Ikan Pekasam Warisan Utara
(Post: Bahasa Melayu)
" Jika digoreng garing dan dicampurkan dengan sedikit perahan limau, hirisan bawang serta cili, hidangan ikan pekasam pasti membuka selera sesiapa sahaja. Tambahan pula jika ia dinikmati bersama nasi panas. Keenakannya tentu memberi kepuasan yang tidak terhingga. "
Menu ikan pekasam memang popular di kalangan masyarakat Melayu. Tidak kira sama ada dihidangkan ketika makan tengahari mahupun makan malam.
Di sebalik keistimewaan rasanya, penyediaan produk makanan tradisonal itu sebenarnya memerlukan resipi dan kaedah yang bersesuaian.
Di negara kita terdapat ramai peniaga yang menjalankan perusahaan ikan pekasam terutama di kawasan luar bandar.
Namun, hanya segelintir sahaja yang berjaya menghasilkan produk berkualiti dan sedap bagi menarik perhatian pelanggan, seterusnya mampu memperluaskan pasaran ke seluruh negara atau mungkin juga ke peringkat dunia.
Joharabi Muhammad, 35, merupakan antara pengusaha pekasam yang semakin berkembang. Pengalaman berniaga ikan pekasam secara kecil-kecilan selama tiga tahun perusahaan itu.
Katanya, pada mulanya dia hanya mahu mencuba resipi yang diwarisi daripada ibu bagi tujuan berniaga pada skala kecil.
Tetapi, resipi dan perniagaan yang sekadar cuba-cuba itu mendapat sambutan menggalakkan.
"Selain ikan pekasam, saya juga ada menjalankan perniagaan makanan ringan seperti kerepek dan kuih-muih tradisional," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pekan Kuak, Lenggong, Perak.
Menyedari ikan pekasam mempunyai permintaan yang tinggi, dia kemudiannya membuat keputusan untuk memberi tumpuan kepada perniagaan ikan pekasam.
Pada tahun 2000, dia membuat pinjaman modal sebanyak RM500 menerusi Amanah Ikhtiar sebelum memohon daripada Mara sebanyak RM35,000.
Dana tersebut telah digunakan untuk membina bangunan bagi kemudahan aktiviti memproses selain membeli peralatan yang bersesuaian.
Bagi membantu kos pengeluaran dan membeli bahan mentah pula, dia telah membuat pinjaman daripada Agrobank menerusi skim Modal Usahawan Tani (MUST) sebanyak RM5,000 dan ESP-i sejumlah RM20,000.
Menerusi penjenamaan Pekasam Warisan Utara, perusahaan makanan itu telah dijalankan di bawah syarikat miliknya, Johar Food Enterprise.
Antara jenis ikan yang digunakan untuk membuat pekasam adalah seperti lampam, tilapia, puyu, sepat, jelawat dan loma.
Melihat kepada proses penyediaannya pula, ikan-ikan tersebut akan disiang dan dibersihkan terlebih dahulu sebelum diperap bersama ketulan garam kasar selama tiga hingga lima bulan.
"Paling cepat proses pemerapan itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu."
"Proses ini bertujuan untuk memastikan ikan sebati dengan garam selain melembutkan dagingnya," jelasnya yang menjadikan suami dan ibu bapa sebagai pendorong.
Ikan yang telah diperap itu kemudiannya akan disalut dengan serbuk beras yang telah digoreng dan dikisar.
Proses pemerapannya selepas itu diteruskan lagi selama lebih kurang dua minggu.
Ikan-ikan yang telah siap menjalani kesemua proses tersebut akan dibungkus dalam plastik secara vakum.
Setakat ini, dia mempunyai seramai empat pekerja untuk membantunya selain mengambil pekerja secara kontrak apabila permintaan meningkat.
Bagi sumber bahan mentah, ibu kepada empat cahaya mata itu memberitahu dia memperolehi ikan mentah daripada pengusaha di sekitar kawasan tempat tinggalnya.
"Sumber ikan ini diperolehi secara bermusim kerana mengikut keadaan cuaca. Kadang kala berlaku juga masalah kekurangan bekalan."
"Jadi untuk mengelakkan masalah ini, saya biasanya akan membeli lebih banyak bekalan sebagai stok terutama pada musim perayaan," katanya yang lebih gemar memilih sumber ikan liar berbanding ikan belaan.
Dari sudut pasaran, produk Pekasam Warisan Utara telah diedarkan ke beberapa bandar utama sekitar Kuala Lumpur, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Lebih membanggakan, ia juga telah diperluaskan ke luar negara iaitu di Brunei dan China selain mempunyai pelanggan tetap daripada pengusaha Restoran Tasik Raban di Perak.
"Kebanyakan pelanggan menggemari produk ini kerana keunikan rasa masin dan masamnya dengan daging yang lembut sehingga ke tulang."
"Kita amat mementingkan kualiti agar para pelanggan berpuas hati dengan produk yang dikeluarkan," katanya.
Setiap hari, dia mampu menyediakan 400 hingga 500 paket ikan pekasam dengan keuntungan RM300 hingga RM400 sehari.
Sepaket ikan pekasam biasanya dijual dalam lingkungan harga RM2.80 hingga RM3.50 bergantung kepada berat dan saiz ikan.
Kejayaan yang ditunjukkan oleh Joharabi dalam perniagaannya telah mendorong Jabatan Perikanan melantiknya sebagai Usahawan Anak Angkat Perikanan.
Selain itu, dia turut mengikuti beberapa kursus keusahawanan dan pemprosesan anjuran Agrobank, Jabatan Pertanian, Kemajuan Masyarakat (Kemas) serta Majlis Daerah Lenggong.
Malah, bermula tahun lalu, pusat penyediaan ikan pekasamnya juga telah dijadikan sebagai destinasi pelancongan dalam kalendar program Inap Desa Kampung Bing, Lenggong, Perak.
Di samping itu, dia turut menerima lawatan daripada pelatih-pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selain para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan untuk menjalankan kajian dan penyelidikan.
Pada masa hadapan, dia bercadang mencuba ikan laut seperti gelama untuk dijadikan pekasam selain mencari sumber bekalan bahan mentah yang lebih banyak bagi memenuhi permintaan.
Bagi yang berminat untuk membeli atau membuat tempahan, sila hubungi talian 03-7512130, 012-5894710 atau 013-5812441.
Sumber: Utusan Malaysia Online
0 comments:
Post a Comment