Bekas Exco Tanam Nenas
(Post: Bahasa Melayu)
" Saya pernah gagal dan ditipu ketika mula-mula menceburi bidang pertanian. Namun, semua itu saya jadikan sebagai pengajaran serta pengalaman berguna untuk terus berjaya didalam bidang ini," ujar Datuk Abdul Fatah Iskandar ketika ditemui di ladang nanasnya di Kuala Selangor. "
Bagi yang mengenalinya, Abdul Fatah bukanlah orang asing di kalangan masyarakat kerana beliau merupakan bekas ahli politik suatu ketika dahulu.
Abdul Fatah merupakan bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sijangkang, Kuala Langat, Selangor. Beliau pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor dan juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam.
Dari 1998-2008 beliau menjadi Ketua Bahagian UMNO Kuala Langat dan kini tidak lagi bertanding dalam pemilihan UMNO Kuala Langat mulai Oktober 2008.
Bagaimanapun, populariti beliau dahulu tidak pernah dijadikan 'modal' untuk berjaya dalam sektor baru yang diceburinya kini.
Berdasarkan kecenderungan serta minat yang mendalam terhadap sektor pertanian, beliau nekad untuk bertani seterusnya kini beliau mampu bergelar usahawan tani.
Keputusan meninggalkan keselesaan kerusi empuk serta sejuknya udara yang dihembus alat penghawa dingin tidak sedikit pun dikesali beliau.
Malah beliau merasakan tindakan tersebut telah terlambat kerana baru menyedari potensi bidang pertanian yang amat menguntungkan.
Menceritakan semula detik permulaan di dalam sektor pertanian, Abdul Fatah bermula secara kecil-kecilan dengan mengusahakan tanaman serai.
"Pada mulanya saya sendiri tidak yakin bahawa serai boleh ditanam di kawasan paya gambut."
"Tetapi ada seorang hamba Allah ini bersungguh-sungguh menyakinkan saya bahawa serai boleh ditanam di kawasan tersebut akhirnya saya bersetuju mengusahakannya," jelas beliau.
Namun, percaturan mempertaruhkan tanaman serai nyata terpesong jauh kerana tanaman tersebut tidak mampu hidup dengan baik.
Justeru beliau mengalami kerugian, namun nasib beliau amat baik kerana beberapa orang tempatan telah mencadangkan kepadanya untuk menanam nanas pula.
"“Pada peringkat awal saya juga agak risau, takut-takut jika pekara yang sama berulang semula."
"Lalu saya dapatkan nasihat dari mereka yang berpengalaman serta mengkaji sendiri cara terbaik untuk mengusahakan tanaman nanas tersebut," katanya.
Berbekalkan sebidang tanah seluas tiga ekar, Abdul Fatah memulakan tanaman nanas secara kecil-kecilan sebagai percubaan.
Setelah melihat tanaman tersebut subur serta menyakinkan untuk ditanam secara besar-besaran, beliau beralih kepada ladang kelapa sawitnya seluas sembilan ekar.
Pokok kelapa sawit milik beliau pada waktu itu adalah pada peringkat awal penanaman, justeru bagi mendapatkan hasil memerlukan masa yang panjang.
Justeru beliau mengambil keputusan untuk melakukan tanaman secara integrasi iaitu dengan tanaman nanas.
"Pada peringkat awal saya hanya ingin menanam kelapa sawit sahaja, tetapi memandangkan masih terdapat ruang kosong saya mula memikirkan untuk menanam tanaman kontan yang lain," ujarnya.
Bermula setahun yang lalu, kini tanaman nenas beliau telah membuahkan hasil dan kini ladangnya sedang dalam proses penuaian.
Terdapat tiga jenis baka nanas yang ditanam oleh beliau iaitu Yanke (Selangor Sweet), Josaphine serta Morris.
Bagi setiap seekar tanah, beliau mampu memuatkan tujuh hingga lapan ribu pokok nanas dalam satu-satu masa. Malah jika tanpa diintegrasikan ia boleh memuatkan 12 hingga 14 ribu pokok di dalam satu-satu masa.
Menurutnya, bagi pasaran sekitar Kuala Selangor, nanas jenis Yanke mendapat permintaan utama malah harganya juga agak mahal, sekitar empat hingga lima ringgit. Manakala bagi nanas baka Morris atau Josaphine boleh dijual dengan harga serendah seringgit sebiji.
Jelas Abdul Fatah, nanasnya akan diambil peraih justeru beliau tidak perlu memikirkan jalan untuk memasarkannya.
Malah stok nanas yang sedia ada miliknya tidak pernah mencukupi untuk menampung permintaan walau hanya di sekitar Kuala Selangor.
"Nanas dari jenis Yanke amat diminati, yang sedia ada sekarang pun telah ditempah oleh peraih walaupun masih belum memasuki musim menuai," katanya.
Beliau juga banyak mendapat bantuan dari segi khidmat nasihat daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dari segi penyediaan tanaman, penggunaan hormon pembuahan, serta penjagaan tanaman nanas sehingga ia mengeluarkan hasil.
INFO:
Dari segi penggunaan bahasa, 'nanas' adalah juga disebut 'nenas' [rujukan: web PRPM]
Sumber: Utusan Malaysia Online
0 comments:
Post a Comment