ATTENTION !!!

Monday, June 14, 2010

Produk Rawatan Luka ChytoSRT

(Post: Bahasa Melayu)
" Universiti Sains Malaysia (USM) melangkah setapak lagi dalam bidang perubatan apabila memeterai memorandum perjanjian dengan SIRIM bagi mengkomersialkan ChytoSRT, sejenis produk rawatan luka berasaskan kulit udang. "

Perjanjian yang turut melibatkan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu membabitkan projek bernilai RM2.94 juta bagi penghasilan produk itu mengikut prosedur Amalan Makmal Baik (GLP).

Pengkomersialan produk tersebut adalah susulan daripada Projek Pembangunan Produk Penyembuhan Luka Berasaskan Kitosan di bawah program Skim Penumpuan Penyelidikan Dalam Bidang Keutamaan (IRPA) pada 2004.

Timbalan Naib Canselor, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Prof. Lim Koon Ong berkata, projek itu turut membabitkan pembangunan makmal yang mempunyai pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) bagi mengeluarkan produk berkenaan.

Katanya, SIRIM akan memfokuskan kepada pengeluaran produk mengikut prosedur GMP manakala USM pula menjurus kepada kajian praklinikal dan ujian klinikal terhad yang mempunyai pensijilan GLP.

"Fabrikasi bagi salah satu reaktor projek ini diserahkan kepada UPSI sebagai perunding dan pakar dalam bidang ini," katanya selepas majlis pertukaran dokumen memorandum perjanjian itu di sini hari ini.

USM diwakili oleh Koon Lim manakala SIRIM oleh Naib Presiden Bahagian Penyelidikan dan Teknologinya, Dr. Zainal Abidin Mohd. Yusof manakala UPSI diwakili Timbalan Naib Canselornya, Prof. Dr. Mohd. Mustamam Abd. Karim.

Turut hadir Timbalan Dekan Fakulti Sains Perubatan USM, Prof. Dr. Ahmad Sukari Halim dan Penyelidik Kanan Program Bahan Hayat SIRIM, Dr. Kartini Noorsal.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, segmen pengurusan luka amat berpotensi kerana pasarannya di peringkat global menjana AS$5.2 bilion (RM16.64 bilion) pada 2008 dan dijangka mencecah AS$16 bilion (RM51.2 bilion) menjelang 2017.

"Apa yang pasti, penggunaan produk pengurusan luka amat tinggi di Malaysia berikutan angka kemalangan jalan raya yang tinggi serta kecederaan kebakaran yang parah," katanya.

Menurut Zainal Abidin lagi, kebanyakan produk rawatan luka yang diimport bernilai jutaan ringgit sehingga kerajaan dan pesakit perlu mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk mendapatkan rawatan tersebut.

Justeru kata beliau, dengan adanya produk hasil penyelidikan tempatan, kebergantungan terhadap produk perawatan luka dari luar negara dapat dikurangkan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::