ATTENTION !!!

Thursday, July 30, 2009

Kereta Mewah SHARED AUTOMOBILE

(Post: Bahasa Melayu)
"Walaupun agak berat hati meninggalkan bidang perhotelan dan menyertai perniagaan yang dikuasai oleh kaum lelaki, namun memikirkan ia sebuah perniagaan keluarga Amija nekad mencuba."

Walaupun arwah bapanya telah membuka syarikat jualan kenderaan mewah Shared Auto Sdn. Bhd., sejak dua dekad lalu, Nor Amija Miskon, 41, tidak pernah terfikir untuk terjebak dalam bisnes yang sama.

Apatah lagi industri permotoran sangat sinonim dengan kaum lelaki.

Lantaran itu, sebaik tamat pengajian dalam bidang Pengurusan Hotel dan Katering di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 1988, Amija memulakan kerjayanya sebagai seorang eksekutif jualan runcit di salah sebuah pusat beli-belah di ibu kota.

Selama empat tahun berkecimpung dalam bidang tersebut, beliau kemudian mendapat tawaran sebagai pengarah di salah sebuah agensi pelancongan pada seawal usia 26 tahun.

Bertugas dalam bidang yang dipelajarinya di universiti, Amija ternyata sangat gembira sehingga betah bertahan sehingga lebih 10 tahun.

Namun, pada tahun 2002 apabila Shared Auto memerlukan pekerja yang mahir dalam bidang jualan, Amija akhirnya memberanikan diri terjun dalam bisnes permotoran.

Siapa sangka daripada satu kebetulan, akhirnya bunga cinta dalam perniagaan jentera mewah itu mula berputik.

Cukup dua tahun menimba ilmu, pada tahun 2004 Amija kemudian membuka syarikat jualan kereta mewah sendiri dinamakan Shared Automobile Sdn. Bhd.

Beritahu Amija, keputusan menerajui syarikat milik sendiri itu membuatkan beliau terpaksa memegang tanggungjawab sendiri dan mencari pendekatan dalam hal melibatkan pengurusan dengan pihak bank serta pelanggan.

"Saya berusaha belajar mengenalpasti model kenderaan, produk dan cara pengendalian dengan orang yang berpengalaman dalam bidang tersebut.

"Malah, dengan keputusan itu juga saya terpaksa berhadapan dengan risiko menjana keuntungan dan harus bijak mencari dana sendiri melalui pinjaman daripada pihak bank," katanya sambil memberitahu kerjaya itu mengajarnya erti berdikari.

Berkat kesungguhan Amija, Shared Automobile terus berkembang dan bertahan dalam industri automotif sehingga kini.

Shared Automobile mengetengahkan pelbagai model kereta import dari Eropah dan Jepun seperti Toyota, Nissan, Honda, Mercedes-Benz, BMW dan Porsche.

Mengakui berada dalam bisnes yang dikuasai oleh kaum lelaki menuntut cabaran besar, namun ia tidak pernah melemahkan semangatnya.

"Tidak dinafikan, saya pernah diperlekeh dan di pandang rendah oleh sesetengah lelaki termasuk perkara-perkara mudah berkaitan kereta," ceritanya.

Namun, wanita yang sentiasa positif dalam hidupnya ini mengakui, jika diperhatikan wanita tetap mempunyai kelebihan tersendiri dalam bidang itu.

"Wanita lebih mudah mendapatkan pelanggan kerana keupayaan berkomunikasi dengan lebih baik.

"Bahkan, ramai pelanggan yang melihat wanita lebih jujur apabila berurusan melibatkan jual beli kenderaan," katanya.

Selain memahami mengenai jentera mewah di pasaran, kongsi Amija, kelewatan menghantar kereta tepat pada masanya kepada pelanggan, kereta yang rosak selepas dijual dan perlu sensitif dengan trend kereta mewah semasa antara cabaran yang dituntut dalam bidang itu.

"Di sinilah peranan komunikasi yang baik yang dimiliki banyak penjual wanita penting untuk mengembalikan kepercayaan pelanggan," ungkapnya.

Amija yang juga salah seorang exco Persatuan Wanita Bumiputera dalam Peniagaan dan Profesion Malaysia (Peniagawati) memberitahu kereta mewah yang paling laris dijual beliau kebiasaannya berharga RM200,000 ke atas.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::