ATTENTION !!!

Showing posts with label rawatan alternatif. Show all posts
Showing posts with label rawatan alternatif. Show all posts

Sunday, June 19, 2011

Rawatan Bekam Purba China

(Post: Bahasa Melayu)
" Riak wajah Jiang Feng, 47, dan Wang Li Xiang, 36, seperti sedang bergelut dengan emosi. Sambil membuat pergerakan ala shaolin, tapak tangan kedua-duanya dilalukan di bahagian belakang badan seorang pesakit dalam gerakan perlahan. "

Apabila mereka berhenti di satu bahagian pada tubuh pesakit itu, liang roma permukaan kulit yang ditepuk secara perlahan itu terbuka dengan sendirinya. Sensasi sentuhan atau aura tenaga juga dapat dirasakan oleh pesakit tersebut tanpa kedua-dua lelaki itu membuat sentuhan fizikal.

Sebaik sahaja darah berkumpul di bawah permukaan kulit, cawan khas yang sering digunakan untuk rawatan bekam ditelangkupkan pada permukaan kulit tubuh itu. Dalam kesan vakum itu, darah kotor yang mengandungi toksin disedut keluar secara perlahan-lahan.

Tanpa ditusuk dengan sebatang jarum arau torehan pisau kecil, darah kotor mengalir keluar dari tubuh pesakit.

Jiang Feng dan Li Xiang menggunakan tenaga dalaman mereka yang tinggi untuk menyempurnakan proses tersebut.

Itulah kelebihan rawatan bekam yang menggunakan teknik chi gong. Bagi masyarakat Malaysia, terapi chi gong pasti kedengaran asing tetapi ia adalah rawatan tradisional purba itu diamalkan sejak beribu-ribu tahun lalu itu di China.

Kedua-dua ahli terapi itu berasal dari wilayah Anhui yang terletak di timur China. Di wilayah berkenaan, kanak-kanak didedahkan dengan kemahiran menggunakan chi sejak kecil.

Bagi mendalami ilmu tersebut ia memakan masa bertahun-tahun malah tidak semua orang mempunyai kelebihan tersebut.

Chi secara teori yang mudah difahami ialah tenaga yang mengalir di sekeliling kita, manakala terapi chi gong pula menggunakan tenaga itu yang dimanipulasi menjadi getaran atau aliran elektrik yang dialirkan melalui titik-titik meridien di dalam badan manusia bagi memulihkan kesihatan.

Agak sukar menjelaskan tentang kemampuan seseorang itu memiliki kuasa yang dapat mengalirkan tenaga di dalam dirinya sehingga getarannya dapat dirasai oleh pesakit.

Dengan teknik pernafasan, aktiviti fizikal dan minda yang tepat, rawatan bersifat kerohanian itu diakui berkesan membantu penyembuhan pelbagai jenis penyakit.

Menurut Jiang Feng, tidak seperti rawatan bekam lain yang mengeluarkan darah kotor di bawah permukaan kulit untuk merawat penyakit-penyakit kecil, bekam chi gong menyasarkan sokongan proses penyembuhan penyakit-penyakit biasa dan kronik. Antaranya termasuklah penyakit jantung, buah pinggang dan kanser.

"Menerusi tenaga chi, toksin di dalam darah pesakit didorong untuk berkumpul di satu titik meridien yang tepat iaitu di kawasan badan pesakit yang berpenyakit."

"Walaupun tanpa cawan bekam, darah kotor akan mengalir keluar tetapi penggunaan cawan bekam adalah bagi mempercepatkan proses menyedut keluar darah kotor yang berkumpul di bawah permukaan kulit pesakit," katanya yang berpengalaman selama tiga dekad dalam bidang tersebut.

Menurut beliau, sesiapapun boleh menjalani rawatan jika badan mereka dapat menerima tenaga chi daripada pengamal perubatan. Bagaimanapun, ia tidak digalakkan untuk dilakukan kepada kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun.

"Pengamal perubatan akan menjalankan diagnosis untuk menentukan sama ada pesakit sesuai menjalani rawatan ini atau sebaliknya."

"Ketika chi dialirkan ke dalam badan pesakit melalui titik meridien semasa proses diagnosis dijalankan, bahagian badan yang terjejas dapat dikenal pasti," katanya ketika ditemui di kliniknya.

Tambahnya, kelebihan rawatan chi gong ialah ia dapat mengesan sesuatu penyakit yang cenderung menyerang seseorang pesakit walaupun ia tidak dapat dikesan oleh teknik perubatan moden hari ini.

"Sekiranya mereka yang sihat melakukan rawatan ini, ia dapat menguatkan imunisasi badan dan bertindak sebagai penghalang penyakit, manakala bagi mereka yang menjalani rawatan ini, ia adalah pilihan alternatif untuk membantu mempercepatkan proses menyembuhan," katanya.

Mengeluarkan toksin

Sementara itu, Li Xiang memberitahu, hanya pengamal perubatan chi gong di peringkat master mempunyai kelebihan merawat penyakit kronik seperti sakit jantung dan kanser.

"Toksin disimpan di dalam badan akan menjadi racun. Semakin lama dibiarkan, semakin sukar dan lambat untuk pulih. Tetapi apabila ia dikeluarkan, secara semula jadi dan perlahan-lahan ia dapat membantu penyembuhan pesakit atau memanjangkan jangka hayat pesakit."

"Tubuh badan setiap manusia juga sebenarnya mempunyai chi dan ia juga merupakan salah satu tenaga yang dapat digabungkan dengan tenaga chi daripada pengamal perubatan semasa menjalankan rawatan," katanya.

Tambahnya, proses rawatan bergantung kepada jenis penyakit dan kekuatan badan untuk menerima tenaga chi daripada pengamal perubatan.

"Untuk satu-satu proses selalunya ia memakan masa selama lebih kurang 30 minit tetapi bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik, rawatan susulan mungkin diperlukan," katanya.

Jiang Feng dan Li Xiang adalah pengamal perubatan chi gong di Chi-Gong Healing Incorporated Sdn. Bhd. yang terletak di Damansara Heights, Kuala Lumpur.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, January 17, 2011

Khasiat Urutan Tanduk Seladang

(Post: Bahasa Melayu)
" Rawatan urut tradisional merupakan amalan turun-temurun di kebanyakan negara di Asia malah kemampuan teknik itu kini mulai diterima di negara Barat berikutan keberkesanannya yang diiktiraf sains perubatan moden. "

Urutan juga merupakan satu daripada cabang perubatan cara Islam manakala segelintir masyarakat menganggapnya sebagai perubatan alternatif.

Secara amnya, ia sesuai bagi merawat apa juga penyakit, sama ada penyakit baru atau sudah lama dihidapi, yang ringan mahupun yang kronik.

Selain mengatasi masalah terseliuh, kebas atau membetulkan perjalanan darah, teknik urut turut dikaitkan dengan rawatan mengembalikan kesihatan dan tenaga seksual lelaki terutama bagi wanita selepas bersalin.

Bagaimanapun, urutan yang menggunakan tangan sepatutnya dilakukan oleh mereka yang mahir dan profesional kerana jika tidak mengikut prosedur, urutan boleh memudaratkan.

Namun, urutan menggunakan tangan sahaja tidak mencukupi kerana sentuhan itu kemungkinan kurang berkesan serta pesakit tidak merasa puas walaupun teknik yang digunakan betul.

Justeru, bagi seorang pengamal urutan tradisional dari utara tanah air, Baharom Yunus, berjaya mengenal pasti kaedah lebih berkesan bagi tujuan mengurut.

Yunus yang mesra dikenali sebagai Pak Jang menjelaskan, penggunaan tanduk seladang betina serta beberapa peralatan lain.

Khasiat Tanduk Seladang

Pak Jang menambah, urutan menggunakan jari-jemari sahaja kurang praktikal berbanding penggunaan peralatan khas yang dibuat sendiri atau dibeli.

Katanya tanduk seladang betina yang diperoleh dari Indonesia digunakan dalam teknik urutannya yang dikajinya sejak 20 tahun lalu.

"Sebelum mengurut saya akan menggunakan jari-jemari yang bertindak seperti alat 'pengimbas' untuk mengenalpasti anggota badan yang mengalami masalah urat."

Selalunya bahagian yang mempunyai banyak benjolan merupakan kawasan yang perlu diberi perhatian.

"Peralatan seperti tanduk seladang betina yang dibentuk seperti sudu digunakan bagi memecahkan bahagian saluran tersumbat yang berpunca daripada darah beku, lemak dan angin dengan bantuan minyak khas."

"Selagi terdapat permukaan tidak rata maka selagi itulah urutan dibuat. Apabila saluran bermasalah dirungkai dengan betul, aliran darah akan mengalir secara normal kembali," katanya sambil mengurut seorang pelanggan menggunakan teknik tanduk seladang betina di Pondok Rawatan Nusantara (PRN) di Sungai Petani, Kedah.

Namun, bagi mereka yang tidak mahir dengan teknik berkenaan, dia menyarankan agar tidak sesekali mencubanya kerana khuatir boleh memudaratkan pesakit.

Paling penting katanya, urutan mesti sesuai dengan kaedah, tempat, kemampuan serta sensitif pada bahagian yang tidak boleh diurut.

Jelas lelaki yang kini menjangkau usia 63 tahun itu, teknik urutan yang diamalkannya seakan-akan terapi guasa dari China tetapi ia tidak terlalu ekstrem sehingga boleh meninggalkan garisan merah pada tubuh pesakit.

"Bagaimanapun, bahagian paling sakit dalam teknik ini apabila saluran darah tersumbat ditekan, tetapi kesannya selepas itu memang tidak sakit malah ada pesakit yang dipimpin sebelum rawatan mampu berjalan sendiri selepas diurut," katanya.

Akuinya, setakat hari ini teknik berkenaan hanya boleh didapati di PRN sahaja malah dia menggunakan kira-kira 15 peralatan mengurut lain mengikut kesesuaian pesakit.

Antaranya, batu marmar yang dicanai khas, tanduk kerbau, tanduk seladang jantan, rotan, batu sungai dan tumbang kambing.

"Urut sepatutnya dilihat sebagai satu perubatan pencegahan dan sepatutnya dilakukan secara kerap. Ia sangat baik mencegah penyakit daripada menjadi lebih teruk seperti migrain, strok, lemah jantung, kebas, sengal-sengal selain bertujuan penjagaan kesihatan," katanya.

Urut Auta

Tegas Pak Jang, urutan yang dipraktik sejak sekian lama bukannya 'auta' kerana ia betul-betul teknik mengurut dan sentuhannya memang sampai ke urat malah mendapat pujian daripada pelanggan kerana teknik yang sememangnya berbeza dengan urutan dengan hanya menggunakan tangan.

Lebih menarik, Pak Jang yang sebelum ini pernah menderita penyakit jantung kronik mampu berulang-alik dari kediamannya di Permatang Pauh, Pulau Pinang ke PRN, Sungai Petani setiap hari kecuali Jumaat.

Sementara itu, bagi pengasas PRN, Roslan Mat Isa, 41, memberitahu, penggunaan kira-kira 15 peralatan mengurut itu lebih berkesan dan mampu menyembuh bahagian bermasalah secara terperinci.

"Kalau menggunakan tangan semata-mata, keupayaan mengurut adalah terbatas kerana kekuatan manusia ini bukanlah kuat sangat. Kalau nak tekan dengan jari sahaja memang tidak terasa dan jika terasa sekalipun mungkin sekejap sahaja lepas itu kembali tidak selesa," ujarnya.

Bukan itu sahaja, di PRN mereka menggunakan pelbagai minyak bagi tujuan urutan. Antaranya, minyak kelapa dara, minyak bijan, minyak matahari, minyak zaitun dan minyak yang dimasak dengan ramuan sendiri.

Jelasnya, dengan bantuan Pak Jang serta tujuh orang tukang urut secara sambilan konsep urutan yang diperkenalkan PRN kini semakin berkembang dan diterima orang ramai kerana ia memberikan kepuasan maksimum.

Selain pendedahan ilmu urutan daripada Pak Jang, Roslan terlebih dahulu mengikuti kursus pelbagai jenis rawatan di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), pusat perubatan swasta serta beberapa tempat lagi.

"Sebelum khidmat Pak Jang di pondok rawatan ini, saya juga mempunyai alat mengurut sendiri. Bagaimanapun, dengan kemasukan Pak Jang ke sini menjadikan rawatan lebih kemas," katanya yakin.

Seorang pelanggan, Harun Hussain memberitahu, walaupun pertama kali dirinya membuat rawatan urut di PRN, tubuhnya begitu segar malah masalah di bahagian bawah lututnya semakin pulih setelah diurut menggunakan tanduk seladang betina.

"Memang apabila urat ditekan pada ketika itu terasa sedikit sakit, tetapi dalam tempoh beberapa minit kesakitan itu beransur hilang," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, January 6, 2011

Dunia Baru Ashraf Muslim

(Post: Bahasa Melayu)
" Sisipan XY - Ikon Lelaki mendekati aktor dan pengacara popular, Ashraf Muslim bersama bisnes ternakannya di Alor Gajah, Melaka. Bak si gembala kambing moden, jom dekati inspirasi dan erti hijrah dalam hidup si bujang ini... "

Istilah korban paling tepat dalam menterjemah kehidupan yang dilalui selebriti ini sekarang. Fasa baru dalam hidup pelakon dan pengacara, Ashraf Muslim menyaksikan bintang muda ini melakukan pengorbanan terbesar demi mencari keseimbangan hidup.

Enggan leka di sebalik populariti dunia hiburan, figura muda ini pantas memilih jalan yang lebih menjamin masa depan - menjadi tauke ternakan kambing di kampung halaman di Melaka.

Tidak cukup itu, personaliti berusia 29 tahun ini kini berjinak-jinak pula dalam bidang rawatan alternatif menggunakan ayat-ayat suci al-Quran.

Melihat prospek bidang ternakan yang diusahakan Ashraf sejak beberapa tahun lalu termasuk bidang rawatan alternatif, tidak mustahil si bujang ini mungkin mengucapkan selamat tinggal kepada dunia hiburan seperti yang dilafazkan sendiri Ashraf pada pertemuan bersama XY - Ikon Lelaki.

Ketika penulis berkunjung ke ladang ternakan kambing milik Ashraf di Alor Gajah, baru-baru, terbayang betapa tinggi cita-cita anak muda ini untuk meluaskan kegiatan ternakan yang diceburinya. Bukan hangat-hangat tahi ayam, sebaliknya gah tersergam ladang ternakan seluas kira-kira sehektar yang diusahakan bersama bapanya.

"Perniagaan ternakan kambing ini adalah perancangan masa depan saya. Walaupun sudah dikenali dalam dunia hiburan, kita perlu sentiasa beringat-ingat untuk merencanakan sesuatu yang lebih menjamin masa depan."

"Semua itu tidak datang tanpa pengorbanan dan minat. Pengalaman dalam urus niaga jual beli lembu sebelum berkecimpung dalam dunia hiburan memberi kelebihan untuk mengusahakan ternakan kambing ini secara komersial," kata Ashraf.

Selain menternak kambing daripada spesies boer, janapari, dorpher dan kampung, usahawan muda ini turut menternak ayam kampung, itik daging, telur itik, ikan keli dan ikan talapia sebagai sumber pendapatan sampingan.

Malah, ketika sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu, Ashraf tidak menang tangan memenuhi permintaan untuk korban kambing dan lembu.

"Sebenarnya sebelum aktif dalam dunia hiburan, saya sudah berjinak-jinak dalam jual beli lembu di Melaka. Memang minat saya berniaga, jadi bukanlah sesuatu yang asing apabila saya memilih untuk menternak kambing."

"Selepas beberapa tahun mengusahakan ternakan ini, prospek perniagaan ini cukup cerah dan sambutannya cukup menggalakkan terutama pada musim-musim perayaan seperti Aidiladha," kata Ashraf Muslim lagi.

Jom kenali isi hati jejaka kelahiran Petaling Jaya ini, serta selami lebih banyak detik penghijrahan hidup Ashraf...

Dalam banyak prospek perniagaan lain, bagaimana anda boleh memilih ternakan kambing sebagai model perniagaan?

Bidang ternakan bukanlah asing dalam diri saya. Sejak 2006 lagi saya sudah berkecimpung dalam perniagaan jual beli lembu. Dalam perniagaan itu, saya menjadi perantaraan kepada mereka yang hendak membeli lembu.

Saya selalu terfikir, mengapa tidak mengusahakan ladang ternakan sendiri walaupun sudah bergelar artis.

Bagaimana anda membahagikan masa pada perniagaan ternakan ini dan dunia lakonan?

Saya gembira kerana dibantu bersama ayah yang kebetulan sudah bersara. Kebiasaannya, pada hujung minggu saya akan pulang ke Melaka untuk melihat perkembangan perniagaan ini.

Biarpun sibuk, saya cukup seronok berkecimpung dalam dunia perniagaan. Ini kerana kita berinteraksi dengan pelbagai jenis orang dan ragam. Malah sambutan Aidiladha lalu, saya menjadi orang tengah untuk proses pembekalan 50 ekor lembu korban.

Tidakkah kekok melakukan kerja-kerja kotor dan kasar berbeza dengan dunia selebriti?

Tiada sebab untuk saya berasa janggal melakukan tugasan di ladang ternakan. Ini kerana memang minat saya ke arah ini (perniagaan ternakan). Saya pula memang sukakan alam semula jadi, lantas bukan sesuatu yang pelik untuk menyatukan diri dalam tugasan sebegini.

Bagaimana pula anda membahagikan masa dengan kerjaya lakonan?

Saya bersyukur dengan tawaran lakonan yang konsisten. Saya baru saja selesai berlakon drama bersiri Ustaz Amirul sebanyak 13 episod untuk slot Zehra di TV3 selain pengalaman pertama menjadi pengacara Gadis Melayu.

Jujur saya katakan, jadual harian saya cukup sibuk di mana perlu berlakon, mengacara hinggalah urusan perniagaan di kampung. Namun, saya gembira dengan apa dilakukan sekarang.

Ceritakan senario anda setiap kali sambutan Hari Raya Aidiadha?

Menjadi kebiasaan saya dan ahli keluarga untuk melakukan korban. Pada masa yang sama, kami sibuk bergotong-royong melapah daging lembu yang sudah menjadi kelaziman anggota keluarga.

Selain menziarah keluarga lain, tidak lupa, saya akan melawat kubur ibu yang meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu akibat kanser payudara.

Erti hijrah dalam diri anda?

Bagi saya, hijrah itu suatu pengorbanan hidup. Ia perlu dilakukan secara ikhlas untuk kita benar-benar menghayati kelebihannya. Diibaratkan sesuatu yang cukup sukar ditinggalkan, tetapi perlu dilakukan untuk pengorbanan, begitulah yang harus kita lakukan ke arah kebaikan.

Adakah anda melalui proses hijrah dalam hidup?

Suka saya katakan seperti transformasi hijrah diri, di mana saya bersyukur dengan hijrah diri saya sekarang. Alhamdulillah, saya gembira dengan perubahan diri serta nikmat yang diberi.

Tiada lagi Ashraf Muslim yang dulu, sebaliknya saya melihat ke depan untuk menjadi insan yang lebih baik.

Apakah perubahan ketara anda selepas transformasi diri?

Jujur saya katakan prinsip saya turut berubah di mana batas-batas pergaulan termasuk watak lakonan juga saya ambil perhatian. Malah, saya juga tidak mahu bergambar atau diganding bersama artis wanita. Ini kerana status saya yang sudah berjinak-jinak dalam dunia perubatan Islam.

Dengan perubahan saya ini, jika hendak tahu, semakin kerap saya ditawarkan watak ustaz dan orang alim. (tersenyum).

Adakah anda seorang yang merancang dalam hidup?

Dulu tidaklah berfikiran seperti sekarang. Tetapi bersyukur kerana saya tidak alpa untuk merencanakan masa depan. Sampai bila hendak berlakon dan untuk apa kita berlakon? Andai lakonan kita itu mampu mengubah seseorang menjadi lebih baik, maka berbaloilah tugas saya.

Namun, tiba ketika transformasi diri itu berlaku, maka tidak mustahil saya meninggalkan dunia lakonan.

Sisi Berbeza Pengamal Perubatan

Dalam sibuk mengatur jadual dalam dunia lakonan selain meluaskan perniagaan ternakan, siapa sangka Ashraf berkebolehan mengubati pelbagai jenis penyakit menggunakan surah al-Quran.

Kata Ashraf, sudah lebih setahun beliau memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan bersama beberapa ustaz lain di Syifa Al-Hidayah di Gombak, Selangor. Lazimnya, Ashraf berkunjung ke pusat itu pada malam hari selepas selesai penggambaran drama atau urusan lain.

"Ramai pesakit datang ke Syifa Al-Hidayah merangkumi kes biasa hinggalah sakit merbahaya seperti kanser, HIV/AIDS, sawan dan penyakit misteri lain."

"Setakat ini, sambutan cukup menggalakkan hingga lewat malam kami dikunjungi. Saya gembira kerana dapat berkhidmat kepada mereka yang memerlukan bantuan," kata Ashraf yang sentiasa bersyukur dengan kelebihan yang dianugerahkan kepadanya.

Ditanya mengapa memilih haluan itu, Ashraf dalam tenang menganggap perlu ada keseimbangan dalam hidup seseorang Muslim. Sambil menyifatkan pilihan itu sebagai kehendak diri sendiri, Ashraf mengakui beliau cukup gembira dengan apa yang dilakukannya sekarang.

Biarpun aktiviti hariannya cukup padat pada sebelah siang, Ashraf berkata, tumpuannya tetap kepada program penawar di Syifa Al-Hidayah selagi beliau termampu.

"Jika hendak dikira letih dan penat, memanglah ada perasaan itu. Ini kerana jumlah yang hadir mencapai 500 orang setiap hari. Tetapi, apa yang menggembirakan saya ialah apabila pesakit semakin pulih dengan rawatan yang diberi."

"Apabila melihat perubahan dalam diri pesakit itulah harga cukup besar diterima selama ini," kata Ashraf penuh bermakna.

Sambil berkongsi perkembangan lain, Ashraf berkata, pihaknya sedang menunggu lampu hijau untuk bekerjasama dengan sebuah hospital swasta berpangkalan di Kuala Lumpur bagi memberikan khidmat rawatan alternatif kepada pesakit hospital menggunakan surah al-Quran.

Andai pada hari biasa si bujang ini sibuk di Syifa Al-Hidayah, tiba hujung minggu, beliau menawarkan kebolehan sama di rumahnya di Taman Teluk Mas, Melaka.

"Begitulah aktiviti saya sejak berjinak-jinak dalam dunia rawatan alternatif. Malah, sambutannya cukup menggalakkan hingga ada pesakit dari negeri lain termasuk Singapura datang mendapatkan rawatan," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, September 3, 2010

Homeopati Rawat Sengatan Tebuan

(Post: Bahasa Melayu)
" Bagi individu yang ingin mencuba alternatif perubatan moden, homeopati mungkin satu pilihan yang baik. Perubatan homeopati dikatakan mampu menguatkan daya tahan tubuh untuk melawan penyakit sekali gus menyembuhkan penyakit yang dihidapi sehingga ke akar umbi. "

Homeopati merupakan rawatan holistik yang memberi tumpuan lebih kepada pesakit berbanding penyakit yang dihidapi.

Menurut pakar homeopati, Dr. Nik Fairuz Nik Omar yang berpengalaman selama lebih 10 tahun dalam bidang ini, kelebihan rawatan homeopati ialah ubat-ubatan yang digunakan tidak mengandungi bahan toksik dan dadah.

Ini secara tidak langsung menjadikan rawatan itu lebih selamat dan boleh diambil oleh semua golongan tanpa mengira peringkat umur.

Ujarnya, ubat-ubatan yang digunakan bersumberkan tumbuh-tumbuhan, garam galian, haiwan dan sel-sel terpilih.

"Antara tumbuh-tumbuhan yang digunakan ialah bawang putih, bawang merah, bunga matahari dan lada hitam."

"Bagi garam galian pula ia terdiri daripada kapur, magnesium, sulfur dan sebagainya."

"Ubatan bersumberkan haiwan pula ialah dakwat sotong, sengat tebuan, labah-labah dan bisa ular yang mampu merawat penyakit tertentu," katanya sambil menambah, kini perubatan itu juga menggunakan kuasa solar dan laser.

Jelas Nik Fairuz, kaedah rawatan homeopati berfungsi dengan mengenal pasti simptom penyakit iaitu simptom fizikal dan mental.

"Simptom berbentuk fizikal membolehkan penyakit dikenal pasti secara jelas seperti lebam atau kemerah-merahan, bengkak dan mata merah."

"Untuk mental pula, rasa sakit yang mereka alami dan bagaimana mereka menanganinya," ujarnya.

Nik Fairuz memberitahu, semasa merawat pesakit, beliau akan bercakap dengan mereka dan menilai pesakit itu berdasarkan bentuk tubuh, kelakuan dan emosi mereka sebelum memilih penawar mengikut simptom yang wujud.

"Tetapi tidak semestinya semua simptom yang disenaraikan bagi satu-satu penawar adalah pilihan yang tepat, tetapi persamaan gejala sudah memadai untuk membantu doktor memilih penawarnya," katanya.

Ini sekali gus merawat pesakit menerusi proses perangsang tenaga hayat yang wujud secara semula jadi di dalam badan manusia.

Tenaga itu menjadikan tubuh lebih kuat, aktif dan mempunyai keupayaan melawan penyakit di samping mengatur sistem peredaran darah, sistem hormon serta saraf.

"Sebahagian besar pesakit yang mendapatkan rawatan terdiri daripada mereka yang mengalami penyakit yang berkaitan dengan saraf, pinggang, kencing manis, migrain dan demam."

"Tempoh untuk pesakit pulih pula bergantung pada keadaan pesakit selain mengambil ubat mengikut tempoh yang telah ditetapkan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pakar homeopati, Dr. Azman Mohamad memberitahu, rawatan homeopati merupakan salah satu perubatan alternatif bagi mereka yang ingin beralih daripada perubatan moden.

Beliau yang mengusahakan klinik rawatan homeopati selama lebih 10 tahun di Ipoh, Perak mendakwa rawatan tersebut bukan merawat pesakit tetapi membantu memulihkan sistem tubuh seseorang supaya dapat berfungsi dengan lebih optimum.

Ujarnya lagi, kaedah rawatan homeopati berfungsi dengan membuang racun-racun toksik dalam tubuh serta memulihkan fungsi organ seperti buah pinggang, hati dan jantung supaya kembali normal selepas lama terdedah kepada asap kenderaan, rokok dan pengambilan makanan yang tidak sihat.

Katanya, semua ini secara tidak langsung meningkatkan sistem pertahanan tubuh bagi melawan penyakit.

"Homeopati merawat pesakit yang mengalami penyakit yang paling ringan seperti demam dan juga yang paling kronik seperti penyakit ketumbuhan dalam otak dan kanser rahim."

"Saya berpengalaman merawat penyakit batu hempedu dan buah pinggang hanya dengan pembedahan kecil tanpa menggunakan laser. Proses rawatan itu hanya mengambil masa tidak sampai 24 jam," katanya.

Katanya lagi, harga ubat-ubatan homeopati juga tidak semahal mana iaitu di antara RM30 hingga RM50 dan boleh digunakan sehingga dua bulan.

"Namun, pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah semasa membantu merawat seorang pesakit wanita yang menderita kanser serviks yang dikatakan tidak dapat disembuhkan."

"Syukur dia pulih semula selepas rawatan selama tiga bulan dan hidup sampai sekarang. Namun, semua ini adalah ketentuan Allah, bukan saya," ujarnya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, June 16, 2010

Batu Lava Gunung Berapi

(Post: Bahasa Melayu)
" Kini terdapat kecenderungan di kalangan orang ramai memakai batu tenaga ataupun batu yang antara bahannya didakwa lahar gunung berapi. Malah, promosi yang diadakan syarikat pengeluar produk itu cukup agresif dengan tawaran pelbagai produk seperti loket tenaga, jam tenaga, termos minuman tenaga, pen tenaga dan sebagainya. "

Selain itu, syarikat pengedar turut melantik duta daripada ahli sukan dan selebriti sebagai strategi melariskan penjualan.

Pengurus FusionExcel International Sdn. Bhd., Patrick Chan menjelaskan syarikatnya mengedar produk yang rawatan alternatif yang dianggap permium.

"Kami tidak mengatakan semua produk terbabit produk kesihatan tetapi hanya produk tenaga seperti minuman tenaga."

"Selain itu, keberkesanan produk kami bergantung kepada pengguna. Jika tahap kesihatan mereka meningkat dan bertambah baik ia memberi nilai tambah kepada produk kami," katanya.

Tenaga skala

Menjelaskan isu ini dengan lebih terperinci, perunding perubatan FusionExcel, Dr. Amir Farid Isahak yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perubatan moden dan tradisonal memberitahu, loket tenaga kuantum keluaran syarikat FusionExcel sebenarnya mempunyai nilai perubatan alternatif.

Katanya, loket tenaga berkenaan boleh diibaratkan sebagai salah satu kaedah perubatan alternatif menggunakan tenaga skala yang mirip kepada tenaga hayat perubatan alternatif seperti tenaga daripada amalan Qigong (Guolin, Xiangong dan Shaolin Qigong) dan kundalini Yoga.

Ujarnya, tenaga skala mirip seperti tenaga hayat kerana bertindak balas dengan badan dengan menggerakkan biologi tubuh.

"Tenaga skala boleh diibaratkan sebagai tenaga alternatif seperti akupuntur yang dikesan oleh sains perubatan moden yang mampu memulihkan penyakit seseorang."

"Namun ia tidak diterima oleh perubatan moden kerana hanya menggunakan batu daripada lava gunung berapi," katanya.

Ujarnya lagi, loket tenaga kuantum merupakan satu medium tenaga berasaskan galian lahar gunung berapi yang dipercayai mampu menyerap tenaga tersebut kepada biotenaga.

"Biotenaga mampu meningkatkan aktiviti molekul air dalam tubuh sekali gus memberi kebaikan kepada fungsi metabolik tubuh, pengedaran darah selain penjagaan kesihatan secara holistik," katanya.

Berdasarkan testimoni pemakai loket tenaga kuantum ada yang mendakwa kesihatan mereka bertambah pulih tetapi ada yang menjelaskan mereka tidak berasa kesan positifnya, jelas Amir Farid.

"Ada pesakit Sindrom Down yang telah tidak bangun selama 20 tahun akhirnya mampu berdiri selepas memakai loket tenaga kuantum."

"Ada juga pesakit yang mengalami penyakit kencing manis dan darah tinggi akhirnya pulih selepas menggunakan loket kuantum," katanya.

Memberi manfaat

Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan GeoSains, Datuk Yunus Abdul Razak ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini tidak menafikan setiap batu mempunyai peranan dan fungsi tersendiri.

"Sebagai contoh batu kapur yang bermanfaat untuk sektor perumahan, batu giling yang digunakan untuk masakan kerana komponen dan komposisi berbeza-beza."

"Batu atau lahar gunung berapi juga ada peranannya tetapi perlunya kajian yang lebih mendalam untuk membuktikannya."

Pakar batu, Prof. Mohd. Shafeea Leman daripada Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti, Kebangsaan Malaysia (UKM), berpendapat, larva dan batu gunung berapi mungkin mempunyai mineral tertentu yang bermanfaat untuk kesihatan.

"Batu berkenaan atau lahar gunung berapi mempunyai peranan seperti magnet yang boleh membantu melancarkan pengaliran tubuh badan."

"Ia mempunyai mineral metalik yang berpotensi untuk tubuh kerana kaya dengan besi magnesium kaya dan kaya dengan silika," katanya.

Pakar geologi, Prof Madya. Datuk Mohammad Ali Hassan pula memberitahu, sumber mineral seperti batu sudah digunakan secara dahulu lagi sebagai sumber perubatan.

"Malah, kini batu gunung berapi juga digunakan untuk rawatan spa dan juga refleksi," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::