Penjual Kuih Tradisi India
(Post: Bahasa Melayu)
" Kedai mudah alih Ammars sememangnya cukup popular di Jalan Berhala, Brickfields, Kuala Lumpur. Setiap hari, sekitar pukul 9 pagi hingga pukul 7 petang kedai itu selalunya sibuk dengan kunjungan orang ramai untuk menjamu pilihan kuih-muih tradisional masyarakat India. "
Daripada parupu vadai (kacang dal), ulunthu vadai (kacang dal putih), bajji bawang merah, bajji cili hijau, urundai (kuih kacang hijau) sehingga kolkathai semuanya ada jual di situ.
Pemiliknya, Saroja Munusamy, 50, tidak menang tangan membuat kuih-muih itu untuk para pelanggan yang lalu lalang di sekitar Jalan Berhala itu.
Penggemar kuih-muih itu bukan sahaja terdiri dalam kalangan masyarakat India tetapi pelanggan berketurunan Cina dan Melayu juga gemar membelinya.
Katanya, parupu vadai dan ulunthu vadai paling laris dijual. Rasanya yang rangup dan pedas memberi keenakan yang luar biasa kepada penggemar-penggemarnya. Kedua-dua jenis vadai itu juga sedap dimakan dengan kari kacang dal ataupun kuah kelapa parut.
Saroja yang mengusahakan perniagaan Ammars lebih sedekad lalu memberitahu, kerja-kerja menyediakan adunan untuk membuat kuih-muih itu bermula seawal pukul 5 pagi. Bahan asasnya seperti kekacang perlu direndam semalaman sebelum dikisar halus.
Vadai yang disediakan akan diadun bersama cili hijau, cili merah, bawang dan halia untuk menambah rasa serta membantu proses penghadaman si makan sebelum digoreng.
Berbeza dengan parupu vadai, ulunthu vadai akan dibuat lubang pada tengah-tengah untuk memberi kelainan.
Selain menjual kuih-muih tradisional masyarakat India Selatan, wanita yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu, turut menjual karipap dan pisang goreng.
Saroja turut menerima tempahan untuk majlis-majlis korporat, hari jadi, perkahwinan dan lain-lain lagi.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment