Jiwa Kental Wanita Tayar
(Post: Bahasa Melayu)
" Di sebalik redup wajahnya tersimpan pelbagai kisah suka duka perjalanan hidupnya membina sebuah kehidupan di negara serba asing. Mendengar kemudiannya penitian liku-liku hidup wanita warga emas ini, ternyata dia seorang yang berhati waja. "
Kua Hong Geok, 89, atau mesra dengan panggilan 'Ah Ma' (bermaksud ibu) lahir di Putian (terletak di wilayah timur Fujian), China.
Dia meninggalkan kampung halamannya ketika berusia 18 tahun menuju ke Singapura. Tujuannya? Untuk dikahwinkan dengan seorang lelaki yang agak sebaya dengan usianya dan juga berasal dari Fujian, Tanah Besar China.
Kehidupan Ah Ma di awal kehidupannya bergelar isteri penuh dengan ranjau dan duri tetapi dia pasrah dengan apa yang ada di depannya.
Semua pengalaman pahit itu menjadikan wanita ini semakin cekal menongkah arus kehidupan menjadi isteri, ibu kepada 12 cahaya mata (termasuk seorang anak angkat) dan kemudiannya usahawan tayar yang berjaya.
Kesusahan hidup membuatkan Ah Ma tidak menolak apabila mahu dikahwinkan. Dia hanya mahu memulakan kehidupan baru meskipun terpaksa meredah lautan luas.
Perjalanan dengan kapal dari Tanah Besar China ke Singapura di mana bakal suaminya sudah menetap dengan keluarganya, mengambil masa beberapa hari.
Apabila diminta bercerita mengenai alam rumah tangganya, Ah Ma kelihatan payah untuk bersuara.
"Terlalu banyak memori sedih," demikian cerita Neo Tiang Teck, anak kelapan Ah Ma di kedai tayar keluarganya di Taman Batu Pahat, Batu Pahat, Johor.
Tiang Teck menjadi penterjemah ibunya yang hanya boleh bertutur bahasa Hokkien dan sedikit Bahasa Melayu.
Hidup sebagai isteri sememangnya begitu mencabar bagi Ah Ma yang hidup sebatang kara tetapi dia terpaksa memendam perasaan. Dia tidak ubah seperti 'orang suruhan', terpaksa melakukan pelbagai kerja rumah, dari pagi hingga larut malam.
Dia terpaksa tinggal berjauhan daripada suaminya yang menguruskan perniagaan tayar keluarga di Batu Pahat, Johor.
Setahun selepas berada di Singapura, Ah Ma mendapat khabar sedih, adik perempuannya meninggal dunia setelah terjatuh ke dalam sungai berhampiran sawah padi di mana dia bekerja.
Kesedihan Ah Ma nampaknya tidak berhenti di situ sahaja. Dua anak pertamanya meninggal dunia mungkin kerana beban kerja yang banyak dan kemungkinan keadaan fizikalnya yang lemah.
Liku-liku kehidupan
Dari Singapura, Ah Ma kemudian berpindah ke Batu Pahat pada 1938 untuk membantu suaminya, Neo Kong Khoon, menguruskan kedai tayar, iaitu setahun selepas kedai itu dibuka.
Anak-anaknya juga mula bertambah, menjadikan Ah Ma semakin sibuk kerana terpaksa menguruskan bisnes suaminya di samping menjaga anak-anaknya.
Kedai tayar yang dimajukan suami Ah Ma adalah yang pertama di Batu Pahat, iaitu sebagai langkah pembesaran perniagaan keluarganya yang bermula di Singapura.
Membesarkan 12 orang anak di samping menguruskan kedai tayar selepas suaminya meninggal dunia sehingga menjadi usahawan berjaya, dengan sendirinya menjadikan Ah Ma seorang ibu yang patut diteladani.
Kedai tayar dua tingkat yang juga menjadi kediaman Ah Ma dan anak-anaknya memudahkan dia menguruskan anak-anaknya. Ketika di kedai, anak-anaknya akan bersamanya.
Anak-anaknya akan tidur di dalam lingkungan tayar jika mereka mengantuk dan jika nakal mereka akan diletakkan juga di dalam gelungan tayar yang disusun menegak. Itu adalah cara Ah Ma mendisiplinkan anak-anaknya.
Perniagaan tayar adalah periuk nasi keluarga ini dan apabila ada beberapa saudara-mara suami Ah Ma membuka perniagaan tayar, wanita ini tidak mahu mengaku kalah membiarkan perniagaannya merudum.
Melihatkan ibunya bertungkus-lumus sendirian menguruskan kedai, anak lelaki sulungnya, Neo Tian Eng membuat keputusan untuk berhenti sekolah untuk membantu ibunya. Pengorbanan yang dibuat ketika usianya baru mencecah 12 tahun.
"Ibu saya bukan seorang wanita yang mudah mengaku kalah. Bila bapa kami meninggal dunia pada 1995 pun dia masih meneruskan perniagaan tayar ini. Tayar adalah sebahagian daripada kehidupannya," jelas Tiang Teck.
Matanya meleret ke arah ibunya yang kini bingkas bangun dari kerusinya untuk menyapa seorang pelanggan yang baru memasuki kedai.
"Ibu saya memang begitu. Dia tidak boleh duduk diam. Ada sahaja yang mahu dibuatnya."
"Awal tahun ini ibu terpaksa menjalani dua pembedahan. Sehari dua selepas pembedahan, dia sudah mahu bergerak. Dia tak mahu berbaring sahaja di atas katil," kata Tiang Teck, anak ketujuh Ah Ma.
Semasa muda dan sihatnya, Ah Ma akan bekerja dari pukul 7 pagi hingga 9 malam, sepanjang tahun meskipun pada Tahun Baru Cina. Habis di kedai dia akan membuat kerja rumah dan hanya tidur seawal pukul 1 atau 2 pagi.
Meskipun Ah Ma kini tidak aktif menguruskan kedai tayarnya, dia masih bangun awal sekitar pukul 6 pagi.
Ah Ma sering mengingatkan anak-anaknya supaya jangan tidur sampai tinggi hari kerana berpegang kepada pepatah burung yang keluar awal akan terlebih dahulu mendapat cacing.
Sebelum pukul 9 pagi, Ah Ma akan berada di kedai tayarnya. Seperti yang dilakukan bertahun-tahun, dia juga akan menyapu kawasan kedai sebelum duduk santai di bangku yang terletak di depan kedai.
Meskipun ada pembantu rumah, Ah Ma masih mencuci sendiri dengan tangan pakaiannya serta menggosok pakaiannya. Cuma dia sudah kurang memasak berbanding sewaktu mudanya untuk makanan anak-anaknya.
Makan besar di petang Tahun Baru Cina paling menjadi kegemaran Ah Ma kerana ketika itu dia berpeluang berkumpul bersama semua anak dan cucunya.
Anak-anak Ah Ma turut mengibaratkan ibu mereka sebagai pepohon rendang, menaungi mereka daripada hujan dan panas.
Malah selepas bapa mereka meninggal dunia, Ah Ma ialah tonggak utama yang dapat menyatukan anak-anak dan anggota keluarga Neo yang lain.
Begitu juga dengan syarikat perniagaan tayar keluarga, Sin Chu Hin yang ditubuhkan di Singapura sebelum 1938.
Meskipun terdapat banyak saingan hebat dalam perniagaan terutama di Batu Pahat, keluarga Ah Ma masih dapat bertahan.
Perniagaan tayar Sin Chu Hin kini diuruskan anak lelaki Tian Eng, Neo Lim Song, 37.
Di samping kedai tayar di Taman Batu Pahat, Lim Song juga bertanggungjawab ke atas dua lagi kedai tayar perniagaan keluarganya di Taman Sri Sogo dan Taman Sentang Jaya, juga terletak di Batu Pahat.
Kebanyakan anak Ah Ma sudah berjaya dalam hidup masing-masing. Dua anak perempuan Ah Ma, Neo Seok Yen dan Neo Seok Chen turut mengusahakan perniagaan tayar masing-masing di Johor.
Perniagaan tayar bukan sahaja menjadi legasi Ah Ma tetapi sumber inspirasi yang menjadi pendorong serta penyuluh kehidupan anak cucunya.
Sumber: Utusan Malaysia Online
Foto: Panoramio
0 comments:
Post a Comment