ATTENTION !!!

Wednesday, November 3, 2010

Hotel Haiwan di Klinik Haiwan dan Surgeri Mesra

(Post: Bahasa Melayu)
" Saat melangkah masuk ke dalam Klinik Haiwan dan Surgeri Mesra, kelihatan Gugu, Linux, Pipi, Lalita, Chelsea, Dina, Hana, Fiona, Oga, Bob, Beany, Finas dan Yona sedang berehat di dalam sangkar masing-masing. "

Ada yang bergurau senda, tidur, menjamu selera dan tidak kurang juga yang sedang bermalas-malas membersihkan diri sementara menunggu tuan masing-masing menjemput mereka pulang ke rumah.

Kesemua kucing tersebut didaftar masuk di situ kerana pemiliknya mempunyai urusan kerja atau bercuti panjang.

Menariknya, semua haiwan di klinik berkenaan akan mendapat kemudahan serta layanan yang sangat istimewa.

Malah, melengkapkan layanan kelas pertama tersebut, haiwan di situ diberikan khidmat rawatan kesihatan kerana doktor bertugas akan memantau tahap kesihatan dari semasa ke semasa.

Seorang pengaturcara komputer di sebuah syarikat swasta, Nuraini Ibrahim, 23, mula menghantar kucing kesayangannya Ricky Bobo ke klinik haiwan yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor itu, sejak Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.

"Saya akan menghantar Ricky Bobo yang berusia setahun setengah apabila ada tugasan luar dan ketika balik ke kampung beraya. Biasanya paling singkat Bobo menginap di sini selama dua hari dan paling lama dua minggu."

"Sebelum ini saya menghantar Bobo di tempat lain tetapi memandangkan pelbagai perkhidmatan ditawarkan di sini selain dikenakan caj yang berpatutan, saya lebih selesa di sini," katanya sambil mendukung Bobo seberat 5.2 kilogram (kg) itu.

Tambahnya, klinik tersebut bukan sahaja menyediakan perkhidmatan penginapan tetapi turut menyediakan perkhidmatan rawatan, grooming dan barang-barang keperluan haiwan. Pendek kata, segala-galanya ada di situ.

"Kos penginapan di sini RM12 sehari lengkap dengan penyediaan makanan selain ia dijaga oleh veterinar yang bertauliah," ujarnya.

Sementara itu, pemilik kucing jantan jenis Mancoon Mix, Mohd. Azhar Abdul Aziz, 29, sependapat mengenai caj yang dikenakan terhadap setiap pelanggan.

Pegawai Eksekutif yang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran itu akan menghantar kucingnya bernama Ronaldo 'bercuti' ke situ apabila dia mempunyai tugasan di luar daerah mahupun bercuti.

"Paling lama pernah saya tinggalkan Ronaldo selama lima hari. Keadaan di sini selesa, jadi saya tidak risau jika tinggalkan Ronaldo lama di sini."

"Selain menggunakan perkhidmatan 'hotel haiwan'. saya juga membawa kucing ke sini untuk menjalankan rawatan rutin, suntikan vaksin, mendapatkan ubat cacing dan sebagainya," katanya.

Mohd. Azhar berpendapat pemilik kucing dulu dan kini sangat berbeza.

"Kini, mereka lebih mampu membawa haiwan peliharaan mereka ke klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan memandangkan klinik-klinik haiwan sudah banyak dibuka," ujarnya.

Empat cawangan hotel kucing

Pemilik Klinik Haiwan dan Surgeri Mesra, Dr. Wan Ahmad Kusairy Wan Sulaiman, 45, yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang veterinar memberitahu, sebelum haiwan didaftar masuk, keadaan mereka diperiksa dan diberikan suntikan vaksin terlebih dahulu sebelum diberikan lampu hijau untuk menginap di 'hotel'nya.

"Pemeriksaan awal perlu bagi mengelakkan penyakit berjangkit dengan kucing-kucing lain yang menginap di tempat yang sama. Jika didapati kucing itu tidak sihat, ia akan dikuarantin di bilik khas."

"Jika kucing tersebut sakit selepas pulang dari tempat ini, pemilik mereka boleh mendapatkan rawatan tanpa dikenakan sebarang caj," katanya yang sebelum ini berkhidmat dengan Institut Haiwan Kluang, Johor.

Wan Ahmad merupakan pemegang Ijazah Kedoktoran Perubatan Veterinar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) menubuhkan kliniknya sendiri pada tahun 2008 di Bangi turut menyediakan asrama untuk haiwan lain seperti arnab, hamster, iguana dan kura-kura.

Caj yang dikenakan ialah RM12 untuk sangkar standard dan RM15 untuk sangkar yang lebih besar. Caj tersebut merangkumi kos penginapan dan makanan sahaja.

Permintaan tambahan daripada pemilik kucing untuk mandi dan grooming akan dikenakan caj tambahan.

Menurutnya, kebiasaannya 'bilik' kucing di kliniknya habis ditempah pada musim perayaan terutamanya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Baru-baru ini, kliniknya menjaga lebih kurang 500 ekor kucing di empat buah cawangan kliniknya iaitu di Seksyen 7, Bangi; Presint 15, Putrajaya; Saujana Impian, Kajang dan Taman Seri Serdang, Seri Kembangan.

Angka tersebut meningkat sebanyak 100 ekor berbanding 400 ekor tahun lalu dan setiap kali raya, Wan Ahmad menghabiskan hampir RM15,000 untuk membeli sangkar-sangkar baru untuk keselesaan 'tetamunya', malah sangkar-sangkar lama pula akan dijual pada harga istimewa.

"Paling singkat pemilik haiwan menghantar haiwan kesayangan mereka ke sini adalah empat hari dan paling lama pula lebih dua minggu. Sambutan yang menggalakkan menyebabkan saya tidak hanya membuka perkhidmatan penginapan pada musim perayaan sahaja, malah turut membukanya untuk musim haji dan cuti sekolah yang panjang."

"Bagi mereka yang bakal menunaikan umrah atau haji, kami akan memberikan diskaun sebanyak 30 hingga 50 peratus," ujarnya yang mempunyai pelanggan daripada segenap golongan.

Semua di bawah satu bumbung

Para pemilik haiwan yang meninggalkan haiwan kesayangan mereka di klinik tersebut tidak perlu gusar kerana haiwan dijaga dan dipantau oleh kakitangan bertugas yang terdiri daripada tiga orang doktor veterinar dan 10 orang pembantu 24 jam sehari, tujuh hari seminggu di semua cawangan klinik.

Selain menawarkan khidmat penginapan, klinik haiwan milik Wan Ahmad juga menjalankan perkhidmatan pembiakan baka kucing.

"Pelanggan hanya dikenakan caj sebanyak RM200 sekali masuk dan andai kata proses tersebut tidak mendatangkan sebarang hasil, kami akan memberikan peluang kedua kepada kucing mereka secara percuma."

"Kami juga membuat program khidmat masyarakat istimewa buat pemilik-pemilik haiwan. Pada bulan April lalu kami mengadakan program ultra bunyi percuma untuk kucing dan arnab," katanya yang merancang untuk membuka cawangan di Temerloh, Pahang tahun depan.

Wan Ahmad memberitahu, bermula 8 November ini, dia bercadang untuk memberikan suntikan vaksin penyakit kurap bagi kucing dan arnab secara percuma sehingga 30 November.

Dalam pada itu, Wan Ahmad juga mahu memberi peluang kepada pelajar veterinar lepasan universiti untuk membuat latihan praktikal sekali gus menyediakan peluang pekerjaan buat mereka.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::