Jurugambar Profesional
(Post: Bahasa Melayu)
"Cita-citanya ingin menjadi jurufoto hampir terkubur kerana kemiskinan, namun apabila kesungguhan, kreativiti dan bakat bersatu, Alvin kini antara jurufoto yang disegani di Malaysia."
Sering mencipta imej transformasi yang hebat melalui lensa kameranya, tidak hairanlah Alvin Loh, 38, suatu ketika dulu acap kali merakam imej-imej eksklusif supermodel Malaysia Amber Chia.
Selain Amber Chia, ramai lagi figura seni tempatan antaranya Carmen Soo, Ning Baizura, Siti Nurhaliza dan Carie Lee menggemari jurufoto profesional itu.
"Berasal daripada keluarga tukang emas, ia tidak membuka ruang kepada saya untuk menceburi bidang fotografi.
"Agak mendukacitakan apabila situasi keluarga yang serba kekurangan, menyebabkan saya tidak mampu membeli sebuah kamera berkos murah ketika remaja," kata Alvin.
Katanya, sejurus selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jiwanya semakin berminat dengan fotografi namun terpaksa dilupakan seketika.
Demi tuntutan ibu bapa, dia kehendaki mengikut jejak langkah keluarga untuk menukul dan membikin barang kemas bersama salah seorang saudaranya di Pulau Pinang.
"Namun, hasrat yang terpendam akhirnya menjadi realiti apabila saya berhijrah ke ibu kota sekitar tahun 1995 untuk mengejar impian menjadi seorang jurufoto profesional.
"Sambil berkhidmat di sebuah kelab berasaskan sukan, saya mengambil kursus fotografi di Akademi Photo Art selama setahun," ujarnya sambil memberitahu selepas tamat kursus tersebut dia mendapat peluang bekerja di Vogue Image Photo Studio iaitu sebuah syarikat berasal dari Singapura yang julung kali memperkenalkan konsep imej foto di Malaysia.
"Ketelitian, kejelasan dan kekemasan antara elemen penting yang perlu ada pada seseorang jurufoto," kata jurufoto yang memiliki pengalaman selama 13 tahun dalam bidang fotografi.
"Saya tidak gemar mengambil gambar produk ataupun alam semula jadi kerana produk tidak mempunyai pergerakan manakala alam semula jadi menuntut kesabaran tinggi sehingga anda mungkin terpaksa menunggu sehari suntuk untuk merakam hanya sekeping gambar.
"Ini tidak makna, saya tidak versatil. Saya lebih selesa dengan sesuatu yang melibatkan orang dan majlis," tambah Alvin yang pernah menjadi jurufoto rasmi untuk pertandingan ratu cantik Miss Astro Chinese International, Miss Malaysia Chinese Comos, Astro Talent Quest, Amber Chia Supermodel's Secrets of Success Book dan Portrait of Hope Book.
Sumber: Kosmo! Online
1 comments:
thank sudi menjenguk blog aku...ok owez smile n buat yang terbaik tuk diri sendiri..peace
Post a Comment