ATTENTION !!!

Tuesday, September 21, 2010

Figurin dan Bunga Tanah Liat

(Post: Bahasa Melayu)
" Perlahan-lahan satu persatu kelopak bunga orkid itu dibentuk dengan penuh teliti. Setelah puas dengan rupanya yang dianggap cukup sempurna, ia dicantum bagi membentuk sekuntum bunga orkid. "

Mungkin kedengaran leceh, tetapi proses itu sebenarnya belum berakhir. Kelopak dengan latar warna kuning itu juga perlu diwarnakan dengan tompok-tompok pelbagai saiz bagi menyamai orkid dari spesies Phalaenopsis. Itu cuma bunga, belum termasuk bahagian anatomi pokok yang lain.

Meskipun demikian, proses itulah yang disifatkan menyeronokkan bagi suri rumah sepenuh masa, Joanna Tan. Wanita berusia 41 tahun itu hakikatnya telah memulakan sesi kraf tangan untuk membentuk berpasu-pasu bunga orkid menggunakan medium tanah liat khas sejak Oktober lalu.

"Asalnya, saya nampak promosi tentang seni ini di sebuah pusat beli-belah di Pulau Pinang. Tetapi, oleh sebab menetap di Kuala Lumpur sepenuh masa, saya terpaksa menunggu lebih setahun sebelum sesi ini dapat ditawarkan," ceritanya kepada Kosmo! di Yenji Clay Craft (Yenji) di Petaling Jaya.

Joanna yang berasal dari Pulau Pinang sebenarnya telah lama meminati seni kraf tangan dan peluang yang ditawarkan oleh Yenji terus diambil tanpa berfikir panjang. Lagipun, mempelajari seni itu bukan sekadar suka-suka.

Selain mampu mengasah daya kreativiti, ada sebab lain dia memilih untuk menghasilkan subjek orkid.

"Bila ada kawan-kawan yang hendak berpindah ke rumah baru, bolehlah saya hadiahkan hasil kraf tangan ini kepada mereka. Ini lebih bermakna kerana dihasilkan sendiri," tambahnya sambil memberitahu sepasu orkid kraf telahpun menjadi buah tangan untuk seorang rakannya.

Tidak memerlukan modal yang terlalu tinggi, Joanna telah mendaftar untuk pakej bernilai RM300 yang mengajar sesi menghasilkan bunga pelbagai spesies.

Pakej ini membenarkan pelajar menghasilkan tiga projek bunga berbeza termasuk projek Phalaenopsis yang wajib. Pilihan spesies bunga yang lain termasuk vanda, hyacinth, cymbidium, cattleya dan dendrobium.

Modal yang rendah

Menurutnya, walaupun kos bahan-bahan projek belum termasuk dalam harga pakej yang diambil, ia tidak memerlukan modal yang mahal.

"Kali pertama, saya perlu beli peralatan dan tanah liat serta pasu. Jadi, untuk menghasilkan tiga tangkai yang melibatkan lebih 20 kuntum bunga, kosnya adalah sekitar RM200," katanya sambil memberitahu pasu pilihannya sahaja berharga sekitar RM80.

Sebagai salah seorang daripada suri rumah yang mempelajari kraf tangan di Yenji, dia turut memberitahu, pusat pembelajaran kraf itu menawarkan pakej-pakej fleksibel.

Maknanya, setiap pakej yang ditawarkan tidak terikat dengan kekangan masa.

Kelebihan ini juga menjadi faktor pendorong bagi Penny Loke yang sanggup datang dari Seremban, Negeri Sembilan semata-mata untuk mengasah daya kreativiti menghasilkan kraf tanah liat. Ejen pengedar produk kesihatan itu telah menjadi pelajar di Yenji sejak Januari 2010.

Biarpun belum sampai setahun menjalani Kursus Latihan Guru, dia kini sudah sampai ke projek keempatnya. Turut memilih subjek orkid, Penny mengakui diri telah mencintai seni kraf tangan sejak kecil.

"Saya memang sudah lama ingin belajar kraf tangan. Malah, sebab terlalu suka, sewaktu di universiti pun saya ambil satu subjek seni," katanya yang menyimpan impian bergelar guru kraf tanah liat pada suatu hari nanti.

Tenaga pengajar utama di Yenji, Annie Ooi Yean Nee, 32, memberitahu, daya imaginasi pelajar ada ketikanya jauh lebih hebat daripada guru.

Dia yang memiliki lebih tiga tahun pengalaman dalam bidang penghasilan kraf tanah liat berpendapat rata-rata golongan suri rumah adalah kelompok yang mudah diajar, lebih fokus dan teliti.

"Mungkin ada yang menganggap suri rumah banyak menghabiskan masa di rumah sehingga tidak pandai berbuat apa-apa. Realitinya, mereka lebih mudah menumpukan perhatian terhadap setiap tunjuk cara," tambahnya.

Pemilik Yenji Clay Craft, Chris Khoo Seang Eng, 38, pula berkata, seni kraf tanah liat kini sangat popular di kalangan suri rumah.

Chris yang hampir tujuh tahun mengusahakan perniagaan berasaskan tanah liat termasuk mengajar seni kraf itu berpendapat subjek bunga adalah subjek pilihan kegemaran mereka.

Menurutnya, Yenji seakan-akan menjadi lokasi pertemuan suri rumah atas nama seni. Biarpun menerima pelajar dari pelbagai peringkat usia, Chris memberitahu, pakej yang fleksibel di pusat itu memudahkan golongan wanita itu datang mengikut waktu pilihan masing-masing.

"Kami tidak ingin mengehadkan masa untuk menyiapkan sesuatu projek kerana matlamat kami adalah untuk membiarkan pelajar masuk dan belajar secara rileks," katanya.

Dengan variasi pilihan kelas atau sesi kraf tanah liat, para pelajar berpeluang untuk bereksperimen dengan keseronokan menggulung, mengguli atau sekadar menempek-nempek tanah liat bagi menghasilkan bentuk yang diingini.

Bahan khas

Menariknya, medium tanah liat yang digunakan ini bukan seperti tanah liat tradisional yang mudah mengotorkan tangan. Ia merupakan campuran bahan-bahan khas termasuk pewarna semula jadi daripada buah-buahan. Tambahan lagi, kandungan tanah liat istimewa itu tidak membahayakan pengguna seperti kanak-kanak kecil.

Pada awal perniagaan ini dimulakan, Chris terpaksa mengimport tanah liat yang mahal dari Jepun. Selain kos yang lebih tinggi, dia juga perlu berdepan dengan beberapa masalah lain.

"Tanah liat import biasanya perlu dibeli secara pukal. Masalahnya, jika tidak laris dalam tempoh masa setahun, akibatnya, tanah liat akan menjadi keras dengan mudah. Jadi, ini sangat merugikan," tambahnya sambil memberitahu harga setiap pek tanah liat import seberat 250 gram (gm) berharga mencecah RM50.

Namun, masalah itu dianggap berakhir apabila Chris berjaya menghasilkan medium tanah liat tempatan menggunakan adunan khas setelah berkali-kali mencuba.

Tanah liat yang dihasilkan oleh keluarganya itu sekali gus mengurangkan bebanan yang terpaksa dihadapi sebelum ini. Malah, tanah liat tersebut lebih ringan dan mudah dibentuk.

"Orang muda lebih cenderung memilih pakej untuk menghasilkan figurin manakala mereka yang lebih berusia pula meminati subjek bunga."

"Penghasilan figurin tiga dimensi (3D) lebih memerlukan daya imaginasi dan aspek inilah yang kami ingin terapkan dalam pelajar," katanya yang mula mempelajari asas seni kraf tanah liat daripada seorang gadis Jepun lebih sedekad lalu.

Dalam proses pembelajaran membuat kraf, aspek paling penting yang dititikberatkan oleh tenaga pengajar adalah kaedah untuk melindungi kualiti tanah liat. Aspek itu diberi perhatian memandangkan tanah liat yang digunakan mudah kering apabila terdedah kepada udara.

Setakat ini, Yenji telah mempunyai lebih 3,000 pelajar yang mempelajari seni kraf tanah liat dalam kursus berbeza.

Menariknya, Chris menambah, seni kraf ini secara tidak langsung boleh mengeratkan hubungan sesama pasangan mahupun anak dengan ibu bapa. Itulah yang dinamakan kepuasan baginya sebagai pengusaha pusat seni kraf tersebut.

"Pernah beberapa kali, ada ibu bapa dan anak yang langsung tidak bercakap. Jadi, saya mendorong mereka agar mendaftar bersama-sama kerana apabila mereka mula membuat kraf sekali, maka, selepas itu mereka ada topik perbualan untuk dibincangkan," tambahnya mengakhiri perbualan.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::