Chomel Outlet Store
(Post: Bahasa Melayu)
" Seronok melihat telatah dua kanak-kanak perempuan iaitu Farhana Arissa Mohd. Fajri, 5, dan Nylea Natasha Mohd. Nizam, 7, yang langsung tidak kekok apabila berhadapan dengan lensa kamera. "
Meskipun lokasi penggambaran diadakan di luar premis dan di bawah panas terik, mood mereka tidak pernah terbantut.
Lebih istimewa, kanak-kanak itu tidak perlu diajar untuk memberi gaya menarik. Aksi mereka cukup spontan seperti sudah biasa menghadiri sesi fotografi.
Menyarung baju kurung fabrik kapas Chomel Outlet Store, fesyen baju tersebut cukup ringkas dan sesuai dengan sifat kanak-kanak yang lasak.
Disokong penggunaan tekstil yang tidak membuatkan pemakai berasa rengsa akibat panas, penampilan menjadi bertambah manis dengan sulaman bunga di bahagian pergelangan tangan.
Disebabkan tidak mahu kelihatan terlalu ringkas, kain yang dipadankan dengan baju kurung tersebut mempunyai unsur corak yang berpetak.
Chomel Outlet Store yang terletak di Lembah Keramat, Kuala Lumpur memuatkan pelbagai fesyen menarik, cantik dan ideal buat si ibu yang mahu melihat anak-anak mereka melaram sakan pada hari lebaran.
Kebanyakan pakaian yang terdapat di situ mempunyai unsur fesyen golongan dewasa. Hakikatnya, bukan orang dewasa sahaja yang layak bergaya, malah kanak-kanak juga kini mahu kelihatan cantik dan berketrampilan.
Saat paling menggembirakan bagi dua model cilik itu ialah apabila mereka berpeluang memperagakan gaun. Tidak lekang dengan senyuman, gaun itu sesuai dipakai saat bertandang ke rumah terbuka.
Kanak-kanak seusia mereka kelihatan lebih eksklusif jika bijak mengenakan aksesori bersesuaian seperti cekak rambut, rantai tangan dan beg tangan.
Gaya ranggi pula cukup sekadar mengenakan skirt jean pendek dan baju tanpa lengan. Si cilik akan lebih selesa sekiranya mereka diberi kelonggaran memakai pakaian yang tidak terlalu labuh.
Bagaimanapun, pastikan anak-anak tidak kerap memakai selipar. Mereka lebih kemas dan comel jika menyarungkan kasut berpotongan feminin.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment