ATTENTION !!!

Showing posts with label produk penjagaan badan. Show all posts
Showing posts with label produk penjagaan badan. Show all posts

Monday, June 6, 2011

10 Sales Leader Terbaik Avon Malaysia

(Post: Bahasa Melayu)
" Jenama Avon bukanlah label yang asing dalam diri wanita kelahiran Kuantan, Pahang ini kerana dirinya mula mengenali Avon sejak di bangku sekolah. Jenama itu telah melingkari hidupnya sejak berusia 11 tahun lagi selepas diperkenalkan oleh arwah ibunya. "

Bukan itu sahaja, pemilik nama Norsahida Mohd. Said, 32, itu turut membantu ibunya menjual Avon secara kecil-kecilan ketika zaman persekolahan.

Betapa sebatinya jenama Avon dalam dirinya, Norsahida yang kini menetap di Jengka, Pahang meneruskan minatnya berniaga produk Avon ketika meneruskan pengajiannya di Universiti Utara Malaysia.

"Sebaik sahaja tamat pengajian dalam jurusan Pengajian Perniagaan pada tahun 2002, saya terus melibatkan diri dengan Avon dan mula terlibat dengan serius pada tahun 2003."

"Tidak perlu melabur banyak. Modal permulaan hanya RM15 bagi melayakkan diri menjadi ahli dan kita akan menerima brosur serta katalog," katanya yang merupakan salah seorang daripada 10 Sales Leader Terbaik Negara.

Tambahnya, tidak seperti syarikat atau produk lain yang bermula dengan modal permulaan ratusan ringgit, sesiapa sahaja boleh melibatkan diri dalam perniagaan Avon asalkan ada kemahuan.

Norsahida bukan sahaja menjual produk Avon malah, turut menggunakan sebahagian rangkaian produk Avon sejak di bangku sekolah lagi iaitu produk penjagaan kulit khusus untuk remaja iaitu Clear Skin sebagai produk pertamanya.

"Tidak perlu bersusah payah menjual produk Avon kerana jenamaya dan kualiti produknya sudah dikenali ramai. Dalam masa yang sama semua produknya mampu dimiliki daripada barangan budak sekolah hinggalah golongan dewasa."

"Suka saya untuk menggalakkan wanita mahupun lelaki di luar sana untuk menyertai Avon kerana ia mampu memberikan peluang pendapatan yang lumayan bagi menampung kos kehidupan yang semakin meningkat kini," katanya.

Norsahida yang banyak membuat jualan di Universiti Teknologi Mara, Jengka terutamanya untuk produk lelaki memberitahu jenama Avon sudah menjangkau usia 125 tahun di dunia dan 33 tahun jenama tersebut berkembang di Malaysia.

Ganjaran lumayan

"Mungkin ramai yang tidak tahu betapa beruntungnya menjual barangan Avon dan jika kita berusaha lebih kita akan dapat ganjaran yang lumayan."

"Saya sendiri semasa mula-mula menjual Avon, saya tiada apa-apa. Tiada kereta dan tiada rumah apatah lagi hidup dalam kemewahan. Namun, selepas beberapa tahun bersama Avon, impian saya memiliki rumah sendiri dan kereta mewah Mercedes-Benz tercapai juga," ujarnya yang kini hamil anak ketiga.

Menurutnya, Avon banyak membantu daripada segi pemberian kredit.

"Sampai satu tahap, kita boleh menerima kredit tanpa cagaran dan faedah. Avon cagarkan kepercayaannya untuk berikan kredit. Itu kelainan Avon berbanding syarikat-syarikat lain."

"Bukan setakat pemberian kredit tanpa cagaran, malah dapat pula pergi trip melancong ke luar negara yang tidak pernah diimpi-impikan sebelum ini setiap tahun," ceritanya yang mendapat sokongan penuh suaminya, Imran@Burhan Mahmood, 39.

Antara lokasi yang pernah dilawati Norsahida ialah Shanghai, Busan, London, Paris, Los Angeles dan New Zealand selain berpeluang menaiki kapal mewah Royal Caribbean Cruise.

Pesannya, jika seseorang itu mahu berjaya, pertama sekali yang perlu dilakukan adalah kaji terlebih dahulu syarikat yang mahu diceburi.

"Avon merupakan sebuah syarikat yang kukuh dengan peningkatan jualan setiap tahun. Sejak berkecimpung dengan Avon, pelbagai anugerah diraih."

"Tanpa Avon, mungkin saya tidak mencapai apa yang saya miliki sekarang ini. Bagi wanita di luar sana, marilah bersama-sama menyertai perniagaan Avon kerana ia mampu mengubah nasib diri dan keluarga," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, October 21, 2010

Softfea Beauty Essence

(Post: Bahasa Melayu)
" Sejak kecil Norazam Shah Ibrahim (Azam) terdedah kepada bidang kecantikan dan kesihatan. Apa tidaknya, arwah bapa azam, Ibrahim Abd Rani berkecimpung dalam dunia perniagaan kosmetik Madinah dan wakil tunggal kosmetik Zaitun Industries manakala ibunya, Sepiah Dollah, 58 pula seorang jururawat yang sangat menitik beratkan aspek kesihatan. Ibunya yang juga merupakan tulang belakang azam juga sudah lama membuka toko jamu dan kosmetik. "

Persekitaran itu membuatkan anak kelahiran Pulau Pinang ini menjadi seorang yang peka dengan aspek tersebut. Lantaran tidak hairanlah dia menjadi ahli perniagaan berasaskan kosmetik.

Lebih menarik, lelaki berusia 33 tahun ini mencuba sendiri keberkesanan produk Softfea Beauty Essence dan minuman kesihatan, Softfea Orange Fiber Diet Drink. Hasilnya selepas mencuba produk tersebut, kulitnya semakin berseri dan berat badan berkurangan.

"Saya sangat meminati bidang perniagaan, seperti yang diketahui sembilan daripada 10 sumber rezeki di muka bumi ini adalah daripada perniagaan. Keluarga terutama ibu dan isteri, menjadi pendorong utama untuk saya berkecimpung dalam dunia perniagaan."

"Saya pilih perniagaan berasaskan kecantikan dan kesihatan kerana bidang ini mempunyai pasaran yang luas. Saya yakin semua orang tanpa mengira jantina mahupun pelbagai lapisan masyarakat mahu kelihatan cantik. Hasrat untuk memiliki rangkaian produk kecantikan dan kesihatan sudah lama saya impikan."

"Kami sekeluarga membuat perancangan rapi agar impian ini menjadi kenyataan. Justeru, kami sepakat menghantar adik perempuan saya melanjutkan pelajaran dalam jurusan Farmasi di University Of Sunderland, United Kingdom."

"Selepas dia tamat pengajian, barulah kami menghasilkan produk Softfea berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang ditimba oleh adik semasa berada di luar negara."

"Setahun membuat kajian dan mencuba sendiri keberkesanan produk ini barulah kami memasarkannya di pasaran," cerita Azam yang mendapat ilham menamakan produk tersebut sempena nama ibunya.

Emas mutiara kandungan istimewa
Bercerita mengenai kelebihan produk yang dikeluarkan oleh Syarikat Kaisar Venus (M) Sdn Bhd ini, Azam menjelaskan Softfea Beauty Essence yang terdiri dari rangkaian krim UV, krim malam, sabun dan penyegar membuatkan wanita kekal anggun sepanjang masa.

"Produk kecantikan kami menggunakan teknologi nano dan dihasilkan daripada bahan semula jadi seperti buah-buahan. Paling istimewa, Softfea Beauty Essence mengandungi ekstrak emas mutiara, bearberry, protein soya, vitamin E dan herba terpilih."

"Kombinasi kandungan ini dikatakan mampu mengatasi masalah jeragat, jerawat, resdung, kulit kusam, kulit tidak sekata dan mengurangkan kedutan serta garis-garis halus di wajah. Selain itu, ia juga dipercayai mampu menganjalkan kulit wajah, merangsang peredaran darah serta menyingkirkan toksin."

"Produk kami bebas daripada bahan kimia berbahaya 'hydroquionone' dan bertindak secara semula jadi mencantikkan kulit wajah. Lantaran, pengguna hanya akan mengalami perubahan positif selepas menggunakan produk ini sekurang-kurangnya tiga minggu," ujarnya.

Tidak hanya membataskan diri kepada penghasilan produk kecantikan, Azam bersama keluarga mendapat idea menghasilkan formula minuman kesihatan yang dinamakan Softfea Orange Fiber Diet Drink.

"Minuman ini kaya dengan Vitamin C dan Vitamin E serta mengandungi ekstrak teh hijau. Jika mengamalkan minuman ini secara rutin, pengguna dikatakan mampu mengatasi masalah berat badan, perut buncit, sembelit dan kelesuan."

"Ia bertindak dengan mengawal selera makan, menghalang pembentukan lemak, meningkatkan metabolisme dan menukarkan karbohidrat kepada tenaga. Rasanya yang enak seperti jus Oren membuatkan pengguna begitu meminati minuman ini," kata Azam.

Tembusi pasaran antarabangsa
Ditanya mengenai perancangan masa depan, anak sulung daripada tiga beradik ini mahu menghasilkan rangkaian produk kecantikan, kesihatan dan kosmetik yang lengkap serta menyimpan impian memasarkannya ke peringkat antarabangsa.

"Insya-Allah kini kami dalam proses menghasilkan rangkaian penjagaan badan, rambut, alat solek dan banyak lagi produk kosmetik lain. Alhamdulillah, walaupun produk ini baru dipasarkan sekitar Februari 2010 namun sambutan yang diterima sangat menggalakkan."

"Sehingga kini kami sudah mempunyai stokis di seluruh negara dan berjaya menembusi pasaran Brunei serta Singapura. Dalam waktu terdekat, produk kami akan dipasarkan di Dubai dan London."

"Kami sangat teliti mengenai kualiti produk. Kesemua produk bebas kesan sampingan dan mendapat sijil halal serta menepati piawai pengeluaran. Lantaran, kami tidak mempunyai masalah untuk bersaing dengan produk lain di arena antarabangsa," jelas Azam.

Menunggang motosikal rentasi negara
Walaupun sibuk menguruskan perniagaan, anak muda ini bijak mencuri masa untuk diluangkan bersama keluarga dan dirinya sendiri. Azam gemar bersantai bersama keluarga di rumah mahupun melakukan aktiviti luar.

"Saya dan adik beradik lain sering pulang ke kampung melawat ibu. Biasanya apabila semua anak-anak berkumpul, ibu akan masak makanan kegemaran kami. Jika bersama isteri pula, saya suka bersenam di gim dan membeli belah," katanya.

Minat terhadap sukan permotoran mendorong Azam menyertai kelab motor HOG. Dia yang memiliki sebuah motosikal jenama Harley Davidson sering mengikuti konvoi jelajah di dalam dan di luar negara.

"Menunggang motosikal memberi kepuasan kepada saya, ia juga meredakan tekanan dan mengeratkan silaturrahim. Sepanjang berjinak dalam sukan ini, saya bersama ahli pasukan pernah mencipta rekod berkonvoi selama 24 jam dari Johor ke Thailand. Kejayaan kami dicatatkan dalam Book Of Record. Inilah antara kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan," ujarnya.

Sumber: Mingguan Wanita

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, June 25, 2010

Gelombang Industri Kosmetik Halal

(Post: Bahasa Melayu)
" Pada Persidangan Antarabangsa bagi Kosmetik dan Kelengkapan Dandanan Diri Halal 2010 di Kuala Lumpur April lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir menyebut bahawa Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai hab bagi produk kosmetik halal dunia. "

Ini berdasarkan persekitaran negara yang kaya dengan bahan-bahan herba semula jadi yang boleh dibangunkan sebagai bahan utama dalam pembuatan produk kosmetik.

Saranan tersebut seharusnya dapat membuka mata pengusaha-pengusaha tempatan untuk melihat potensi besar pasaran kosmetik halal sama ada di dalam mahu pun di luar negara.

Pengusaha juga harus sedar dengan senario pasaran kosmetik global pada hari ini yang semakin terbuka dan 'mengalu-alukan' keperluan kosmetik halal.

Data terkini yang dikeluarkan oleh Institute of Personal Care Science of Australia baru-baru ini menganggarkan pasaran kosmetik global ketika ini bernilai kira-kira AS$334 bilion (RM1,169 bilion).

Kosmetik halal pula berkongsi pasaran dengan jumlah AS$13 bilion (RM45.5 bilion) setahun - perkembangan yang dilihat selari dengan pertumbuhan pasaran makanan halal dan sektor kewangan Islam.

Berasaskan kajian dalam industri tersebut juga, pada 2005 industri kosmetik dan kelengkapan dandanan diri menguasai sembilan peratus daripada keseluruhan pasaran produk halal global.

Kajian oleh sebuah syarikat penyelidikan di Malaysia pula menganggarkan nilai perniagaan halal meningkat kepada AS$635 bilion (RM2,222 bilion) setahun dengan perluasan pasaran di negara-negara Islam dan Barat berikutan pertambahan penduduk Islam.

Di Perancis misalnya, yang mempunyai kira-kira lima juta penduduk Islam, jualan bagi makanan halal diramal mencecah hingga 5.5 bilion euros (RM25.2 bilion) pada 2010.

Kita juga perlu sedar bahawa hampir satu perempat atau suku daripada penduduk dunia beragama Islam, sekali gus menjadikan pasaran halal global antara yang terbesar.

Ini menunjukkan peluang sememangnya terbuka luas kepada pengusaha kosmetik tempatan untuk mengungguli pasaran produk kosmetik halal dunia dan seterusnya menjadikan negara ini sebagai hab pengeluaran produk tersebut.

Lagi pula di Malaysia sendiri industri kosmetik halal telah berkembang kukuh sejak 1980 dengan perkongsian 10-20 peratus daripada keseluruhan pasaran kosmetik tempatan.

Jika dahulu isu produk halal banyak tertumpu kepada makanan, namun akhir-akhir ini semakin ramai yang memperluaskannya kepada produk-produk lain termasuk kecantikan.

Bahkan konsep halal kini juga semakin diguna pakai pada hampir semua barangan dan perkhidmatan termasuk farmasutikal, pakaian, perkhidmatan kewangan dan pakej-pakej pelancongan.

Dalam Islam prinsip halal bukan sekadar tidak mengandungi babi atau bahan-bahan yang berkaitan serta haiwan yang tidak disembelih, tetapi juga kandungan-kandungan seperti alkohol yang haram di sisi Islam.

Para pengusaha produk juga harus memahami bahawa memartabatkan kosmetik halal tidak semestinya mereka berlawan arus pembikinan kosmetik konvensional.

Kosmetik halal seperti gincu bibir, produk penjagaan wajah dan wangian bebas alkohol masih boleh mengandungi bahan-bahan daripada haiwan tetapi ia mesti disediakan mengikut cara Islam iaitu disembelih.

Malah tanpa disedari industri kosmetik halal sebenarnya meraih kelebihan daripada 'gelombang hijau' (produk mesra alam) yang berlaku dalam industri kosmetik Barat pada hari ini.

Ini diakui sendiri Mah Hussain-Gambles, pengasas syarikat kosmetik halal pertama di Eropah, Saaf Pure Sincare, ketika menghadiri Persidangan Antarabangsa bagi Kosmetik dan Kelengkapan Dandanan Diri Halal 2010.

Dia dipetik sebagai berkata, prinsip 'gelombang hijau' mengutamakan produk yang tidak membahayakan tubuh dan semula jadi - sama seperti dalam prinsip produk halal.

Untuk itu tidak hairanlah apabila lebih banyak syarikat-syarikat antarabangsa yang mula mencipta jenama mesra alam iaitu organik, vegetarian dan halal.

Apa yang pasti lebih ramai para pengusaha akan terjun dalam bidang ini memandangkan orang Islam hanya memilih produk-produk yang dikenal pasti halal manakala yang lain lebih ke arah barangan produk mesra alam.

Sementara itu bagi pengasas produk kosmetik tempatan jenama RizReni, Norizah Yahya, apa yang menjadi masalah kepada pengusaha di negara ini ialah kurangnya pihak yang membuat kajian saintifik mengenai bahan-bahan halal yang boleh digunakan dalam pembuatan kosmetik.

Tumpuan katanya, lebih kepada makanan dan minuman.

Ia diburukkan lagi dengan sikap pengguna Islam itu sendiri yang tidak yakin dengan produk tempatan dan lebih berbangga dengan produk luar negara yang tidak diketahui status halal haramnya.

Norizah yang ditemui di pejabatnya di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, tidak salah memakai produk kosmetik jenama luar negara, namun bagi pengguna terutama orang Islam penting untuk mereka membaca dan memahami bahan-bahan yang digunakan dalam produk itu.

Norizah mengakui, sebelum polisi halal bagi produk pemakanan dan kosmetik dikeluarkan, RizReni sudah terfikir mengeluarkan produk halal bagi kegunaan masyarakat Islam di negara ini.

Selain mengeluarkan kosmetik, RizReni yang mendapat pengesahan halal daripada Islamic Food Research Council juga merupakan pengeluar produk penjagaan kulit, tata rias, makanan dan minuman kesihatan.

Beliau menjelaskan semasa mula-mula hendak membuat produk, dia banyak bertanya terutama kepada ahli keluarga mengenai produk yang mereka kehendaki.

Ternyata pilihan mereka ialah produk yang halal, berkesan dan dalam masa yang sama, selamat.

Malah suaminya yang berkelulusan dalam bidang farmasi dari sebuah universiti di Amerika Syarikat turut membuat kajian terhadap produk yang dihasilkan di kilang milik syarikatnya di Taman Bolton, Batu Caves, Gombak, Selangor.

Untuk memenuhi piawaian halal itu, dia mementingkan penggunaan bahan-bahan yang suci sesuai dengan tag line 'Selamat, Suci dan Berkesan' supaya pengguna tidak perlu ragu-ragu termasuk boleh dibawa untuk bersolat.

Sementara itu pengasas produk De Wajah, Junaidah Kiting, berpendapat pengusaha dalam bidang kecantikan perlu peka dengan kehendak pelanggan khususnya masyarakat Islam yang kini semakin prihatin terhadap pentingnya kosmetik dan produk penjagaan kulit yang halal.

Junaidah yang telah 22 tahun berkecimpung dalam bidang kecantikan berkata, sebagai pengeluar produk kosmetik dan produk penjagaan kulit, adalah penting memenuhi kehendak pelanggan Islam.

"Selain mendapat keberkatan dalam perniagaan ia juga mampu menjadikan negara sebagai pusat rujukan dan hab kepada pengeluaran produk kosmetik halal."

"Selain suci dan halal, pengusaha produk juga harus bertanggungjawab dengan mengelak daripada menggunakan bahan-bahan yang berbahaya seperti raksa, hidrokuinon," katanya.

Justeru Junaidah, dia lebih mempercayai bahan-bahan semula jadi seperti ekstrak tumbuh-tumbuhan, bunga, pinang muda, delima dan buah-buahan sebagai bahan dalam produk kosmetik dan penjagaan kulit.

Walaupun ada yang menawarkan kolagen biri-biri Junaidah masih berpegang kepada kesucian dalam produk keluarannya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, June 11, 2010

Produk Berasaskan Herba Forest'Secret

(Post: Bahasa Melayu)
" Bumi Malaysia dianugerahi rimba yang kaya dengan khazanah khasiat tumbuh-tumbuhan. Dengan kemajuan sains dan teknologi, kekayaan alam semula jadi tidak perlu lagi dicari dengan bersusah-payah meneroka hutan dan persekitaran, malah kebaikan dan khasiat tumbuh-tumbuhan kini diproses dan dikomersialkan. "

Forest'Secret adalah satu jenama produk kecantikan dan penjagaan diri yang kini berkembang dalam industri halal herba di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

Berusia genap setahun April lepas, Forest'Secret sudah mampu berbangga dengan produk keluarannya setelah diiktiraf oleh BrandLaureate sebagai Jenama Terbaik untuk Produk Pengguna 2007 bagi Penjagaan Badan dan Kulit.

Berkesempatan menemui Pengurus Komunikasi Jenama Forest'Secret, Intan Hyriatee Mohd Zawai pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2008), penulis sempat membongkar rahsia kejayaan produk berkenaan yang kian mendapat tempat di kalangan pengguna.

Khasiat Herba

Forest'Secret beroperasi di bawah program francais Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD), melalui agensi kementerian itu iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNS).

PNS adalah agensi peneraju dalam menyediakan penyelesaian secara menyeluruh dalam memajukan industri francais di Malaysia.

Forest'Secret bernaung di bawah anak syarikat PNS iaitu Malaysia International Franchise Sdn Bhd (MyFranchise), yang turut membantu memajukan syarikat-syarikat berkaitan makanan seperti Gloria Jeans Coffee, 1901, Marrybrown dan MalaysiaKitchen.

Menurut Intan Hyriatee, Forest'Secret Sdn Bhd yakin dengan produknya yang kelebihannya terletak pada esktrak tumbuh-tumbuhan yang boleh didapati dengan meluas di hutan hujan tropika dalam negara.

"Menyedari akan khasiat herba yang boleh diperoleh dengan mudahnya di sini, Forest'Secret mengambil inisiatif untuk mewujudkan satu jenama halal di mana produknya bersih dan diyakini semua golongan masyarakat. Ini antara sebab kewujudan Forest'Secret hari ini," katanya.

Selain itu, Forest'Secret juga menjalankan usaha penjenamaan semula produk yang diterima daripada pembekal dan usahawan lain.

Misalnya, syarikat Nutra Herbs Sdn Bhd, yang menghasilkan produk daripada buah pinang, merupakan pembekal kepada Forest'Secret.

"Lazimnya, usahawan kita kurang kepakaran dalam penjenamaan dan mempunyai masalah kewangan untuk memasarkannya. Di sinilah Forest'Secret berperanan membantu mereka mempakej semula produk tersebut supaya ia lebih menarik dan memenuhi citarasa pelanggan," tambah Intan Hyriatee.

Kini terdapat 13 usahawan, yang membekalkan pelbagai produk herba kepada Forest'Secret dan sebanyak 114 produk kini berada di pasaran.

Keunikan dan Keistimewaan

Sekali imbas, pasti ramai yang beranggapan produk Forest'Secret saling tak tumpah seperti produk keluaran The Body Shop dan Skin & Beauty Care Products.

Namun begitu, kenyataan ini disangkal oleh Intan Hyriatee dengan menyatakan Forest'Secret mempunyai keunikan dan keistimewaannya tersendiri.

"Walaupun ramai yang beranggapan demikian, produk kami ternyata berbeza. Khususnya, penghasilan produk Forest'Secret adalah 100 peratus daripada herba, berbanding produk lain yang diperbuat daripada campuran elemen," katanya.

Tambahan pula, aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab halal memberi keyakinan kepada Forest'Secret untuk bergelar pusat hentian setempat bagi semua produk berasaskan herba.

"Di Forest'Secret, pelanggan boleh mendapatkan produk penjagaan dan kesihatan diri merangkumi keseluruhan tubuh badan."

"Belum ada jenama seumpama Forest'Secret yang dapat menyediakan kesemua produk di bawah satu bumbung. Inilah antara keistimewaan kami yang menjadi daya tarikan kepada pelanggan," tambahnya.

Selain itu, Forest'Secret ingin mengubah tanggapan masyarakat umum terhadap herba dan penggunaannya di dalam kehidupan masa kini.

Herba lazimnya dikaitkan dengan golongan warga tua yang tinggal di pedalaman. Ia juga dikatakan susah diperoleh dan sudah tidak praktikal lagi digunakan untuk kegunaan seharian.

"Justeru, Forest'Secret mahu herba dijadikan sebahagian gaya hidup moden. Melihat sahaja kepada konsep ruang kedai Forest'Secret yang moden, pasti semua peringkat lapisan masyarakat tidak berasa malu ataupun segan untuk berkunjung, apatah lagi menggunakan produk yang diperbuat daripada herba," tambahnya.

MeCD Banyak Membantu

Kejayaan Forest'Secret hari ini sebenarnya banyak dibantu oleh MeCD, yang komited dalam membangunkan usahawan baru dan sedia ada.

Bahagian Francais dan Vendor MeCD, khususnya bertanggungjawab terhadap pembangunan dan kemajuan Forest'Secret sebagai sebuah perniagaan francais yang berjaya.

Intan Hyriatee berkata, untuk menjalankan perniagaan francais, sesebuah syarikat itu harus cukup bersedia dari segi latihan dan kemahiran, kewangan serta infrastrukturnya.

"MeCD sememangnya memainkan peranan dengan sangat baik. Misalnya Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Gerak Usahawan anjuran MeCD, banyak membantu usahawan Bumiputera, termasuklah Forest'Secret, dalam membina jaringan perniagaan," katanya.

Melalui program-program yang dilaksanakan MeCD, Forest'Secret bukan sahaja dibantu memasarkan produk dengan lebih cekap, malah turut dibimbing dalam konsep bisnes ruang niaga.

Ruang kedai, kiosk dan gerai berkonsep kereta tolak adalah antara jenis-jenis ruang niaga yang disediakan.

"Dengan adanya ruang niaga seperti ini, usahawan tidak perlu gusar akan modal yang tinggi untuk memulakan sesuatu perniagaan," jelasnya, yang mengakui MeCD telah banyak membawa produk tempatan ke peringkat global.

Ingin Lebih Maju

Walaupun baru berusia setahun jagung, Forest'Secret tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk sekadar duduk diam. Malah Forest'Secret, yang merupakan sebahagian daripada program Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sedar ia harus berusaha keras agar objektif yang disasarkan dapat dicapai menjelang 2010.

"Antara objektif yang kami sasarkan adalah menambah lagi bilangan usahawan kepada 25 orang di bawah francais Forest'Secret. Selain itu, kami akan menghasilkan sehingga 500 produk baru berbanding 114 produk buat masa ini," jelas Intan penuh yakin.

Selain itu, Forest'Secret yang kini menawarkan produk dan perkhidmatan untuk penjagaan badan dan kulit, aromaterapi dan spa serta makanan dan minuman kesihatan, akan memperkenalkan produk baru iaitu produk kosmetik.

Tambahnya, Forest'Secret juga akan melancarkan jualan langsung bagi produknya.

"Dengan cara ini, kami dapat menambah bilangan pengguna dan membantu golongan tertentu khususnya pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk terlibat dalam perniagaan francais mahupun menjadi ejen jualan langsung yang membolehkan mereka memperoleh komisen," katanya.

"Pendek kata, Forest'Secret tidak akan senyap begitu sahaja memandangkan pelbagai langkah harus dilaksanakan dan strategi pemasaran perlu giat dijalankan," seloroh Intan Hyriatee mengakhiri perbualan.

Jelaslah bahawa produk tempatan seumpama Forest'Secret juga mampu menandingi kelebihan produk antarabangsa lain.

Forest'Secret boleh dikunjungi di beberapa cawangan antaranya di The Curve Mutiara Damansara, Sunway Pyramid, One Utama, Central Market Kuala Lumpur, TESCO Ampang, Jalan Hang Jebat, Melaka dan Plaza Angsana Johor Baharu.

Sumber: Bernama.com
Foto: Forest'Secret

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, November 17, 2009

Kosmetik Herba SIRIM

(Post: Bahasa Melayu)
"Dulu, ruang lingkup kajian di bidang kosmetik sekadar berkisar kepada penghasilan serbuk pencuci. Namun selepas 15 tahun, Institut Penyelidikan Industri dan Standard Malaysia (Sirim) Berhad memahat sejarah tersendiri dengan pembangunan produk kosmetik yang bernilai komersil."

Menariknya, rangkaian produk kosmetik berkenaan memanfaatkan khazanah alam khususnya pelbagai jenis herba tempatan seperti pegaga, kayu manis, limau purut dan lidah buaya malah budu dan tempe.

Khasiat herba itu pula bukan sebarangan misalnya, ujian in vitro dan in vivo menunjukkan bahan aktif dalam campuran minyak pati limau purut dan kayu manis mempunyai aktiviti perencatan terhadap bakteria penyebab jerawat.

Di samping itu, bahan aktif dalam campuran minyak pati kayu manis dan daun gelam pula merencatkan aktiviti enzim tripsin iaitu enzim keradangan, melindungi kulit daripada radikal bebas dan menggalakkan penghasilan kolagen.

Penerokaan kepelbagaian khasiat herba untuk penghasilan produk kosmetik di Sirim Berhad itu sebenarnya sudah bermula sejak 10 tahun lalu, kata Naib Presiden Bahagian Penyelidikan dan Teknologi Sirim Berhad, Dr Zainal Abidin Mohd Yusof.

"Pembangunan satu-satu produk pula mengambil masa agak lama iaitu kira-kira 18 bulan. Ini kerana ia harus melalui pelbagai proses kajian termasuk peringkat keselamatan."

"Antara perkara dititikberatkan adalah rumusan produk berkenaan seharusnya stabil terutama apabila ia memasuki pasaran," katanya pada majlis Sesi Pemadanan serta Jalinan Perniagaan Pemindahan Teknologi Kosmetik dan Herba di Pusat Inkubator Teknologi Sirim Berhad, Sepang, Selangor, baru-baru ini.

Penyelidikan rumusan produk kosmetik baru itu membabitkan sembilan projek merangkumi lebih 50 produk kosmetik. Ia meliputi rangkaian produk spa, produk antijerawat, produk hasil ekstrak budu, produk penjagaan badan dan rawatan selulit serta produk penjagaan kulit untuk lelaki.

Di samping itu, ia mengetengahkan rangkaian kosmetik berwarna untuk wajah termasuk bibir dan mata.

"Penyelidikan itu tidak hanya mengambil kira aspek keberkesanan malah aliran popular pengguna produk kosmetik. Misalnya, jika sebelum ini, produk pemutihan banyak menguasai pasaran namun kini, produk antipenuaan semakin mendapat perhatian."

"Tidak hanya untuk wanita, pembangunan produk turut mensasarkan golongan lelaki khususnya generasi muda yang semakin mementingkan penampilan diri," katanya.

Pembangunan produk kosmetik yang menitikberatkan hasil yang berkualiti dan selamat dilaksanakan Sirim Berhad itu juga menjadi platform untuk membantu usahawan khususnya Bumiputera dalam industri herba untuk melangkah lebih jauh.

Menerusi jalinan perniagaan berkenaan, golongan usahawan dipelawa memasarkan rangkaian produk kosmetik dibangunkan Sirim itu manakala beberapa kemudahan turut disediakan termasuk latihan pengurusan perniagaan.

Perkhidmatan Sirim seterusnya diperkukuhkan dengan bantuan kepada syarikat untuk pendaftaran produk halal serta reka bentuk pembungkusan dan pelabelan.

Penyelidik untuk rangkaian produk lelaki, Shahril Ilias, berkata pembangunan produk dandanan untuk lelaki itu bukan semata-mata disebabkan permintaannya yang tinggi namun penghasilan produk tempatan seumpamanya sangat terhad.

Apatah lagi, ada perbezaan agak ketara antara kulit lelaki dan wanita misalnya dari segi ketebalan kulit.

"Kulit lelaki adalah 20 peratus lebih tebal berbanding wanita malah ia lebih berminyak dan berdaki serta mempunyai liang roma lebih besar."

"Justeru, produk untuk lelaki seharusnya kurang berminyak dan berkilau. Ia juga perlu bertindak untuk pembersihan jauh ke dalam liang roma kulit," katanya.

Jika kedutan di wajah wanita mudah kelihatan meskipun baru mencecah 30-an, menurutnya, lelaki di bawah 40-an lazimnya masih tidak menampakkan kedutan kerana garis kedut lebih jelas apabila lelaki mencecah usia 40 hingga ke 50-an.

Antara produk lelaki keluaran Sirim termasuk krim selepas cukuran yang elok digunakan bukan saja untuk membuatkan kulit lebih selesa tetapi mengurangkan masalah jangkitan.

INFO:
Sembilan projek kosmetik Sirim Berhad:

1) Produk spa berasaskan herba terpilih termasuk set rawatan tubuh dan wajah

2) Produk antijerawat daripada herba terpilih termasuk gel pembersih, penyegar, pelembap dan gel rawatan

3) Produk kosmeseutikal daripada bahan ekstrak penapaian terpilih termasuk krim pembersih, krim siang dan krim malam

4) Produk rawatan penjagaan tubuh dan selulit termasuk krim pelembap dan krim tumit mengelupas

5) Produk dandanan diri lelaki termasuk krim selepas cukuran, pelembap, losen pelindung cahaya matahari dan bahan sental wajah

6) Produk penjagaan kulit campuran ekstrak herba dengan teknologi nano termasuk krim siang, topeng wajah dan gel pembersih

7) Produk kosmetik berwarna untuk muka termasuk bedak asas dan pelindung cela

8) Produk kosmetik berwarna untuk bibir termasuk produk penjagaan bibir dan gincu

9) Produk kosmetik berwarna untuk mata termasuk produk penjagaan mata

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::