Zaki Carpenter
(Post: Bahasa Melayu)
"Ramai orang tak percaya kepada kayu terpakai. Bimbang tidak tahan lama, tidak kukuh dan sebagainya. Hakikatnya sifat kayu, lebih kering lebih tahan lama kerana ia lebih keras."
"Tetapi perlu faham juga ragam kayu berlainan spesies. Bukan semua jenis kayu sesuai dipasang pada semua bahagian rumah," kata kontraktor pembinaan dan rekaan daripada Zaki Carpenter, Ku Zaki Ku Mansor, 39.
Tambah Zaki, kayu yang lebih matang lebih jelas kecantikan urat kayunya. Aspek itu tentu penting buat mereka yang benar-benar menghargai elemen kayu.
Kayu terpakai juga, kata Zaki, separuh lebih murah berbanding harga kayu baru, sedangkan kayu baru lebih banyak ragamnya kerana belum cukup matang.
Lebih cantik, lebih tahan lama dan lebih murah. Bagi saya ia lebih memberi kepuasan kerana kayu lama banyak kelebihannya," kongsinya yang menerangkan kayu baru memerlukan masa sekurang-kurangnya 10 tahun untuk kering.
Demi menunjukkan kesan yang dapat dihasilkan melalui kayu terpakai, Zaki menjemput krew Jurnal untuk melihat sendiri sentuhannya pada sebuah rumah teres di Subang Jaya, Selangor.
"Untuk rumah ini, kami gunakan 100 peratus kayu terpakai yang berusia lebih 80 tahun daripada spesies merbau, cengal dan balau," ujar Zaki ketika mempelawa kami masuk ke pekarangan rumah itu.
Dari pagar dan dinding depan rumah sehinggalah ke pintu utama, kekuatan aura elemen kayu begitu terasa.
Mungkin juga kerana ia kelihatan sangat jauh berbeza berbanding rumah yang mengapitnya di kedua-dua belah. Namun, yang jelas, rumah itu terasa 'hidup'.
Memasang dek di depan pintu masuk utama, pintu itu juga mudah menarik perhatian.
"Kemungkinan besar pintu ini pernah digunakan di mahkamah. Lihat saja saiz daun pintu, engsel dan selaknya. Ia juga dicat sehingga enam lapis.
"Orang lain tak mahu membelinya kerana cat itu. Tetapi saya percaya ia dapat menghasilkan sebuah pintu yang cantik kalau dikikis catnya," kata anak kelahiran Kedah itu.
Memijak lantai di dalam rumah yang dilapisi kayu sepenuhnya, bunyi berkeriut yang dihasilkan mudah mengimbau ingatan penulis terhadap rumah kampung yang sudah lama dirobohkan.
Aras lantai ruang tamu itu tidak berapa tinggi, namun keterujaan merasa kelembutan kayunya tetap sama.
"Kalau orang tak faham ragam kayu, susah untuk mereka menerima 'kekurangan' kayu. Kalau kayu merekah, bukan kerana ia tidak tahan, tetapi mungkin sebab terlalu keras.
"Menjadi sifat kayu juga mengembang ketika cuaca panas dan mengecut apabila sejuk. Kayu juga tidak ada yang sempurna. Keras sepenuhnya atau lembut sepenuhnya.
"Tak ada sekeping kayu yang betul-betul sama dengan kepingan yang lain walaupun sama jenis," terang Zaki panjang lebar.
Benar-benar menghayati ilmu perkayuan, rupa-rupanya Zaki sudah pergi ke merata tempat untuk mempelajari ragam kayu, termasuklah ke Myanmar untuk mengkaji kayu jati terbaik di dunia di sana.
"Kalau mahu jadi tukang kayu, kena tahu sekurang-kurangnya 10 jenis kayu dengan baik, barulah mudah untuk buat kerja," ujarnya.
Beliau menambah, mengubahsuai rumah dengan memasukkan kayu terpakai lebih lancar sekiranya semua pihak yang terlibat meminati kayu.
"Ini kerana bukan mudah untuk menerangkan ragam kayu yang terlalu banyak," katanya yang sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam pertukangan kayu.
Rumah yang didiami empat isi rumah itu bagaimanapun masih berdinding simen.
"Selalunya saya pergi mencari sumber kayu dahulu sebelum duduk bersama arkitek, jurutera dan tuan rumah untuk menghasilkan satu-satu pelan rekaan.
"Bajet tuan rumah juga perlu diperhatikan. Tambahan, untuk zaman sekarang, walaupun tuan rumah mahukan unsur tradisional, lebih sesuai untuk menggabungkan simen dan kayu supaya ia tidak kelihatan terlalu 'lama'," jelas Zaki.
Menariknya, Zaki berkongsi, ubahsuai menggunakan kayu terpakai itu juga dilakukan menggunakan teknologi kuno.
"Semua penyambungan (kayu) dilakukan dengan menggunakan pelbagai jenis tanggam, pasak, dan baji. Jadi tidak banyak paku digunakan di sini.
"Selain menjimatkan, ia selaras dengan kemahuan pemilik yang mahu mewujudkan unsur tradisional di dalam rumah ini," jelasnya.
Ditanya lanjut tentang kayu terpakai, kata Zaki, ia datang daripada bangunan lama yang dirobohkan seperti kilang, sekolah dan rumah.
"Kalau ada bangunan kayu lama yang hendak dirobohkan, cepat-cepat saya ke sana untuk membeli kayu. Tetapi tidak boleh terus beli. Kena menang tender juga kerana walaupun pasarannya kecil, tetap ada pemainnya.
"Sumber selalunya terhad. Disebabkan itu, ia mengambil masa antara satu hingga dua bulan untuk saya mendapatkan bahan bagi satu-satu projek pembinaan atau pengubahsuaian," jelasnya.
INFO:
Tukang kayu: Ku Zaki Ku Mansor (Zaki Carpenter)
Telefon: 016-379558
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment