ATTENTION !!!

Showing posts with label dusun. Show all posts
Showing posts with label dusun. Show all posts

Tuesday, May 10, 2011

Dusun Garden Fairies

(Post: Bahasa Melayu)
" Pengertian mesra alam dan kehidupan penuh privasi bagaikan melengkapi ungkapan pertama setiap individu yang pernah menjejakkan kaki ke Dusun Garden Fairies. "

Latar keindahan semula jadinya dilihat sebati dengan kehadiran beberapa landskap kejur yang mewarnai segenap penjuru taman.

Bersantai di taman semula jadi itu membuatkan pengunjung melupakan seketika kesibukan kota dan benar-benar menikmati suasana damai perkampungan desa.

Gambaran keunikan Dusun Garden Fairies di Sungai Jerang, Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor sebenarnya sukar diperincikan kerana pengalaman merasai sendiri lebih bermakna.

Pemiliknya Haimizan Hamid, 48, hanya tersenyum ketika penulis memuji keunikan landskap taman itu yang mempertahankan keaslian kehidupan desa.

"Asalnya ia sebuah dusun yang dibarisi pelbagai jenis buah-buahan khususnya durian, manggis dan cempedak serta membuahkan hasil apabila tiba musimnya."

"Sejak memilikinya pada 2006, perancangan teliti mula dilakukan supaya persekitaran semula jadinya terus kekal ditambah dengan sedikit landskap kejur sebagai penyeri," katanya.

Haimizan berkata, proses penyatuan landskap binaan dan semula jadi mula dilakukan sepenuhnya pada 2007.

Pengalaman membuka syarikat dan minat mendalam terhadap dunia landskap itu sendiri banyak mendorong terciptanya panorama indah sebuah desa.

"Bagi saya, tidak banyak penambahan landskap binaan dibuat kerana latar dusun ini sebenarnya sudah tersedia suasana tenang mendamaikan."

"Cuma reka letak landskap kejur membantu menyerlahkan lagi keunikan persekitarannya dan selesa dikunjungi tanpa mengira waktu," katanya yang mendapat sokongan padu isteri tercinta Anies Arienna Tan Abbdullah, 45.

Bagi Anies, keindahan taman itu hadiah paling berharga buatnya seisi keluarga dan boleh dimanfaatkan sebagai lokasi mengenali keindahan alam semula jadi khususnya generasi hari ini.

Memperincikan Dusun Garden Fairies kini menjadi antara destinasi percutian terpilih bagi anda yang ingin merasai kehidupan desa penuh privasi.

Langkah pertama mata disajikan dengan pemandangan indah aliran air sungai yang dilengkapi dengan pancuran dibina untuk membolehkan pengunjung melihat dan merasai sendiri kepentingan elemen berkenaan kepada alam serta manusia.

"Uniknya sungai ini memang dibentuk semula bagi mewujudkan suasana lebih selamat untuk seisi keluarga bersantai sambil mandi manda."

"Kehadiran beberapa tanaman air dan ikan seperti koi, patin serta tilapia melengkapkan ekosistem semula jadi sungai itu," kata Haimizan.

Merentasi titi anyaman buluh menuju ke lokasi santai pertama yang dinamakan Pavilion, hati penulis bertambah kagum dek keindahan reka bentuknya.

Ditambah dengan hiasan dalaman ala Bali, suasana bersantai di Pavilion sambil menikmati keindahan persekitaran tenang dan damai.

Alunan muzik Bali diperdengarkan di lokasi santai itu bagaikan membawa anda melewati kehidupan masyarakatnya yang sinonim dengan elemen air.

Latar menarik yang dilitupi rumput hijau semula jadi bersebelahan Pavilion itu antara lokasi tumpuan majlis perkahwinan atau pertemuan keluarga.

Menjenguk pula Treehouse yang dibina lengkap bagaikan sebuah kediaman ternyata memanfaatkan pengalaman berada di Dusun Garden Fairies untuk seketika.

Binaan batu-batuan semula jadi membentuk anak tangga menuju ke Treehouse itu melonjakkan lagi perasaan ingin tahu.

Idea mewujudkan tandas dengan dekoratif menarik tidak kurang hebatnya untuk menarik perhatian sebaik melewati Treehouse.

Treehouse adalah lokasi penginapan yang diperbuat daripada kayu asli merentasi beberapa pokok buah-buahan yang tetap dikekalkan kedudukan asalnya.

"Berada di sini, pengunjung bukan saja berpeluang melihat seluruh keindahan panorama taman ini malah boleh merasai pengalaman menginap dalam Treehouse berlatarkan hiasan dalaman mesra alam," kata Haimizan.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, June 25, 2009

Durian oh Durian

(Post: Bahasa Melayu)
"Muar terkenal sebagai pengeluar durian kerana memiliki kebun durian yang luas sehingga ada pekebun yang mampu mengutip hasil durian lebih 500 kilogram sehari dan keadaan itu menjadi punca berlaku lambakan."

Keceriaan penduduk Muar untuk memperoleh hasil lumayan jualan durian pada musim tahun ini mungkin tidak menjadi kenyataan berikutan jumlah durian yang gugur hampir serentak menyebabkan berlaku lambakan buah berkenaan.

Durian Muar terutama dari daerah Ledang mulai gugur sejak awal Jun lalu dan jumlahnya yang banyak menyebabkan harganya menurun dengan cepat.

Harga durian kampung kini hanya antara 50 sen hingga RM1 sekilogram, manakala harga durian klon sedikit terjejas antara RM2 hingga RM3 sekilogram.

Kejatuhan harga durian itu berlaku kira-kira seminggu selepas durian mulai gugur, selain keadaan cuaca panas yang menyebabkan orang ramai tidak gemar memakan durian.

Tinjauan Berita Harian mendapati deretan gerai menjual pelbagai jenis durian dapat dilihat di hampir semua jalan utama termasuk Jalan Muar-Tangkak, Jalan Tangkak-Segamat, Jalan Bukit Pasir, Jalan Temenggong Ahmad menghala ke Batu Pahat dan Jalan Muar-Melaka.

Berita Harian turut dimaklumkan bahawa antara durian Muar yang paling sedap ialah durian dari Tanjung Gading, Pagoh, Kampung Payamas dekat Tangkak, Bukit Bendar dan Kampung Sawah Laku.

Lambakan durian itu menyebabkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil inisiatif membeli sendiri durian untuk dipasarkan ke kawasan luar daerah ini termasuk Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Pegawai Fama Daerah Muar dan Ledang, Abd Malek Ramli, berkata setakat ini pihaknya sudah membuka enam pusat pembelian durian dan jumlah itu akan ditingkatkan kepada lima lagi bergantung kepada jumlah durian yang ada di pasaran.

Katanya, pihaknya juga sentiasa memantau harga durian di pasaran pada masa ini dan mengakui harganya menurun kepada antara 50 sen hingga RM1 sekilogram.

"Kita membantu pekebun dengan membeli durian itu untuk dipasarkan ke luar daerah bagi memastikannya dapat dijual dengan harga yang lebih tinggi," katanya.

Selain itu, katanya Fama turut mengadakan program eko-pelancongan iaitu membawa pelancong untuk menikmati durian di kebun yang terpilih, sekali gus memastikan harganya stabil.

Beliau berkata, program itu dimulakan sejak minggu lalu dengan lima bas pelancong dari Singapura dibawa ke daerah ini untuk menikmati durian dalam suasana kebun.

Katanya, pihaknya menjangkakan masalah lambakan durian berlaku sejak minggu ini dan keadaan itu dijangka berterusan berikutan semakin banyak durian gugur.

Seorang penggemar durian, Shukri Ahmad, 30, berkata kebanyakan penduduk memiliki dusun dan ada pula yang mendapat percuma daripada rakan menyebabkan ramai yang tidak membeli durian.

"Dengan berlaku lambakan dan kurang pembeli, masalah itu menyebabkan harga durian cepat jatuh," katanya.

Beliau berkata, jika dulu durian sukar diperoleh manakala harganya pula mahal, kini raja buah itu mudah diperoleh tanpa mengira musim selain harganya juga jauh lebih murah.

Sumber: Berita Harian Online
Foto: SimpleMalaysia.com

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, November 28, 2008

Dusun Keluarga Bahagia

(Post: Bahasa Melayu)
"Impian keluarga ini ialah menjadikan dusun ini sebagai kawasan pelancongan dengan tarikan khusus buat penggemar buah-buahan tempatan yang mahu merasai kesegaran dan mutu secara terus dari dusun."

Kunjungan ke daerah Pengkalan Hulu jika dilakukan pada musim buah-buahan, pastinya akan memberikan keseronokan sebaik terpandang pokok yang 'meriah' dengan buah-buahan.

Ini semua menguatkan hajat untuk singgah kerana mahu merasai sendiri pengalaman memetik, memungut, dan makan sepuas-puasnya.

Hasrat itu boleh dinikmati di Dusun Keluarga Bahagia.

Dusun milik keluarga Shamsul Azreen Ghazali, 30, itu agak unik kerana ia turut menyediakan kemudahan bilik penginapan bagi membolehkan pengunjung menanti sendiri buah jatuh seperti buah durian di malam hari.

Kawasan seluas hampir dua hektar ini mempunyai tarikan tersendiri kepada pencinta buah-buahan tempatan untuk menikmatinya di sini.

Raja buah dari klon 101, D24, D15 sehinggalah ke klon tangkai panjang pastinya sudah cukup memuaskan hati penggemar durian yang mahukan isi kuning, tebal, lemak dan manis.

Bagi yang tidak gemar makan durian, boleh memilih beberapa lagi buah-buahan lain seperti rambutan, manggis dan dokong di dusun ini.

Di hujung dusun terdapat sebuah kolam yang kini dimanfaatkan untuk ternakan ikan air tawar bagi melengkapkan dusun ini dengan ciri-ciri pelancongan tani.

Bagi memudahkan pengunjung, terdapat juga sebuah rumah yang dilengkapi ruang masak, bilik tidur, ruang rehat dan bilik air.

Shamsul Azreen menganggap kelebihan dusun milik keluarganya sebagai satu cara mempromosikan pelancongan di kawasan itu.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::