Seni Muzik Mridangam
(Post: Bahasa Melayu)
"Jari jemari Darmen bukan sahaja mahir mengetuk mridangam yang mengeluarkan irama merdu, malah dia mahir membaiki dan membikin semula instrumen lama yang berasal dari India Selatan itu."
Pada usia 20 tahun, Darmenthiran Krisnasamy, merupakan satu-satunya figura seni muda India tempatan yang memiliki ilmu pembikinan semula alat muzik tradisional masyarakat India iaitu mridangam ataupun genderang.
Alat itu merupakan antara instrumen utama dalam industri muzik klasik masyarakat India sejak turun temurun.
Dia yang ditemui di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini sempat mendendangkan salah satu irama kegemarannya, sambil memalu mridangam dengan penuh asyik.
Lebih mesra dengan panggilan Darmen, dia memberitahu, sejarah muzik masyarakat India merupakan antara yang tertua di dunia. Evolusi muzik di India secara spontan melahirkan dua cabang iaitu hindustani dan karnatik sangget.
Menurut Darmen, Mridangam terbit daripada dua perkataan bahasa sanskrit iaitu Mrid yang membawa maksud lempung dan Ang adalah badan.
Dipercayai bahawa alat tradisional itu ditemui dalam muzik karnatik sangget sebelum kewujudan tabla iaitu sejenis gendang yang terkenal dan diguna secara meluas dalam cabang muzik klasik hindustani sejak dahulu.
"Genderang panjang yang 'bermuka' dua itu dikatakan turut mengambil tempat dalam upacara ritual dan persembahan tarian klasik masyarakat selatan India iaitu barathanatyam," kata Darmen sambil memperaga beberapa buah mrindangam miliknya kepada Kosmo!.
Menurut anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu, ketiadaan kepakaran membaiki semula alat itu memberi satu kerugian kerana kos membaik pulih mridangam yang rosak agak mahal.
"Itulah yang mendorong saya mempelajari selok-belok kesenian ini. Ada ramai kenalan pemain mrindangam merungut apabila bahagian tepi alat itu rosak sehingga mereka terpaksa menghantarnya ke India untuk diperbaiki dengan kos yang tinggi daripada harga asal iaitu RM800 sehingga RM1,000,"jelasnya.
Ujarnya, dia juga merujuk maklumat daripada Internet dan tunjuk ajar seorang pemain mridangam yang semakin mencipta nama di India iaitu TRS Manikandan sebelum memulakan kerja-kerja membaik pulih alat ini," ujar Darmen yang meminati seni muzik sejak berusia empat tahun.
Menurutnya, kerja-kerja membaiki semula mridangam itu dilakukan dengan bantuan rakan-rakannya. Dia akan melakukan kerja-kerja seperti melilit tali kulit, menukar kulit baru permukaan tepi mridangam dan mengecat mridangam apabila ada masa lapang.
"Walaupun, kerja membaiki semula itu nampak mudah tetapi ia mengambil masa agak lama untuk membuat balik permukaan yang rosak itu. Tali panjang daripada kulit yang dililit di permukaan 'badan' gendang itu perlu dimasukkan semula dengan penuh teliti.
"Peralatan yang digunakan untuk membaiki semula itu dibeli daripada seorang pembikin mridangam di India. Setelah memperoleh peralatan tersebut dan dengan bantuan kawan-kawan, saya akan memulakan proses membaiki bahagian tepi kanan dan kiri alat ini," jelas Darmen sambil memberitahu seseorang memerlukan tenaga yang kuat untuk melilit tali kulit supaya dapat menghasilkan irama yang merdu.
Mengulas lanjut, katanya, dalam mengatasi masalah kerosakan itu, kebanyakan pemain mridangam khususnya di luar negara seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) membuat penyelidikan sendiri dan menggunakan skru besi sebagai pengganti tali kulit.
"Penggantian alat besi itu masih dapat mengeluarkan irama merdu yang sama seperti mridangam tradisional."
"Tetapi di negara ini, belum ada lagi yang menggunakan kaedah moden itu untuk memperbaiki kerosakan mridangam. Kadangkala keadaan cuaca yang berbeza juga mengundang masalah kepada mridangam," katanya.
Menurutnya, pada masa ini, dia hanya membuat kerja itu secara sambilan sahaja. Setelah memperoleh sepenuhnya kemahiran membuat ataupun membaiki mridangam, barulah dia akan memulakan perniagaan sendiri.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment