ATTENTION !!!

Monday, June 7, 2010

Kerepek Ubi Kayu Tawau

(Post: Bahasa Melayu)
" Apabila disebut kerepek ubi, kita dengan sendirinya akan membayangkan kepingan nipis ubi kayu berbentuk bujur dan bersaiz gelang getah yang rangup dimakan. "

Kerepek ubi dengan pelbagai perasa masin, manis dan pedas itu biasanya berbentuk bujur kerana mengambil bentuk ubi kayu yang dipotong menjadi kepingan nipis sebelum digoreng atau dikeringkan.

Kepingan nipis atau kerepek ubi kayu jenis itu juga kini sudah begitu dikenali di pasaran sehingga begitu mudah didapati dan dibeli di mana-mana pusat membeli-belah.

Kaedah pembungkusannya juga begitu menarik dan setanding dengan snek ubi keluaran luar negara.

Bagaimanapun, snek ubi kayu bersalut gula merah keluaran Tawau agak berlainan dan unik berbanding snek ubi kayu biasa kerana selain berbeza dari segi rasa, ia juga berbeza dari segi cara pembuatan, malah saiznya.

Diparut

Kerepek ubi kayu Tawau ini dibuat daripada ubi kayu yang diparut. Ia berbentuk segi empat bersaiz 20cm X 25cm (saiz kertas A4) serta setebal kira-kira 0.4 milimeter.

Kerepek ubi kayu Tawau ini rangup dan rasanya agak manis kerana permukaannya disalut nipis dengan gula merah cair sebelum dimasukan ke dalam plastik kedap udara untuk dipasarkan.

Jika anda berkesempatan ke Sabah dan menggunakan jalan darat dari Kota Kinabalu ke daerah-daerah pantai timur seperti Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau, snek ubi buatan Tawau ini boleh dibeli dari gerai di tepi jalan raya sepanjang perjalanan.

Malah jika anda tiba di Kundasang, kawasan bersuhu rendah di Sabah dan menjadi satu daripada tumpuan pelancong, atau di Kunak dari Kota Kinabalu, anda boleh lihat snek ini bergantungan di gerai tepi jalan untuk pelanggan yang lalu-lalang.

"Kerepek ubi kayu bersalut gula merah ini merupakan sejenis makanan yang diwarisi daripada nenek moyang", kata Ruse Takang kepada Bernama.

"Idea untuk membuat kerepek ubi kayu bersalut ini timbul selepas suami saya meninggal dunia. Inilah ikhtiar yang boleh saya lakukan untuk menyara keluarga dan menyekolahkan anak bongsu lelaki saya", katanya.

Dikupas Kulit

"Untuk membuat kerepek ubi kayu ini memang memerlukan banyak kerja. Mula-mula, ubi kayu perlu dikupas kulitnya dan dibasuh bersih-bersih. Selepas itu, ia diparut. Saya menggunakan parut kelapa elektrik untuk memarut ubi kayu ini."

"Ubi yang sudah diparut itu kemudian disimpan semalaman dalam peti sejuk untuk menjadikannya tahan lama dan tidak mudah basi serta menghasilkan kerepek yang lebih baik," kata Ruse, 59, dari Kampung Batu Payung.

Beliau adalah seorang daripada pembuat kerepek ubi jenis itu di sini.

Ruse sebelum ini pernah membuat keropok Amplang, sejenis keropok berperasa ikan berbentuk bebola yang juga berasal dari Tawau.

Menurut Ruse selepas ubi parut itu disimpan semalaman dalam peti sejuk, ubi parut itu dikepal-kepal mengikut ukuran tertentu seperti orang membuat roti canai dan kemudian diletakan di atas daun pisang berbentuk segi empat tepat untuk dicanaikan sehingga senipis 0.4 milimeter.

Ubi parut yang sudah menjadi kepingan nipis itu kemudian dikukus sebelum dijemur sehingga kering di bawah matahari. Biasanya ia mengambil masa dua hingga tiga hari untuk menjadikan kepingan ubi kayu berkenaan benar-benar kering.

Kepingan Ubi Kayu

"Kepingan ubi kayu yang sudah dikukus perlu terus dijemur bagi mengelak ia rosak. Jika ia tidak dijemur dalam tempoh dua hari, tompok-tompok putih akan muncul di permukaan kepingan ubi kayu itu yang menandakan ia sudah rosak dan perlu dibuang."

"Untuk menyiapkan sekeping kerepek ubi kayu dari peringkat mencanai hingga proses mengukus biasanya mengambil masa sehingga 15 minit", katanya.

Menurut Ruse selepas kepingan ubi kayu parut itu benar-benar kering, ia bolehlah digoreng dan perlu segera dibungkus selepas disalut dengan gula merah cair supaya ia tidak masuk angin.

Ruse yang dibantu anak lelakinya memulakan usaha membuat kerepek ubi kayu bersalut gula merah itu kira-kira dua tahun lepas dengan hanya membuat 40 keping.

Memandangkan sambutan begitu menggalakkan beliau kini mampu menghasilkan sehingga 300 keping setiap hari.

Permintaan Peraih

"Itupun masih tidak dapat memenuhi permintaan peraih yang datang setiap minggu mengambil kerepek yang saya jual dengan harga RM1.20 sebungkus dengan setiap bungkus mengandungi tiga keping kerepek ubi", katanya.

Beliau berkata, pendapatannya daripada membuat kerepek ubi kayu bersalut gula merah berkenaan telah memberinya sumber pendapatan dan banyak membantunya membiayai persekolahan anak bongsu lelakinya yang memperoleh 4A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya kos pengeluaran kerepek berkenaan juga kian meningkat berikutan kenaikan harga barangan termasuk plastik pembungkus.

"Dulu harga pembungkus plastik bersaiz 35cm X 45cm cuma kira-kira RM2.50 sekilogram namun sekarang harganya sudah melambung kepada RM8 sekilogram", katanya.

Sumber: Bernama.com

Bookmark and Share

2 comments:

Diah June 7, 2010 at 11:16 AM  

Satu juta idea memang keren,,,gak ada matinya ide2 cemerlang... Thanks for sharing! Great site,, I'll put u on my Friends Link! Happy Blogging:)

ILA HonEyBuNNy June 7, 2010 at 12:49 PM  

wahhh..suka sgt kerepek2 neh...huh

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::