ATTENTION !!!

Showing posts with label pusat jualan kereta. Show all posts
Showing posts with label pusat jualan kereta. Show all posts

Wednesday, April 21, 2010

Pecutan Dinamik Auto

(Post: Bahasa Melayu)
" Kecekalan dua sahabat yang bermula dari bawah dengan mempertaruhkan masa depan mereka menceburi bidang perniagaan ternyata tidak sia-sia apabila muncul antara pengedar kereta mewah Bumiputera terbesar di Pantai Timur. "

Walaupun terpaksa berdepan pasang surut ekonomi negara yang menyaksikan banyak syarikat lain yang melakukan perniagaan serupa gulung tikar, dua sahabat berkenaan tabah mengharungi badai itu.

Lebih membanggakan, pengorbanan mereka sebagai rakan kongsi sehingga terpaksa mengikat perut bagi memastikan perniagaan terus bertahan membuahkan hasil dan semuanya berkat kesabaran serta kesepakatan sebagai rakan niaga.

Bagi mereka, kejayaan dicapai kini adalah hasil ketabahan serta doa dalam menghadapi cabaran sengit bidang automotif, terutama dalam perniagaan kenderaan mewah terpakai yang kebanyakannya dimonopoli bangsa asing.

Pembabitan awal Mohd Nazri yang berasal dari Kampung Mengabang Telipot dan Khairul Azlan dari Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu, Terengganu dalam bidang itu bermula secara tidak sengaja apabila mereka bertemu di sebuah institusi kewangan di negeri ini atas urusan perniagaan.

Perbualan awal mereka berkisar hal jualan kenderaan terpakai serta kepayahan dihadapi dalam bidang itu kemudian berlarutan apabila masing-masing menjadi sahabat karib sebelum sepakat membuka perniagaan kereta terpakai.

Menurut Mohd Nazri, sebelum terbabit dalam perniagaan kereta sepenuh masa, dia bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat kosmetik selain mencuba nasib sebagai broker kereta terpakai bagi menambah pendapatan.

Kerjaya sampingan selama 10 tahun itu memberinya pengalaman berharga untuk memahami selok-belok penjualan kenderaan terpakai serta memahami kehendak pelanggan yang pelbagai.

"Saya terpaksa melakukan pelbagai kerja, termasuk menjadi broker kereta terpakai. Pernah satu ketika ekonomi merudum, kereta tak boleh jual, poket kosong dan hanya tinggal RM50 untuk perbelanjaan harian bagi mengalas perut kami sekeluarga."

"Mahu atau tidak, saya terpaksa mengikat perut untuk memastikan isteri serta anak cukup makan. Walaupun berdepan kepayahan, cita-cita saya untuk berjaya dalam bidang ini tidak pernah surut dan alhamdulillah, akhirnya Tuhan memakbulkannya," katanya yang dilantik sebagai Pengarah Pecutan Dinamik Auto Sdn Bhd.

Selepas mencapai kata sepakat, mereka berdua kemudian mendapat tunjuk ajar daripada seorang rakan yang lebih berpengalaman dalam perniagaan kereta terpakai di Kampung Merbau Patah.

Dengan bermodalkan RM30,000, dia yang mengakui dirinya masih mentah dalam dunia perniagaan ketika itu berjaya menjual tiga kereta terpakai di kedainya yang dibeli daripada penjual kereta di ibu negara.

Beliau berkata, kereta terpakai yang dibeli dipandu sendiri bersama rakan kongsi untuk dibawa pulang ke Terengganu dan rutin berkenaan dilakukannya selama dua tahun sebagai penjual kereta terpakai berskala kecil.

Katanya, rutin seminggu sekali bersama Azlan ke Kuala Lumpur menaiki bas ekspres untuk mengambil kereta terpakai menjadi memori susah senang mereka dalam bidang itu, malah ada ketikanya terpaksa tidur di lebuh raya apabila kenderaan dipandu mengalami kerosakan.

"Selain itu, kami membawa bekalan roti untuk sarapan sebagai mengalas perut kerana perjalanan jauh dan berjimat kerana tidak cukup wang untuk berbelanja ketika di ibu negara," katanya.

Walaupun terpaksa menempuh jatuh dan bangun dalam bidang itu, termasuk tidak mendapat keuntungan apabila kereta yang mahu dijual sering mengalami kerosakan di peringkat awal, ia bukan penghalang buat dua sahabat itu untuk bangkit menggunakan sepenuhnya modal pusingan bagi memperkembangkan perniagaan.

Impian mereka tercapai pada 2003 apabila sekali lagi sepakat menaik taraf perniagaan mereka dengan menceburi perniagaan menjual kereta mewah import terpakai.

Ternyata usaha dan strateginya tidak sia-sia apabila kereta yang dibekalkan syarikat pembekal kepada mereka mendapat sambutan hangat, terutama pelanggan dari Kelantan, Pahang serta Kuala Lumpur yang sering membuat tempahan untuk mendapatkan kereta mewah.

Menyedari potensi perniagaan terbabit boleh dikembangkan, mereka melebarkan sayap perniagaan dengan membuka dua cawangan kedai kereta mewah terpakai di Kampung Merbau Patah dan Jalan Kuala Berang di Kuala Terengganu.

Rezeki mereka dalam bidang itu tidak terhenti di situ apabila permintaan menggalakkan pelanggan terus mendorong mereka membuka satu lagi cawangan PD Auto di Jalan Tengku Hitam, Kemaman setahun kemudian.

Kini, operasi perniagaan kereta mewahnya berjalan lancar dan semua cawangan berkenaan memberi pulangan seperti diharapkannya dengan jualan purata 30 kereta mewah setiap bulan.

Dengan memegang prinsip 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan', dua sahabat itu kini boleh berbangga kerana mereka antara anak Terengganu yang berjaya dalam perniagaan kereta mewah di negeri ini.

Bagi memastikan bekalan kenderaan mewah sentiasa mencukupi, syarikatnya kini memiliki lebih 90 kereta mewah pelbagai model sebagai stok di tiga cawangan perniagaannya bagi memudahkan pelanggan mendapatkan kereta dalam kadar segera.

Walaupun hidup mereka semakin baik dengan hasil perniagaan menjual kereta mewah, dua sahabat bertaraf jutawan ini tidak pernah melupakan kesusahan dilalui sebelum ini, terutama ketika terpaksa tidur di lebuh raya dan berbekalkan roti ketika ke Kuala Lumpur untuk membeli kereta terpakai.

Bagi mereka, kejayaan diperoleh umpama mimpi. Daripada penjual kereta terpakai kecil-kecilan dan tidak berdaya maju, kini mereka mampu memiliki kehidupan lebih baik berbanding ketika mula-mula menjalankan perniagaan.

"Semuanya hasil doa selain keberkatan Tuhan terhadap usaha gigih kami untuk mengubah kehidupan ke arah lebih baik."

"Bagaimanapun kejayaan ini tidak dikecapi dengan mudah. Ia sebenarnya satu hikmah kepada kami supaya sentiasa menginsafi diri walaupun sudah berjaya," kata Khairul Azlan.

Menurutnya, pelanggan yang berkunjung diberi layanan istimewa serta penerangan terbaik bagi memudahkan urusan jual-beli.

"Kebanyakan pelanggan kami pernah membeli kereta di sini, malah mereka turut memperkenalkan kedai kami kepada rakan mereka untuk membeli kenderaan mewah yang berkualiti," katanya.

Menurutnya, selain rakan kongsi yang saling memahami, mereka turut berkongsi hobi sama apabila meminati motosikal berkuasa tinggi, malah sering ke Litar Antarabangsa Sepang sebagai gelanggang mengasah bakat dalam perlumbaan.

Dua sahabat baik ini turut aktif dalam Kelab Motor Terengganu (KMT) dan melalui berpersatuan, ia turut mempromosi perniagaan mereka kepada kenalan.

Sumber: myMetro
Foto: PD Auto

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, July 30, 2009

Kereta Mewah SHARED AUTOMOBILE

(Post: Bahasa Melayu)
"Walaupun agak berat hati meninggalkan bidang perhotelan dan menyertai perniagaan yang dikuasai oleh kaum lelaki, namun memikirkan ia sebuah perniagaan keluarga Amija nekad mencuba."

Walaupun arwah bapanya telah membuka syarikat jualan kenderaan mewah Shared Auto Sdn. Bhd., sejak dua dekad lalu, Nor Amija Miskon, 41, tidak pernah terfikir untuk terjebak dalam bisnes yang sama.

Apatah lagi industri permotoran sangat sinonim dengan kaum lelaki.

Lantaran itu, sebaik tamat pengajian dalam bidang Pengurusan Hotel dan Katering di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 1988, Amija memulakan kerjayanya sebagai seorang eksekutif jualan runcit di salah sebuah pusat beli-belah di ibu kota.

Selama empat tahun berkecimpung dalam bidang tersebut, beliau kemudian mendapat tawaran sebagai pengarah di salah sebuah agensi pelancongan pada seawal usia 26 tahun.

Bertugas dalam bidang yang dipelajarinya di universiti, Amija ternyata sangat gembira sehingga betah bertahan sehingga lebih 10 tahun.

Namun, pada tahun 2002 apabila Shared Auto memerlukan pekerja yang mahir dalam bidang jualan, Amija akhirnya memberanikan diri terjun dalam bisnes permotoran.

Siapa sangka daripada satu kebetulan, akhirnya bunga cinta dalam perniagaan jentera mewah itu mula berputik.

Cukup dua tahun menimba ilmu, pada tahun 2004 Amija kemudian membuka syarikat jualan kereta mewah sendiri dinamakan Shared Automobile Sdn. Bhd.

Beritahu Amija, keputusan menerajui syarikat milik sendiri itu membuatkan beliau terpaksa memegang tanggungjawab sendiri dan mencari pendekatan dalam hal melibatkan pengurusan dengan pihak bank serta pelanggan.

"Saya berusaha belajar mengenalpasti model kenderaan, produk dan cara pengendalian dengan orang yang berpengalaman dalam bidang tersebut.

"Malah, dengan keputusan itu juga saya terpaksa berhadapan dengan risiko menjana keuntungan dan harus bijak mencari dana sendiri melalui pinjaman daripada pihak bank," katanya sambil memberitahu kerjaya itu mengajarnya erti berdikari.

Berkat kesungguhan Amija, Shared Automobile terus berkembang dan bertahan dalam industri automotif sehingga kini.

Shared Automobile mengetengahkan pelbagai model kereta import dari Eropah dan Jepun seperti Toyota, Nissan, Honda, Mercedes-Benz, BMW dan Porsche.

Mengakui berada dalam bisnes yang dikuasai oleh kaum lelaki menuntut cabaran besar, namun ia tidak pernah melemahkan semangatnya.

"Tidak dinafikan, saya pernah diperlekeh dan di pandang rendah oleh sesetengah lelaki termasuk perkara-perkara mudah berkaitan kereta," ceritanya.

Namun, wanita yang sentiasa positif dalam hidupnya ini mengakui, jika diperhatikan wanita tetap mempunyai kelebihan tersendiri dalam bidang itu.

"Wanita lebih mudah mendapatkan pelanggan kerana keupayaan berkomunikasi dengan lebih baik.

"Bahkan, ramai pelanggan yang melihat wanita lebih jujur apabila berurusan melibatkan jual beli kenderaan," katanya.

Selain memahami mengenai jentera mewah di pasaran, kongsi Amija, kelewatan menghantar kereta tepat pada masanya kepada pelanggan, kereta yang rosak selepas dijual dan perlu sensitif dengan trend kereta mewah semasa antara cabaran yang dituntut dalam bidang itu.

"Di sinilah peranan komunikasi yang baik yang dimiliki banyak penjual wanita penting untuk mengembalikan kepercayaan pelanggan," ungkapnya.

Amija yang juga salah seorang exco Persatuan Wanita Bumiputera dalam Peniagaan dan Profesion Malaysia (Peniagawati) memberitahu kereta mewah yang paling laris dijual beliau kebiasaannya berharga RM200,000 ke atas.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::