ATTENTION !!!

Showing posts with label ecommerce. Show all posts
Showing posts with label ecommerce. Show all posts

Tuesday, January 18, 2011

Virtual Mall Digital Mall

(Post: Bahasa Melayu)
" Perkhidmatan e-dagang yang semakin membangun memudahkan pengguna mendapatkan produk mereka secara talian dengan lebih mudah dan pantas. "

Sejajar dengan perkembangan e-dagang, Digital Mall yang merupakan milik SM Digital Mall Sdn. Bhd. telah memperkenalkan pusat beli-belah maya yang dikenali sebagai Virtual Mall.

Terletak di Petaling Jaya, Selangor, pelancaran Virtual Mall baru-baru ini diadakan bersempena ulang tahun keempat Digital Mall yang menjadi syurga digital bagi segala produk teknologi maklumat (IT), elektronik dan elektrik di Lembah Klang.

Pengarah Eksekutif SM Digital Mall Sdn. Bhd., Eric Seow berkata, semakin ramai pengguna di Malaysia gemar melakukan urus niaga dan pembelian dari rumah terutama yang melibatkan barangan menawarkan khidmat penghantaran disebabkan gaya hidup yang semakin sibuk.

"Mereka akan mencari jenama dan peruncit yang dipercayai seperti Digital Mall tetapi pada masa sama mereka tidak mahu keluar dari rumah atau pejabat dalam usaha mendapatkan perisian, perkakasan, aksesori atau peranti terkini."

"Dengan adanya Virtual Mall, kami ingin membawa pengalaman membeli-belah di Digital Mall kepada mereka yang tinggal di luar Lembah Klang," katanya.

Virtual Mall dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim dan Eric Seow di Digital Mall, Petaling Jaya baru-baru ini.

Eric menambah, penyewa Digital Mall akan menyenaraikan produk jualan mereka dalam Virtual Mall itu sekali gus dapat mengembangkan jualan dan peluang perniagaan masing-masing.

"Penyewa akan mendapat manfaat kerana menyertai peruncitan maya di bawah satu bumbung bersama peruncit IT terkemuka dan langkah ini pasti memberi faedah kepada mereka kerana dapat memperluaskan serta meningkatkan lagi jumlah pelanggan mereka," ujarnya.

Pengguna yang ingin menggunakan Virtual Mall boleh membuat bayaran menerusi kad kredit Mastercard dan Visa yang dikeluarkan oleh bank-bank tempatan atau antarabangsa.

Mereka juga boleh membuat bayaran menerusi debit akaun simpanan dan akaun semasa di bank-bank terpilih.

Barangan yang dibeli akan dihantar dalam masa satu hari bekerja untuk di kawasan-kawasan bandar dan bandar utama di Semenanjung Malaysia dan dua hari bekerja untuk Malaysia Timur.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, December 8, 2010

Portal E-Dagang PostMe Pos Malaysia

(Post: Bahasa Melayu)
" Pos Malaysia Bhd mengukuhkan lagi perniagaan runcitnya dengan menawarkan perkhidmatan portal dagangan elektronik (e-dagang) terbesar di Malaysia, PostMe. "

Perkhidmatan itu dibangunkan berasaskan konsep kedai dalam talian dengan sokongan rangkaian penghantaran terbesar seumpamanya di negara ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar, berkata buat permulaan ini 70 rakan niaga dan kira-kira 6,000 barangan boleh dibeli pengguna menerusi portal baru berkenaan.

Katanya, Pos Malaysia berhasrat menambah jumlah rakan niaga dan barangan yang ditawarkan menerusi portal itu dengan tumpuan selepas ini ialah terhadap barangan tulen bermutu tinggi dari jenama antarabangsa.

"Bagi 2011, kumpulan melabur RM5 juta untuk mengukuhkan perkhidmatan ini di kalangan pelanggan dan pelaburan akan dibuat berterusan dengan mencari lebih banyak rakan niaga masa akan datang," katanya ketika ditemui selepas pelancaran portal PostMe di Subang Jaya.

Pelancaran portal itu disempurnakan Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat.
Antara rakan niaga utama perkhidmatan itu buat masa ini adalah Kumpulan Naza dan Mydin.

Syed Faisal berkata, langkah Pos Malaysia terbabit dalam perniagaan peruncitan dalam talian adalah tepat pada masanya memandangkan kumpulan itu mempunyai keupayaan dalam menggabungkan ciri keselamatan beli-belah dalam talian dengan rangkaian penghantaran sedia adanya di kira-kira 700 cawangannya di seluruh negara.

"Ini bermakna, kami berupaya mengendalikan proses itu dari awal iaitu ketika pelanggan memilih produk, pembayaran sehingga penghantaran terus kepada mereka," katanya.

Beliau menegaskan, Pos Malaysia yakin sambutan terhadap perkhidmatan demikian berdasarkan empat kekuatan utama yang dimiliki kumpulan itu iaitu jenamanya yang dipercayai, perniagaan terasnya sebagai penyedia perkhidmatan penghantaran, platform e-dagang paling selamat dan barisan tawaran produk terbesar dalam pasaran.

"Kita juga mendapati arah aliran perbelanjaan dalam talian meningkat berikutan bertambahnya kadar penembusan Internet di Malaysia dan tahap keselamatan dalam talian yang semakin baik," katanya.

Syed Faisal menambah, portal itu juga menyediakan saluran lebih mudah kepada syarikat yang berhasrat memasarkan produk mereka secara dalam talian.

"Kami terbuka kepada semua syarikat yang mempunyai produk berpotensi untuk dijual menerusi portal ini. PostMe bakal menjadi antara portal e-dagang terbesar di Asia," katanya.

PostMe yang beroperasi 24 jam sehari menawarkan barisan luas produk yang dibeli pengguna, seperti pakaian, alat kosmetik, permainan dan kelengkapan.

Bayaran boleh dibuat menerusi kad kredit Mastercard dan Visa, bayaran tunai melalui akaun simpanan atau semasa beberapa bank terpilih dan kaunter pejabat pos.

Sumber: Berita Harian Online
Foto: PostMe

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, April 13, 2010

Portal Pengiklanan Ads4bucks Network

(Post: Bahasa Melayu)
" Cita-cita asalnya sejak di bangku sekolah ialah menjadi anggota tentera. Mungkin disebabkan pengaruh ayahnya yang bertugas sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pada waktu itu tidak terlintas langsung di fikirannya untuk bergelar usahawan berjaya. "

Menceritakan kembali sejarah hidupnya yang disifatkannya sebagai kelam kabut, Ameer Noraizeedin Abdul Wahab, 40, berkata pembabitannya dalam dunia perniagaan dan kejayaannya hingga mampu memiliki syarikat sendiri berlaku tanpa dirancang.

Menurutnya Ameer, selepas tamat darjah enam di Sekolah Rendah Kebangsaan Larkin, Johor Bahru, dia meneruskan persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Anglo (ACS) Ayer Tawar, Perak dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga sebelum bertukar ke Sekolah Menengah Ambrose di daerah sama dari tingkatan empat hingga lima.

"Selepas mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1986, saya terus memohon menyertai TLDM dan ditawarkan menghadiri temu duga."

"Namun pada masa sama saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Manjung, Perak dalam jurusan pengurusan perniagaan."

"Hati saya berbelah bagi sama ada mahu terima tawaran belajar atau meneruskan cita-cita bergelar tentera. Disebabkan permintaan ibu yang mahu saya sambung belajar, saya turutkan saja demi masa depan," katanya.

Tambah Ameer, oleh kerana minatnya yang mendalam terhadap bidang ketenteraan, dia menyertai badan beruniform Kesatria sewaktu di UiTM selama setahun sebelum menamatkan pengajian.

Selepas tamat belajar, dia menjadi jurujual di Ipoh dan Kuala Lumpur sebelum bekerja sebagai Pegawai Perniagaan Korporat di Arab Malaysian Insurans, Kota Bahru, Kelantan sebelum mengambil keputusan berkahwin.

"Saya berkahwin pada usia muda iaitu 21 tahun. Waktu itu pendapatan memang tak cukup. Walaupun dilahirkan dalam keluarga yang senang, saya punya prinsip sendiri iaitu suka berdikari."

"Tak lama selepas itu saya berhenti kerja dan menjadi ejen insurans sepenuh masa. Risiko waktu itu memang tinggi sebab pendapatan kita bergantung pada pembelian insurans daripada orang ramai. Jika tiada pelanggan, tiadalah pendapatan."

"Kehidupan saya agak sukar pada waktu itu kerana sudah berkahwin dan mempunyai anak tiga. Saya juga pernah menjual keropok ikan di sekitar Kuala Lumpur bagi menampung kehidupan selepas berkahwin dua tahun," katanya.

Dalam usaha mengubah kehidupan supaya lebih berjaya, Ameer membuat tindakan drastik yang kemudian menjadi titik perubahan besar dalam kamus hidupnya iaitu berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) bagi mengikut jejak langkah adik perempuan yang berkahwin dan tinggal di sana.

"Saya ke AS tanpa tujuan khusus. Untuk ke sana bersama anak dan isteri, saya menjual kereta dan rumah untuk beli tiket."

"Sewaktu mahu pergi, pelbagai halangan dilalui hinggakan saya terpaksa pergi berjumpa sendiri orang atasan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membolehkan saya sekeluarga pergi ke sana."

"Akhirnya, dengan segala usaha serta kekuatan yang ada, saya sampai juga dan tempat pertama dituju adalah rumah adik untuk sementara waktu," katanya.

Hari pertama di AS, Ameer memulakan kerja sebagai pelayan di restoran makanan segera Burger King di bandar Vichita. Tidak terhenti setakat itu, dia turut bekerja sebagai pencuci pejabat, sekolah dan premis perniagaan.

Yang pasti, kehidupan di negara orang banyak mengajarnya erti kesusahan dan hidup lebih berdikari.

Ameer berkata, disebabkan tidak mahu terus bekerja menghidangkan daging babi di restoran makanan segera itu, dia bekerja di restoran 'Passage To India' milik orang India selama empat bulan.

"Namun timbul masalah lain pula. Majikan saya panas baran. Jika ada perselisihan faham sedikit, pisau menjadi penyelesaian. Memikirkan keselamatan diri, saya berhenti kerja dan kembali bekerja di restoran makanan segera."

"Kali ini rezeki saya lebih baik kerana diberi kepercayaan untuk menjadi pengurus stor dan pendapatan yang diterima lumayan," katanya.

Bagaimanapun, atas semangat ingin berdikari yang membuak-buak selain mahu menumpukan lebih perhatian kepada anak yang sudah remaja, Ameer membuat keputusan berhenti kerja dan berniaga kecil-kecilan di rumah dengan menjual nasi lemak dan kuih muih.

"Pelanggan saya adalah pelajar yang menetap di sekitar tempat tinggal dan mereka sangat menggemari makanan dari Malaysia."

"Tidak lama selepas itu saya terfikir, sampai bila harus berada di negara orang. Hujan panas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lantas, saya kembali ke Malaysia," katanya.

Beliau berkata, untuk mengelak menganggur dia bekerja semula di syarikat lama dalam bidang insurans sebelum seorang rakan mengajaknya membuka perniagaan yang berkonsepkan e-dagang menerusi Internet.

Daripada situ, lahirlah Ads4bucks Network Sdn Bhd pada November 2008 yang memberi peluang kepada orang ramai menjana pendapatan melalui komisyen dan biarpun tidak sampai dua tahun beroperasi, syarikat itu kini berkembang maju dengan lebih 20 kakitangan dan hampir 40,000 ahli di seluruh negara.

"Sambutan diterima sangat menggalakkan. Saya membuka perniagaan ini tanpa modal tetapi banyak tenaga dan pengorbanan perlu dilakukan. Mungkin ramai menganggap perniagaan ini seperti Multi Level Marketing (MLM) atau skim cepat kaya."

"Hakikatnya syarikat ini menjalankan perniagaan berasaskan penjualan produk portal pengiklanan, di mana objektif utamanya ialah membina portal pengiklanan yang popular."

"Ia juga bakal mewujudkan komuniti usahawan yang mempunyai ilmu untuk mengembangkan perniagaan masing-masing melalui internet sebagai satu cara pemasaran," katanya.

Menurut Ameer, paling penting dalam perniagaan adalah kesungguhan, tidak cepat putus asa dan buang perasaan hasad dengki yang sinonim dengan masyarakat Melayu.

"Kadangkala dalam hidup, kita perlu mengambil risiko untuk menjadi lebih berjaya dan optimistik," katanya.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, March 15, 2010

Mengoptimakan Penggunaan eBay

(Post: Bahasa Melayu)
" Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan perlu memanfaatkan Internet khususnya eBay sebagai platform mengembangkan perniagaan kerana Internet kini mempunyai 15.8 juta pengguna dan berkembang sehingga 67 peratus dari akhir 2008 hingga Disember 2009. "

Ketua Pegawai Operasi eBay China, Asia Tenggara dan Jepun, Oliver Hua, berkata perubahan dunia digital memerlukan PKS mempunyai laman web bagi kemudahan jual beli elektronik (e-dagang) yang dibantu platform dipercayai untuk menggalakkan jualan.

"E-dagang menjadi pilihan terbaik untuk PKS terutama pengusaha yang berada di luar bandar untuk memasarkan produk mereka di peringkat antarabangsa hanya melalui satu klik di hujung jari," kata Hua.

Beliau berpendapat, aktiviti e-dagang berkembang dengan baik di Malaysia apabila ia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 29 peratus pada tahun lalu walaupun negara ini masih di peringkat awal dalam industri terbabit.

"Menerusi data yang kami peroleh, banyak negara Barat melakukan pembelian secara online ke atas produk yang dipasarkan Asia dan hal ini perlu dipandang positif pengusaha PKS," katanya.

Tambahnya, urus niaga dengan bantuan Paypal menyediakan proses yang pantas dalam urusan perniagaan terutama membabitkan transaksi kewangan.

eBay boleh dianggap pasaraya online terbesar dunia manakala Paypal pula menyediakan perkhidmatan yang membenarkan ahlinya menghantar dan menerima pembayaran secara online tanpa mendedahkan maklumat kewangan.

Dalam perkembangan berkaitan, Hua memaklumkan syarikatnya menawarkan insentif kepada PKS yang mahu memulakan perniagaan menerusi eBay menerusi bayaran memasukkan produk dimansuhkan sehingga 100 senarai.

"Malah, kami menawarkan program yang memberi kefahaman kepada pengusaha PKS termasuk khidmat nasihat diusahakan Pakar Pendidikan eBay di negara ini," katanya.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::