ATTENTION !!!

Showing posts with label kosmetik herba. Show all posts
Showing posts with label kosmetik herba. Show all posts

Friday, June 25, 2010

Gelombang Industri Kosmetik Halal

(Post: Bahasa Melayu)
" Pada Persidangan Antarabangsa bagi Kosmetik dan Kelengkapan Dandanan Diri Halal 2010 di Kuala Lumpur April lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir menyebut bahawa Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai hab bagi produk kosmetik halal dunia. "

Ini berdasarkan persekitaran negara yang kaya dengan bahan-bahan herba semula jadi yang boleh dibangunkan sebagai bahan utama dalam pembuatan produk kosmetik.

Saranan tersebut seharusnya dapat membuka mata pengusaha-pengusaha tempatan untuk melihat potensi besar pasaran kosmetik halal sama ada di dalam mahu pun di luar negara.

Pengusaha juga harus sedar dengan senario pasaran kosmetik global pada hari ini yang semakin terbuka dan 'mengalu-alukan' keperluan kosmetik halal.

Data terkini yang dikeluarkan oleh Institute of Personal Care Science of Australia baru-baru ini menganggarkan pasaran kosmetik global ketika ini bernilai kira-kira AS$334 bilion (RM1,169 bilion).

Kosmetik halal pula berkongsi pasaran dengan jumlah AS$13 bilion (RM45.5 bilion) setahun - perkembangan yang dilihat selari dengan pertumbuhan pasaran makanan halal dan sektor kewangan Islam.

Berasaskan kajian dalam industri tersebut juga, pada 2005 industri kosmetik dan kelengkapan dandanan diri menguasai sembilan peratus daripada keseluruhan pasaran produk halal global.

Kajian oleh sebuah syarikat penyelidikan di Malaysia pula menganggarkan nilai perniagaan halal meningkat kepada AS$635 bilion (RM2,222 bilion) setahun dengan perluasan pasaran di negara-negara Islam dan Barat berikutan pertambahan penduduk Islam.

Di Perancis misalnya, yang mempunyai kira-kira lima juta penduduk Islam, jualan bagi makanan halal diramal mencecah hingga 5.5 bilion euros (RM25.2 bilion) pada 2010.

Kita juga perlu sedar bahawa hampir satu perempat atau suku daripada penduduk dunia beragama Islam, sekali gus menjadikan pasaran halal global antara yang terbesar.

Ini menunjukkan peluang sememangnya terbuka luas kepada pengusaha kosmetik tempatan untuk mengungguli pasaran produk kosmetik halal dunia dan seterusnya menjadikan negara ini sebagai hab pengeluaran produk tersebut.

Lagi pula di Malaysia sendiri industri kosmetik halal telah berkembang kukuh sejak 1980 dengan perkongsian 10-20 peratus daripada keseluruhan pasaran kosmetik tempatan.

Jika dahulu isu produk halal banyak tertumpu kepada makanan, namun akhir-akhir ini semakin ramai yang memperluaskannya kepada produk-produk lain termasuk kecantikan.

Bahkan konsep halal kini juga semakin diguna pakai pada hampir semua barangan dan perkhidmatan termasuk farmasutikal, pakaian, perkhidmatan kewangan dan pakej-pakej pelancongan.

Dalam Islam prinsip halal bukan sekadar tidak mengandungi babi atau bahan-bahan yang berkaitan serta haiwan yang tidak disembelih, tetapi juga kandungan-kandungan seperti alkohol yang haram di sisi Islam.

Para pengusaha produk juga harus memahami bahawa memartabatkan kosmetik halal tidak semestinya mereka berlawan arus pembikinan kosmetik konvensional.

Kosmetik halal seperti gincu bibir, produk penjagaan wajah dan wangian bebas alkohol masih boleh mengandungi bahan-bahan daripada haiwan tetapi ia mesti disediakan mengikut cara Islam iaitu disembelih.

Malah tanpa disedari industri kosmetik halal sebenarnya meraih kelebihan daripada 'gelombang hijau' (produk mesra alam) yang berlaku dalam industri kosmetik Barat pada hari ini.

Ini diakui sendiri Mah Hussain-Gambles, pengasas syarikat kosmetik halal pertama di Eropah, Saaf Pure Sincare, ketika menghadiri Persidangan Antarabangsa bagi Kosmetik dan Kelengkapan Dandanan Diri Halal 2010.

Dia dipetik sebagai berkata, prinsip 'gelombang hijau' mengutamakan produk yang tidak membahayakan tubuh dan semula jadi - sama seperti dalam prinsip produk halal.

Untuk itu tidak hairanlah apabila lebih banyak syarikat-syarikat antarabangsa yang mula mencipta jenama mesra alam iaitu organik, vegetarian dan halal.

Apa yang pasti lebih ramai para pengusaha akan terjun dalam bidang ini memandangkan orang Islam hanya memilih produk-produk yang dikenal pasti halal manakala yang lain lebih ke arah barangan produk mesra alam.

Sementara itu bagi pengasas produk kosmetik tempatan jenama RizReni, Norizah Yahya, apa yang menjadi masalah kepada pengusaha di negara ini ialah kurangnya pihak yang membuat kajian saintifik mengenai bahan-bahan halal yang boleh digunakan dalam pembuatan kosmetik.

Tumpuan katanya, lebih kepada makanan dan minuman.

Ia diburukkan lagi dengan sikap pengguna Islam itu sendiri yang tidak yakin dengan produk tempatan dan lebih berbangga dengan produk luar negara yang tidak diketahui status halal haramnya.

Norizah yang ditemui di pejabatnya di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, tidak salah memakai produk kosmetik jenama luar negara, namun bagi pengguna terutama orang Islam penting untuk mereka membaca dan memahami bahan-bahan yang digunakan dalam produk itu.

Norizah mengakui, sebelum polisi halal bagi produk pemakanan dan kosmetik dikeluarkan, RizReni sudah terfikir mengeluarkan produk halal bagi kegunaan masyarakat Islam di negara ini.

Selain mengeluarkan kosmetik, RizReni yang mendapat pengesahan halal daripada Islamic Food Research Council juga merupakan pengeluar produk penjagaan kulit, tata rias, makanan dan minuman kesihatan.

Beliau menjelaskan semasa mula-mula hendak membuat produk, dia banyak bertanya terutama kepada ahli keluarga mengenai produk yang mereka kehendaki.

Ternyata pilihan mereka ialah produk yang halal, berkesan dan dalam masa yang sama, selamat.

Malah suaminya yang berkelulusan dalam bidang farmasi dari sebuah universiti di Amerika Syarikat turut membuat kajian terhadap produk yang dihasilkan di kilang milik syarikatnya di Taman Bolton, Batu Caves, Gombak, Selangor.

Untuk memenuhi piawaian halal itu, dia mementingkan penggunaan bahan-bahan yang suci sesuai dengan tag line 'Selamat, Suci dan Berkesan' supaya pengguna tidak perlu ragu-ragu termasuk boleh dibawa untuk bersolat.

Sementara itu pengasas produk De Wajah, Junaidah Kiting, berpendapat pengusaha dalam bidang kecantikan perlu peka dengan kehendak pelanggan khususnya masyarakat Islam yang kini semakin prihatin terhadap pentingnya kosmetik dan produk penjagaan kulit yang halal.

Junaidah yang telah 22 tahun berkecimpung dalam bidang kecantikan berkata, sebagai pengeluar produk kosmetik dan produk penjagaan kulit, adalah penting memenuhi kehendak pelanggan Islam.

"Selain mendapat keberkatan dalam perniagaan ia juga mampu menjadikan negara sebagai pusat rujukan dan hab kepada pengeluaran produk kosmetik halal."

"Selain suci dan halal, pengusaha produk juga harus bertanggungjawab dengan mengelak daripada menggunakan bahan-bahan yang berbahaya seperti raksa, hidrokuinon," katanya.

Justeru Junaidah, dia lebih mempercayai bahan-bahan semula jadi seperti ekstrak tumbuh-tumbuhan, bunga, pinang muda, delima dan buah-buahan sebagai bahan dalam produk kosmetik dan penjagaan kulit.

Walaupun ada yang menawarkan kolagen biri-biri Junaidah masih berpegang kepada kesucian dalam produk keluarannya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, November 17, 2009

Kosmetik Herba SIRIM

(Post: Bahasa Melayu)
"Dulu, ruang lingkup kajian di bidang kosmetik sekadar berkisar kepada penghasilan serbuk pencuci. Namun selepas 15 tahun, Institut Penyelidikan Industri dan Standard Malaysia (Sirim) Berhad memahat sejarah tersendiri dengan pembangunan produk kosmetik yang bernilai komersil."

Menariknya, rangkaian produk kosmetik berkenaan memanfaatkan khazanah alam khususnya pelbagai jenis herba tempatan seperti pegaga, kayu manis, limau purut dan lidah buaya malah budu dan tempe.

Khasiat herba itu pula bukan sebarangan misalnya, ujian in vitro dan in vivo menunjukkan bahan aktif dalam campuran minyak pati limau purut dan kayu manis mempunyai aktiviti perencatan terhadap bakteria penyebab jerawat.

Di samping itu, bahan aktif dalam campuran minyak pati kayu manis dan daun gelam pula merencatkan aktiviti enzim tripsin iaitu enzim keradangan, melindungi kulit daripada radikal bebas dan menggalakkan penghasilan kolagen.

Penerokaan kepelbagaian khasiat herba untuk penghasilan produk kosmetik di Sirim Berhad itu sebenarnya sudah bermula sejak 10 tahun lalu, kata Naib Presiden Bahagian Penyelidikan dan Teknologi Sirim Berhad, Dr Zainal Abidin Mohd Yusof.

"Pembangunan satu-satu produk pula mengambil masa agak lama iaitu kira-kira 18 bulan. Ini kerana ia harus melalui pelbagai proses kajian termasuk peringkat keselamatan."

"Antara perkara dititikberatkan adalah rumusan produk berkenaan seharusnya stabil terutama apabila ia memasuki pasaran," katanya pada majlis Sesi Pemadanan serta Jalinan Perniagaan Pemindahan Teknologi Kosmetik dan Herba di Pusat Inkubator Teknologi Sirim Berhad, Sepang, Selangor, baru-baru ini.

Penyelidikan rumusan produk kosmetik baru itu membabitkan sembilan projek merangkumi lebih 50 produk kosmetik. Ia meliputi rangkaian produk spa, produk antijerawat, produk hasil ekstrak budu, produk penjagaan badan dan rawatan selulit serta produk penjagaan kulit untuk lelaki.

Di samping itu, ia mengetengahkan rangkaian kosmetik berwarna untuk wajah termasuk bibir dan mata.

"Penyelidikan itu tidak hanya mengambil kira aspek keberkesanan malah aliran popular pengguna produk kosmetik. Misalnya, jika sebelum ini, produk pemutihan banyak menguasai pasaran namun kini, produk antipenuaan semakin mendapat perhatian."

"Tidak hanya untuk wanita, pembangunan produk turut mensasarkan golongan lelaki khususnya generasi muda yang semakin mementingkan penampilan diri," katanya.

Pembangunan produk kosmetik yang menitikberatkan hasil yang berkualiti dan selamat dilaksanakan Sirim Berhad itu juga menjadi platform untuk membantu usahawan khususnya Bumiputera dalam industri herba untuk melangkah lebih jauh.

Menerusi jalinan perniagaan berkenaan, golongan usahawan dipelawa memasarkan rangkaian produk kosmetik dibangunkan Sirim itu manakala beberapa kemudahan turut disediakan termasuk latihan pengurusan perniagaan.

Perkhidmatan Sirim seterusnya diperkukuhkan dengan bantuan kepada syarikat untuk pendaftaran produk halal serta reka bentuk pembungkusan dan pelabelan.

Penyelidik untuk rangkaian produk lelaki, Shahril Ilias, berkata pembangunan produk dandanan untuk lelaki itu bukan semata-mata disebabkan permintaannya yang tinggi namun penghasilan produk tempatan seumpamanya sangat terhad.

Apatah lagi, ada perbezaan agak ketara antara kulit lelaki dan wanita misalnya dari segi ketebalan kulit.

"Kulit lelaki adalah 20 peratus lebih tebal berbanding wanita malah ia lebih berminyak dan berdaki serta mempunyai liang roma lebih besar."

"Justeru, produk untuk lelaki seharusnya kurang berminyak dan berkilau. Ia juga perlu bertindak untuk pembersihan jauh ke dalam liang roma kulit," katanya.

Jika kedutan di wajah wanita mudah kelihatan meskipun baru mencecah 30-an, menurutnya, lelaki di bawah 40-an lazimnya masih tidak menampakkan kedutan kerana garis kedut lebih jelas apabila lelaki mencecah usia 40 hingga ke 50-an.

Antara produk lelaki keluaran Sirim termasuk krim selepas cukuran yang elok digunakan bukan saja untuk membuatkan kulit lebih selesa tetapi mengurangkan masalah jangkitan.

INFO:
Sembilan projek kosmetik Sirim Berhad:

1) Produk spa berasaskan herba terpilih termasuk set rawatan tubuh dan wajah

2) Produk antijerawat daripada herba terpilih termasuk gel pembersih, penyegar, pelembap dan gel rawatan

3) Produk kosmeseutikal daripada bahan ekstrak penapaian terpilih termasuk krim pembersih, krim siang dan krim malam

4) Produk rawatan penjagaan tubuh dan selulit termasuk krim pelembap dan krim tumit mengelupas

5) Produk dandanan diri lelaki termasuk krim selepas cukuran, pelembap, losen pelindung cahaya matahari dan bahan sental wajah

6) Produk penjagaan kulit campuran ekstrak herba dengan teknologi nano termasuk krim siang, topeng wajah dan gel pembersih

7) Produk kosmetik berwarna untuk muka termasuk bedak asas dan pelindung cela

8) Produk kosmetik berwarna untuk bibir termasuk produk penjagaan bibir dan gincu

9) Produk kosmetik berwarna untuk mata termasuk produk penjagaan mata

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::