya juga membuat persiapan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. Apa lagi saya hanya bekerja dalam tempoh singkat," katanya.

Pemilik kilang coklat jenama Rab Nine Food and Industries Sdn Bhd yang terletak di Desa Tun Razak, Cheras itu tidak menoleh ke belakang walaupun perniagaannya tidak mendapat sambutan seperti diharapkan pada peringkat awal.

Akur ia sebahagian daripada rencah dunia perniagaan yang perlu dihadapi peniaga baru sepertinya, dia tidak cepat melatah malah menganggapnya sebagai cabaran.

Ditanya, mengapa dia memilih coklat sebagai pertaruhannya, dengan tenang dia menjawab kerana coklat mempunyai potensi besar dalam bidang pasaran selain belum dipelopori golongan Bumiputera.

"Pengalaman sebagai penyelidik di LKM sedikit sebanyak membantu meninjau pasaran coklat yang dihasilkan sama ada mendapat permintaan mahupun sebaliknya," katanya.

Mengakui banyak cabaran dilalui sebelum berjaya, Asri berkata, ada kala seakan mahu berputus asa apabila kesungguhannya mahu memulakan perniagaan coklat dipandang sinis sesetengah pihak.

Antara yang masih segar dalam ingatannya bagaimana kertas kerjanya ditolak pihak bank disebabkan mereka tidak yakin dengan golongan Bumiputera ditambah ketika itu usianya baru mencecah 23 tahun.

"Hanya Tuhan tahu bagaimana perasaan saya waktu itu apabila pulang dengan tangan kosong. Mujur keluarga dan rakan terus memberi sokongan."

"Pada masa sama saya juga bersyukur dipertemukan seorang rakan yang berjaya dalam perniagaan apabila dia sudi memberi tips serta pinjaman modal bagi memulakan perniagaan," katanya.

Menurut Asri, pada awal memulakan perniagaan dia melalui fasa memeritkan apabila coklat buatannya tidak mendapat sambutan.

Sedar persaingan dengan coklat jenama antarabangsa yang lebih lama dan dikenali, dia masih mengharapkan keajaiban kerana sedar ia asam garam perniagaan.

Enam bulan pertama sambutan diterima mengecewakan hingga dia 'terpaksa' menjual dua motosikal kesayangan bagi membayar gaji pekerja yang waktu itu hanya dua orang.

"Saya tiada pilihan sebab pekerja perlu diutamakan. Waktu itu berjaya membayar gaji pekerja dikira sebagai 'kejayaan besar' meskipun perniagaan tidak sepenuhnya berjaya," katanya.

Selepas perniagaannya tidak mendatangkan hasil, pada 2007 dia menyertai Pameran Perdagangan Halal Malaysia (Mihas) yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade Jalan Duta sebagai ikhtiar memperkenalkan produknya kepada orang ramai.

Nyata usahanya tidak sia-sia apabila gerai jualannya mendapat sambutan selain tempahan berduyun yang diterima hingga tamat pameran berkenaan.

Di situ barulah Asri merasakan dirinya sebagai usahawan kerana berjaya memperoleh pendapatan pertama hasil jualan coklatnya selepas hampir setahun memulakan perniagaan.

"Tahun itu juga negara menguatkuasakan hab halal yang menjadi nadi utama sesebuah perniagaan dan bertepatan dengan konsep itu syarikat turut menekankan halal sebagai keutamaan."

"Memandangkan waktu itu hanya saya dan rakan kongsi menjadi perintis pembuatan coklat, tempahan yang diterima di luar jangkaan hingga pekerja sedia ada tidak mampu menghasilkannya sebab terlampau banyak."

"Semakin hari, permintaan terhadap coklat semakin tinggi. Mungkin strategi perniagaan dan perkhidmatan yang ditawarkan berlainan dengan pengusaha coklat sedia ada," katanya.

Bermula hanya satu jenis coklat, perniagaannya bertambah maju dengan menghasilkan hampir 30 jenis coklat. Antaranya coklat bar, Lolychoc, Hezlique, Casylss, Nut Empire, Dark Rich dan pelbagai jenis coklat lain.

Selain dijual di kebanyakan stesen minyak, pasar raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kawasan bebas cukai, Rab Nine Food and Industries juga menerima tempahan pembungkusan, majlis korporat, hari jadi dan perkahwinan.

Malah penyanyi dan pelakon, Nabila Huda Suhaimi yang juga anak kepada penyanyi Amy Search membuat tempahan coklat pada majlis perkahwinannya untuk diberikan kepada tetamu sebagai cenderahati.

Pada masa sama juga, banyak syarikat korporat membuat tempahan dalam kuantiti banyak menyebabkan Asri terpaksa membeli mesin khas yang diimport dari Jerman.

"Saya turut dijemput oleh LKM menghadiri pameran coklat terbesar Jerman selain meninjau pasaran coklat tempatan di sana. Pengalaman itu digunakan sebaik mungkin sebab bukan semua individu berpeluang menikmatinya," katanya.

Tidak pernah mendabik diri, Asri sedar perniagaannya akan 'jatuh' jika dia terus lalai dan cepat berpuas hati dengan kejayaan yang diperoleh.

Apatah lagi senarai pengusaha coklat makin bertambah dengan adanya bantuan daripada pihak tertentu membuatkan Asri lebih peka dengan keadaan sekeliling.

"Saya anggap ia sebagai persaingan sihat dalam bidang perniagaan supaya sentiasa aktif berfikir menghasilkan produk lebih berkualiti setanding dengan produk antarabangsa," katanya.

INFO PROFIL:
Nama: Asri Abidin
Asal: Taiping, Perak
Pendidikan: Diploma Seni Kulinari, Institut Makanan Malaysia
Jawatan: Pengurus Operasi Rab Nine Food Industries Sdn Bhd

Sumber: myMetro
Foto: HalalSquare

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::