ATTENTION !!!

Friday, May 21, 2010

Alat Pengujian Ketangkasan Puzzle Heksagon

(Post: Bahasa Melayu)
" Sekumpulan penyelidik sains sukan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor berjaya menghasilkan sebuah alat yang dikenali sebagai Alat Pengujian Ketangkasan Puzzle Heksagon. "

Keistimewaan ciptaan tersebut adalah berkemampuan mengukur tahap kecergasan diri seseorang sekali gus menentukan jenis sukan yang sesuai disertai individu berkenaan.

Sama ada seseorang itu boleh bermain badminton, skuasy, tenis, judo, renang dan sebagainya, ia bergantung kepada ukuran tahap ketangkasan atau kelajuan pergerakan tubuh badan dalam keadaan stabil juga seimbang yang diperoleh daripada mesin tersebut.

Pengarah projek produk tersebut yang juga Ketua Jabatan Terapi dan Rehabilitasi Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan UTM, Profesor Madya Dr. Abdul Hafidz Omar menyifatkan kejayaan menghasilkan alat tersebut sebagai satu langkah untuk membantu meningkatkan lagi taraf sukan tanah air.

"Alat ini dicipta untuk mengenal pasti bakat awal kanak-kanak dalam sukan tertentu di samping dapat menguji tahap ketangkasan setiap individu mahupun atlet sukan," katanya ketika ditemui di Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, UTM.

Abdul Hafidz ketika menerangkan cara penggunaan alat tersebut berkata, pertamanya, pengguna perlu menekan butang mula dan memilih aplikasi yang bersesuaian sebelum melompat ke enam arah berlainan.

"Kemudian, pengguna perlu melengkapkan sebanyak tiga pusingan dengan sepantas mungkin dan mesin yang dipasang bersama alat itu akan mengeluarkan keputusan."

"Justeru, bacaan yang diperolehi daripada mesin adalah tepat dan konsisten dan dari situ kita akan dapat tahu sukan yang sesuai kepada mereka yang membuat ujian itu," katanya.

Menurut Abdul Hafidz, kumpulan penyelidiknya telah menguji alat tersebut ke atas atlet-atlet UTM dan ia menunjukkan tahap sah dan kebolehpercayaan yang tinggi.

Tambahnya, alat yang mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan itu merupakan versi kedua dan pernah memenangi pingat emas serta anugerah Terbaik dalam pertandingan Malaysia Teknologi Ekspo (MTE) 2010, Februari lalu.

Bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk menghasilkan masyarakat yang kreatif dan inovatif, alat ini dilihat dapat menggantikan ujian ketangkasan manual sedia ada.

Aspirasi Abdul Hafidz dapat direalisasikan dengan bantuan kumpulan penyelidik yang dianggotai graduan Fakulti Pendidikan Sains Sukan, Ahmad Syukri Muhamad, 25 dan Khairuddin Hassan, 26, serta barisan penyelidik projek dari Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, UTM.

Tambahnya, produk tersebut bakal dijual di pasaran dalam masa terdekat dengan harga RM400 seunit dan setakat ini beberapa syarikat telah menunjukkan minat untuk memasarkan alat itu.

"Kami yakin produk tersebut bakal mendapat sambutan kerana fungsinya yang penting dan kumpulan sasaran kami adalah sekolah-sekolah, pusat sukan dan organisasi berkaitan," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::