ATTENTION !!!

Monday, May 23, 2011

Petai Hentian Rehat Lebuhraya

(Post: Bahasa Melayu)
" Apabila menempuh satu perjalanan yang jauh melalui lebuh raya untuk sampai ke sesuatu destinasi, pasti Hentian Rehat & Rawat (R&R) menjadi lokasi wajib untuk disinggahi. "

Selain mahu mengisi perut yang lapar, menunaikan solat atau melepaskan hajat, pengunjung juga berpeluang membeli pelbagai produk yang dijual.

Malah, terdapat Hentian R&R tertentu seperti di Tapah, Perak yang terkenal dengan buah-buahan seperti jambu batu, jambu madu, limau bali dan sebagainya. Ia sudah tentu boleh menjadi buah tangan untuk dibawa pulang untuk keluarga atau teman-teman.

Bagaimanapun, dalam banyak-banyak kedai buah di Tapah, anda mungkin tertarik dengan sebuah gerai di Hentian R&R Tapah arah selatan yang turut menjual petai.

Menurut Mohd. Johari Niya Ahmad, 34, yang membantu perniagaan ibunya di hentian tersebut, sudah hampir dua dekad menjual buah-buahan termasuk petai kepada orang ramai yang berhenti rehat di kawasan itu.

"Petai adalah salah satu daripada ulam kampung kegemaran ramai. Ia biasanya sering didapati dan dijual di kawasan kampung. Tetapi, apabila menjualnya di kawasan hentian rehat lebuh raya situasinya agak berbeza."

Varieti Petai

"Pengunjung lebih suka membeli buah-buahan seperti jambu batu atau jambu air. Bagaimanapun, rezeki sebagai penjual petai di kawasan ini tetap ada," kata Johari sambil tersenyum lantas menunjukkan beberapa papan petai.

Dia memperoleh bekalan petai daripada Orang Asli di sekitar Tapah seperti di Batu 7 dan Batu 14. Harganya mengikut pasaran semasa dan bekalan petai dihantar seminggu tiga kali.

Antara petai yang dijual Johari termasuklah petai papan yang mempunyai rasa agak pahit dan petai padi yang lebih lemak serta bertangkai pendek.

Menjadi satu-satunya peniaga yang menjual petai di R&R Tapah arah utara, Johari mengakui sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

"Alhamdulillah, setakat ini bisnes kami mempunyai kelompok pelanggan tersendiri. Malah, ada juga pelancong asing yang membeli petai kami dan memang seronok melayan kerenah mereka," beritahu Johari.

Jelas Johari, apabila menjalankan perniagaan di lebuh raya, harga jualan dipantau oleh pihak PLUS Expressway Berhad (PLUS).

"Selain itu, gerai jualan juga perlu dibuka setiap hari. Ia tidak boleh ditutup sesuka hati. Jika ada kecemasan, peniaga perlu memaklumkan pada pihak PLUS terlebih dahulu. Selepas mendapat persetujuan mereka, barulah gerai boleh ditutup," ujarnya.

Ditanya cabaran berniaga di hentian R&R, Johari pantas mengakui berdepan pelbagai ragam pelanggan yang adakalanya memeningkan kepala. Namun, ia bukan penghalang untuknya terus berniaga di situ.

"Apa yang penting, setiap peniaga perlu ada rasa kesabaran yang tinggi di samping memaniskan wajah dengan senyuman. Jika ada sebarang masalah, ia boleh diselesaikan dengan cara diplomasi."

"Bagi menangani masalah tersebut, pihak PLUS juga ada menghantar peniaga untuk mengikuti kursus cara-cara melayan pelanggan. Sedikit sebanyak, ia boleh mendidik kita lebih memahami keadaan pelanggan," terang Johari sambil tangannya pantas menyusun petai untuk digantung di gerainya.

Selain petai, Johari turut menjual buah durian belanda tetapi ia bermusim.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::