ATTENTION !!!

Tuesday, May 10, 2011

Dusun Garden Fairies

(Post: Bahasa Melayu)
" Pengertian mesra alam dan kehidupan penuh privasi bagaikan melengkapi ungkapan pertama setiap individu yang pernah menjejakkan kaki ke Dusun Garden Fairies. "

Latar keindahan semula jadinya dilihat sebati dengan kehadiran beberapa landskap kejur yang mewarnai segenap penjuru taman.

Bersantai di taman semula jadi itu membuatkan pengunjung melupakan seketika kesibukan kota dan benar-benar menikmati suasana damai perkampungan desa.

Gambaran keunikan Dusun Garden Fairies di Sungai Jerang, Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor sebenarnya sukar diperincikan kerana pengalaman merasai sendiri lebih bermakna.

Pemiliknya Haimizan Hamid, 48, hanya tersenyum ketika penulis memuji keunikan landskap taman itu yang mempertahankan keaslian kehidupan desa.

"Asalnya ia sebuah dusun yang dibarisi pelbagai jenis buah-buahan khususnya durian, manggis dan cempedak serta membuahkan hasil apabila tiba musimnya."

"Sejak memilikinya pada 2006, perancangan teliti mula dilakukan supaya persekitaran semula jadinya terus kekal ditambah dengan sedikit landskap kejur sebagai penyeri," katanya.

Haimizan berkata, proses penyatuan landskap binaan dan semula jadi mula dilakukan sepenuhnya pada 2007.

Pengalaman membuka syarikat dan minat mendalam terhadap dunia landskap itu sendiri banyak mendorong terciptanya panorama indah sebuah desa.

"Bagi saya, tidak banyak penambahan landskap binaan dibuat kerana latar dusun ini sebenarnya sudah tersedia suasana tenang mendamaikan."

"Cuma reka letak landskap kejur membantu menyerlahkan lagi keunikan persekitarannya dan selesa dikunjungi tanpa mengira waktu," katanya yang mendapat sokongan padu isteri tercinta Anies Arienna Tan Abbdullah, 45.

Bagi Anies, keindahan taman itu hadiah paling berharga buatnya seisi keluarga dan boleh dimanfaatkan sebagai lokasi mengenali keindahan alam semula jadi khususnya generasi hari ini.

Memperincikan Dusun Garden Fairies kini menjadi antara destinasi percutian terpilih bagi anda yang ingin merasai kehidupan desa penuh privasi.

Langkah pertama mata disajikan dengan pemandangan indah aliran air sungai yang dilengkapi dengan pancuran dibina untuk membolehkan pengunjung melihat dan merasai sendiri kepentingan elemen berkenaan kepada alam serta manusia.

"Uniknya sungai ini memang dibentuk semula bagi mewujudkan suasana lebih selamat untuk seisi keluarga bersantai sambil mandi manda."

"Kehadiran beberapa tanaman air dan ikan seperti koi, patin serta tilapia melengkapkan ekosistem semula jadi sungai itu," kata Haimizan.

Merentasi titi anyaman buluh menuju ke lokasi santai pertama yang dinamakan Pavilion, hati penulis bertambah kagum dek keindahan reka bentuknya.

Ditambah dengan hiasan dalaman ala Bali, suasana bersantai di Pavilion sambil menikmati keindahan persekitaran tenang dan damai.

Alunan muzik Bali diperdengarkan di lokasi santai itu bagaikan membawa anda melewati kehidupan masyarakatnya yang sinonim dengan elemen air.

Latar menarik yang dilitupi rumput hijau semula jadi bersebelahan Pavilion itu antara lokasi tumpuan majlis perkahwinan atau pertemuan keluarga.

Menjenguk pula Treehouse yang dibina lengkap bagaikan sebuah kediaman ternyata memanfaatkan pengalaman berada di Dusun Garden Fairies untuk seketika.

Binaan batu-batuan semula jadi membentuk anak tangga menuju ke Treehouse itu melonjakkan lagi perasaan ingin tahu.

Idea mewujudkan tandas dengan dekoratif menarik tidak kurang hebatnya untuk menarik perhatian sebaik melewati Treehouse.

Treehouse adalah lokasi penginapan yang diperbuat daripada kayu asli merentasi beberapa pokok buah-buahan yang tetap dikekalkan kedudukan asalnya.

"Berada di sini, pengunjung bukan saja berpeluang melihat seluruh keindahan panorama taman ini malah boleh merasai pengalaman menginap dalam Treehouse berlatarkan hiasan dalaman mesra alam," kata Haimizan.

Sumber: myMetro

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::