ATTENTION !!!

Showing posts with label selipar. Show all posts
Showing posts with label selipar. Show all posts

Wednesday, June 8, 2011

Trendy Flip Flop Fipper

(Post: Bahasa Melayu)
" Pengaruh pemakaian selipar ringkas atau flip flop sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat Malaysia. "

Sejak beberapa tahun lalu, trend itu kembali menjadi pilihan generasi masa kini. Ia bangga dipakai sebagai aksesori bergaya selepas ia melalui beberapa fasa perubahan reka bentuk, warna dan fesyen.

Mendapat jolokan popular selipar Jepun suatu masa dahulu, flip flop kini diakui sebagai pilihan fesyen sepanjang zaman yang tidak luput ditelan arus kemodenan.

Tidak lagi dilihat sebagai aksesori yang tidak seiring perkembangan fesyen semasa, flip flop sebaliknya semakin popular dalam kalangan golongan muda terutamanya remaja masa kini untuk melengkapi aktiviti santai mereka.

Justeru, EarthFour Sdn. Bhd. yang membangunkan jenama Fipper pada tahun 2008 menghasilkan rekaan-rekaan flip flop yang trendy dan terkini untuk dipakai generasi penggemar yang mahu tampil bergaya dengan mudah dan ringkas.

Pengurus Besarnya, Dylan Cheong berkata, jenama Fipper dibangunkan selepas satu kumpulan kecil yang terdiri daripada empat anak muda melihat perkembangan fesyen sandal flip flop di negara luar yang begitu pesat membangun.

"Kini, Fipper mempunyai tiga orang pereka khas kreatif yang merupakan anak tempatan. Mereka menghasilkan rekaan yang menepati cita rasa semua golongan tidak kira usia," katanya ketika ditemui di butik Fipper di Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan.

Menurut Dylan, Fipper merupakan 100 peratus jenama tempatan tetapi melalui proses pembuatan di Thailand.

Walaupun rupanya tidak seperti kasut atau sandal berjenama, ia tetap dilihat menarik di kaki pemakainya. Bukan sahaja cantik dan berkualiti, Fipper turut dijual dalam variasi pilihan warna yang sesuai dipadankan dengan pakaian santai.

"Fipper dihasilkan menggunakan getah asli sepenuhnya dan bahan mentah yang paling sesuai boleh didapati di Thailand. Disebabkan itu, logo jenama ini menggunakan imej gajah yang terkenal di negara berkenaan," katanya.

Dylan memberitahu, fesyen flip flop masih baru di Malaysia tetapi sudah berkembang dengan cepat di luar negara yang menyediakan pelbagai rekaan berkualiti tinggi dan dijual pada harga tinggi.

"Fipper merupakan jenama peneraju di Malaysia dan kami mahu menghasilkan rekaan-rekaan terkini seiring permintaan dan perkembangan fesyen flip flop di sini."

"Kelebihan Fipper bukan sahaja pada harganya yang rendah berbanding kualitinya yang tinggi, malah ia antikulat dan bahan aslinya memastikan pengguna tidak tergelincir ketika pemakainya melangkah di permukaan licin," katanya.

Dalam pada itu, Dylan memberitahu, setiap rekaan Fipper tampil di antara 30 hingga 40 pilihan warna berbeza yang menepati cita rasa fesyen yang pelbagai.

Warna-warna terang seperti oren, hijau, merah, kuning, biru, firus dan ungu menjadi ‘buruan’ ramai, apatah lagi keluaran yang menggabungkan dua atau lebih warna.

"Setiap pasang Fipper mempunyai padanan warna yang sepadan atau kontra atau berjalur, terpulang kepada cita rasa pelanggan. Ada yang mahu tampil klasik dengan gabungan warna asas, atau tampil funky dengan gabungan warna-warna terang dan kontra."

"Ia bukan sahaja sesuai untuk kedua-dua aktiviti dalaman dan luaran, generasi masa kini memakai flip flop di mana-mana sahaja, sama ada ketika membeli-belah, keluar bersantai bersama teman atau ke pantai untuk menikmati masa percutian berkualiti," katanya.

Jelas Dylan, sejak diperkenalkan, Fipper mempunyai komuniti Facebooknya sendiri yang bukan sahaja membeli Fipper untuk kegunaan harian tetapi dijadikan koleksi peribadi yang lain daripada yang lain.

"Ada penggemar flip flop kini menjadi pengumpul jenama Fipper dengan memastikan mereka mempunyai koleksi warna-warna menarik yang menjadi kegemaran mereka."

"Selain itu, dengan koleksi tersebut, ia boleh dipakai dengan warna pakaian yang sepadan setiap kali keluar rumah. Pengguna tidak akan rasa terbeban untuk menyimpan koleksi Fipper kerana ia murah tetapi cantik dan selesa," katanya.

Sementara itu, Dylan memberitahu Fipper menawarkan empat pilihan flip flop iaitu Classic, Strong, Strip dan Comfort yang dijual pada harga berbeza.

"Kedai Fipper kini boleh didapati empat lokasi di Lembah Kelang iaitu di Plaza Sungei Wang, Ampang Point, Berjaya Times Square dan di Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan, manakala dua lokasi di Pulau Pinang ialah di pusat beli-belah First Avenue dan Lapangan Terbang Bayan Lepas."

"Selain itu, kami juga bakal membuka kedai baru di Mydin Sbang Jaya, Selangor pada bulan Jun ini diikuti dua buah kedai lagi di Leisure Mall dan Sunway Pyramid akhir tahun ini," katanya.

Tambah Dylan, Fipper juga boleh didapati di pasar raya Carrefour dan bakal dipasarkan di kedai kesihatan dan kecantikan Guardian dalam masa terdekat.

"Kami mempunyai sasaran untuk mengembangkan jenama ini sebagai salah satu pilihan fesyen untuk semua golongan. Berdasarkan sambutan menggalakkan kini, kami bakal tampil dengan rekaan-rekaan fesyen flip flop terkini dan belum pernah dipasarkan di negara ini."

"Selain itu, Fipper juga bakal mengeluarkan koleksi Fipper Junior untuk kanak-kanak dan Fipper Metalic yang berkilat untuk mereka yang berani," katanya.

Katanya lagi, bagi menarik golongan berkeluarga atau pasangan kekasih untuk memiliki koleksi Fipper di rak kasut mereka, Fipper menawarkan pakej keluarga. Mengikut pakej itu, pelanggan yang datang bersama keluarga atau pasangan dapat membeli Fipper dengan harga diskaun.

"Ia sesuatu yang menggembirakan kami sekiranya dapat melihat pasangan atau keluarga tampil sedondon memakai sepasang flip flop Fipper dengan penuh bergaya," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, May 14, 2010

Selipar Banana Peel

(Post: Bahasa Melayu)
" Dahulu tidak banyak selipar yang menampilkan himpunan corak berwarna-warni. Terlalu trendy dan mudah menarik perhatian, suatu ketika dahulu tidak ramai yang gemar memakai selipar seperti itu kala bersiar-siar. "

Bagaimanapun, fesyen masa kini telah mengalami perubahan drastik apabila peminat fesyen tidak hanya gemar mengumpul kasut, bahkan selipar turut menjadi koleksi peribadi. Sesuai dipadankan dengan pelbagai gaya, selipar juga menjadi pernyataan fesyen tersendiri.

Selipar hari ini tidak hanya menekankan kepada keselesaan, malah perlu tampil dengan corak unik, rekaan lebih trendy dengan permainan warna yang segar.

Kedatangan jenama baru selipar Banana Peel yang menggabungkan gaya terkini, keselesaan dan serba guna menawarkan pelbagai seleksi rekaan yang sesuai dengan semua lapisan umur.

Berkonsepkan bebas bergerak dengan penuh yakin, jenama itu diilhamkan oleh iklim dan gaya hidup tropika sekali gus sesuai dengan musim di negara ini.

Selipar yang bergaya santai itu direka dengan gaya ultra trendy, olahraga dan klasik. Tawaran harga yang cukup kompetitif iaitu RM23 sepasang dengan pilihan corak amat menarik pasti membuatkan ramai yang ingin menyarungnya.

Jika anda seorang wanita yang gemarkan gaya manis dengan watak kartun Disney, koleksi Retro Mickey and Minnie merupakan pilihan terbaik untuk dipakai.

Sementara itu, koleksi Freshly Squeezed pula membawa rekaan menarik dengan gabungan warna jingga.

"Mereka yang ingin kelihatan sentiasa ceria dan sesuai dengan usia remajanya, koleksi rekaan bercorak abstrak Banana Peel's Mad About Prints amat sesuai, malah ia boleh dipadankan dengan pelbagai warna pakaian anda," beritahu Pengarah Oridea Sdn. Bhd., Pauline Ng.

Setiap dua bulan Banana Peel akan mengetengahkan himpunan baru dengan tujuan memberikan cita rasa yang lebih pelbagai kepada si pemakai. Tidak pernah sesekali melupakan fesyen untuk kaum lelaki, koleksi All Signs memberikan gambaran ciri lelaki maskulin.

"Koleksi ini mengetengahkan banyak paparan tanda-tanda seperti No Parking, Speed Limit, Fragile dan Slow Children Playing," jelasnya lagi.

Bagi anda yang ingin tampak ringkas, koleksi uniseks iaitu Status Quo memberi pilihan lima warna cukup menarik iaitu merah, coklat, hitam, kelabu dan merah jambu.

Koleksi Banana Peel boleh didapati di galeri Banana Peel di pusat beli-belah seperti MidValley, Sunway Pyramid dan Plaza Sungei Wang.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, August 17, 2009

Rezeki Malam di Kampung Baru

(Post: Bahasa Melayu)
"Rata-rata pengunjung berkeluarga akan datang di antara pukul 8 hingga 10 malam. Selepas waktu itu dan sehingga pukul 3 pagi, pelanggan golongan muda pula tidak akan putus-putus singgah makan di sini."

Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Ini bermakna sudah hampir empat jam kami berada di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Namun, kemeriahan lautan manusia mengharung pekat malam menyebabkan atmosfera malam minggu di Kampung Baru tidak pernah membosankan.

Semakin malam menjemput dinihari, semakin ramai orang yang datang melepak di lebih 100 buah warung dan gerai yang terletak di sepanjang Jalan Raja Muda Musa, Jalan Daud, Jalan Raja Uda dan Jalan Raja Alang.

Walaupun tidak banyak bezanya wajah dan landskap Kampung Baru sejak lebih sedekad lalu, namun masih ramai warga ibu kota setia menjadikan Kampung Baru sebagai destinasi larut malam untuk menjamu selera dan bersantai.

Keunikan Kampung Baru adalah kedudukannya yang terletak di tengah-tengah pusat ibu kota yang menjadi lokasi strategik pertemuan di antara rakan-rakan, selain variasi makanan yang ditawarkan di situ.

Seorang pengunjung yang ditemui berkata, Kampung Baru menjadi pilihan remaja kerana ia terletak di tengah ibu kota dan menawarkan pelbagai jenis makanan pada harga yang sangat berpatutan.

Paling penting walaupun jam sudah menunjukkan pukul 3 atau 4 pagi, Kampung Baru masih hidup dengan aneka gerai yang tetap menanti para pelanggan termasuk pelancong asing.

"Saya lepak dengan kawan-kawan pada setiap hujung minggu. Inilah masa yang ada untuk keluar bersama mereka. Maklumlah, masing-masing sibuk dengan kerja di pejabat pada hari biasa.

"Biasanya, pada malam minggu, saya akan lepak atau tengok wayang di KLCC dahulu. Selepas itu, barulah saya bawa rakan-rakan singgah makan di Kampung Baru sehingga awal pagi," kata Iskandar Yamman Sulaiman, 33, ketika ditemui Urban di Kampung Baru.

Mohd Syharrin, 25, dari Kampung Cheras Baru pula berkata, dia datang ke Kampung Baru pada waktu dinihari sekadar untuk berjalan-jalan.

"Saya tidak makan atau beli apa-apa, tapi saja jalan-jalan tengok orang ramai sekali gus menikmati pemandangan waktu malam di KLCC dengan lebih dekat," katanya yang merupakan seorang pekerja swasta di Kuala Lumpur.

Apa yang pasti, kehadiran lautan manusia untuk mengisi perut serta menghirup atmosfera dinihari di Kampung Baru, secara tidak langsung menjadikan lokasi itu sebagai lubuk rezeki yang menguntungkan para peniaga.

"Membuka gerai lebih lama pada malam minggu membantu menambah rezeki kami."

"Bukan sahaja muda-mudi, malah pengunjung yang berkeluarga juga tidak melepaskan peluang untuk jalan-jalan cari makan di sini," kata pemilik gerai LA Medan Selera yang hanya mahu dikenali dengan nama Zulkarnain.

"Pengunjung yang datang bukan sahaja rakyat tempatan, malah pelancong dari pelbagai negara termasuk Jepun, Korea dan China juga singgah di sini," ujarnya bangga walaupun hanya menetap di Kampung Baru kurang daripada 10 tahun.

Dalam banyak-banyak warung makan di situ, sebuah gerai yang menjual selipar turut menarik perhatian Urban.

"Apakah relevan anda menjual selipar di pusat tumpuan makanan sehingga lewat malam?" soal penulis.

"Nampak macam pelik, tetapi saya memilih untuk menjual selipar kerana ramai pengunjung memerlukan selipar bagi keselesaan sewaktu menjamu selera di Kampung Baru."

"Kalau yang perempuan, ada yang beli selipar untuk dipakai kerana dah tak tahan pakai kasut tumit tinggi selepas balik dari kelab atau pusat beli-belah."

"Yang lelaki pula, ada yang datang untuk ganti kasut atau selipar yang putus ketika berjalan-jalan," kata Eka Suriani Erwan, 32, yang menjual pelbagai selipar getah pelbagai corak.

Selain menjual selipar, Eka juga membuka sebuah kios menjual pelbagai barang untuk peminat sukan bola sepak antarabangsa. Bukan barangan tulen, namun ia sekadar untuk golongan peminat sukan yang mungkin kurang berkemampuan.

Bagi Urban sendiri, keunikan tempat makan di Kampung Baru ini bukan sahaja pada namanya, malah bangunan sekitarnya turut memikat hati. Begitu juga gaya 'persembahan' warung itu sendiri atau lebih tepatnya dekorasi di bahagian luar dan dalamnya.

Selain itu, setiap warung di situ menyediakan pelbagai hidangan asli pelbagai negeri dari seluruh negara. Antaranya laksa Pulau Pinang, laksa Johor, tom yam, nasi kerabu, nasi dagang dan nasi Padang.

Pernah mendengar kata-kata 'makanan di gerai lebih enak daripada di hotel'? Beberapa sajian lazat di Kampung Baru antara yang membenarkan kata-kata itu.

Inilah yang menyebabkan warga kota memilih Kampung Baru sebagai pusat makanan. Walaupun berkonsepkan gerai, tetapi ia tetap mendapat pengiktirafan peribadi bagi sesiapa sahaja yang pernah singgah di Kampung Baru.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, April 29, 2009

NinaKimi Handmade Leather Sandals

(Post: Bahasa Melayu)
"Ada juga pelanggan yang menjadikan selipar kulit NinaKimi sebagai hadiah kepada tetamu di majlis persandingan. Semuanya tidak mustahil kerana kami bersedia menerima pesanan mengikut kehendak pelanggan."

Seorang gadis manis berusia 25 tahun, Rusyarina Zulkafly mengembangkan ilmu diperturunkan bapanya bagi menghasilkan objek yang cantik dan berguna sesuai minat si empunya diri.

Rusyarina berkata, idea menghasilkan selipar kulit buatan tangan bermula selepas melihat bapanya membuat capal.

"Sehingga sekarang saya masih bercita-cita untuk mendalami ilmu pembuatan dan rekaan kasut kerana saya tahu industri itu punya potensi malah tidak ramai orang memiliki kemahiran menghasilkan kasut," katanya.

Kini, Rusyarina atau mesra disapa sebagai Nina dipertanggungjawabkan bapa bagi meneruskan kesinambungan tradisi membuat capal melalui perniagaan milik keluarga, NinaKimi Handmade Leather Sandals (NinaKimi).

"Ayah memberi kepercayaan kepada saya untuk menguruskan kilang di Ipoh dan saya sangat bersyukur kerana berkat tunjuk ajar dan dorongan yang diberikan keluarga umpama doa untuk saya terus mengembangkan perniagaan," katanya.

Bagaimanapun, lumrah anak seni yang dikurniakan bakat dan kreativiti membuatkan Nina tekad menghasilkan rekaan selipar kulit bertampal motif khusus untuk wanita. Apabila sambutan yang diterima menggalakkan, rekaan mula dikembangkan pula kepada gladiator kulit yang menjadi kegilaan wanita ketika ini.

Rekaan selipar kulit buatan tangan ditawarkan NinaKimi mempunyai keistimewaan tersendiri kerana menurut Nina, selain berpeluang memilih pelbagai corak yang disediakan, dia juga menerima tempahan seperti diinginkan pelanggan.

"Bukan saja corak dan warna tapi kami juga bersedia memenuhi kehendak pelanggan yang mahukan lakaran (initial) pada selipar kulit seperti nama kekasih, hari lahir atau dijadikan ]couple flip flops' untuk pasangan bercinta."

Setiap tempahan akan disiapkan di dalam tempoh dua minggu termasuk proses pemilihan rekaan, saiz dan penghantaran.

"Kilang NinaKimi di Ipoh, Perak mempunyai mesin 'press' dan mesin jahit untuk kulit. Jadi proses menyiapkan tidak mengambil masa lama. Biasanya dalam satu hari kami mampu menyiapkan sehingga 23 pasang selipar kulit."

Nina berkata, dia menggunakan tiga jenis kulit iaitu kulit lembut, kambing dan biri-biri. Tekstur kulit lembu dan kambing kebiasaannya menjadi pilihan ramai pelanggan kerana ia lebih halus dan lembut.

Motif ditawarkan Nina berkata, sehingga kini dia telah menghasilkan lebih daripada 50 motif untuk selipar kulit menggunakan tema tertentu seperti Animal Kingdom, Famous Characters, Starry Starry Night, Technicolor Rainbow dan banyak lagi.

"Ramai pelanggan suka melihat rekaan selipar dan gladiator NinaKimi yang berwarna-warni. Kebiasaannya mereka gemar memilih selipar dalam rona terang," katanya.

Gadis manis itu juga begitu optimis mengatur perjalanan NinaKimi. Selain mahu mempelbagaikan rekaan, dia juga bercadang untuk membeli mesin hot stamping bagi memudahkan proses melabel barangan kulit buatan NinaKimi.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::