ATTENTION !!!

Wednesday, April 7, 2010

UKHWAH Koperasi Islam Contoh

(Post: Bahasa Melayu)
" Kemudahan penginapan, pinjaman kewangan serta urusan mengerjakan umrah merupakan antara faedah yang berjaya disediakan Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (UKHWAH) kepada 50,000 ahlinya menerusi jaringan perniagaan yang dibina sejak 12 tahun lalu. "

Selaras dengan moto UKHWAH iaitu 'Susah Senang Kita Sentiasa Bersama', koperasi itu sentiasa memastikan perniagaan yang diceburi memberi manfaat kepada ahli-ahlinya.

Pengerusi UKHWAH, Datuk Mustapa Kamal Maulut berkata, koperasi itu diwujudkan untuk membantu golongan bumiputera menebus kembali pemilikan hartanah khususnya di ibu negara.

"Melalui pemilikan hartanah, bumiputera berpeluang lebih luas untuk menceburi bidang perniagaan terutama di tengah-tengah ibu kota yang kebanyakannya dimiliki oleh bukan bumiputera," katanya.

Menurutnya, UKHWAH menjana perniagaan hartanahnya melalui kecairan kewangan hasil yuran bulanan wajib dan yuran kebajikan ahli sebanyak RM18 setiap seorang dan daripada wang itu, koperasi kini memiliki aset bernilai RM200 juta.

"Hasil kutipan yuran bulanan ahli seramai 50,000 orang inilah kita memperolehi wang tunai RM900,000 setiap bulan. Ia membolehkan kita membeli hartanah dan memberi pelbagai bentuk faedah kepada ahli," jelasnya.

UKHWAH merupakan salah sebuah daripada 6,084 koperasi yang beroperasi di negara ini mengikut statistik tahunan gerakan koperasi sehingga akhir 2008 dengan jumlah aset bernilai RM55.730 bilion.

Pencapaian UKHWAH pada hari ini memang patut dibanggakan oleh golongan bumiputera dan pasti ramai yang ingin tahu apakah rahsia sehingga ia menjadi sebuah koperasi yang berjaya pada hari ini.

Menurut Mustapa Kamal, kesepakatan pengurusan UKHWAH daripada peringkat ahli lembaga pengarah sehingga kakitangan bawahan mampu mencetuskan idea yang mencipta faedah khususnya kepada ahli-ahli koperasi dan juga masyarakat luar.

"Berdasarkan pelbagai lapisan usia dan latar belakang, kami memberi input yang difikirkan dapat memberi faedah kepada ahli."

"Faedah-faedah yang mendatangkan manfaat kepada ahli inilah yang mendorong lebih ramai orang untuk menyertai UKHWAH."

"Kesepakatan di kalangan ahli juga memainkan peranan penting dalam memastikan koperasi ini sentiasa teguh," jelasnya.

Menurut Mustapa Kamal, di UKHWAH kebajikan ahli adalah keutamaannya.

Katanya, bersesuaian dengan maksud UKHWAH iaitu persaudaraan, matlamat koperasi itu bukan semata-mata mengaut keuntungan tetapi mahu berkongsi manfaat dengan ahli dan masyarakat luar.

Jelasnya, menerusi Kelab UKHWAH Care, banyak faedah menarik diterima oleh ahli antaranya kemudahan penginapan di ibu negara dengan kadar serendah RM10 sehari selain sewa kenderaan di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, ahli juga diberi kemudahan perkhidmatan tunda kereta, taska, tadika dan tuisyen untuk anak-anak, sumbangan khairat kematian RM1,000, sumbangan perkahwinan dan sumbangan perubatan.

Beliau memberitahu, kemudahan penginapan yang disediakan termasuk di salah sebuah apartmen mewah di Jalan Sultan Ismail di sini dan beberapa buah banglo mewah sekitar Lembah Klang.

"Secara tidak langsung ia merancakkan aktiviti pelancongan di kalangan ahli," jelasnya.

Dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik katanya, setiap permohonan oleh ahli untuk mendapatkan kemudahan yang disediakan koperasi akan diproses dalam tempoh tiga hari bekerja.

Menurutnya, koperasi juga menyediakan perkhidmatan pinjaman peribadi kepada ahli menerusi produk UKHWAH Ekspres.

Tiada caj terselindung dikenakan kepada ahli, malah mereka mendapat jaminan keselamatan kerana pembiayaan pinjaman dilindungi insurans.

Selain itu jelas Mustapa Kamal, ahli boleh membuat pinjaman semula tanpa perlu menyelesaikan pinjaman awal dan tanpa had selang tempoh ditetapkan.

"Secara tidak langsung pinjaman peribadi ini dapat membantu masyarakat daripada menggunakan khidmat 'ah long' ketika mereka terdesak dari segi kewangan," ujarnya.

Seperti konsep Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang diwujudkan untuk kemudahan orang ramai mengerjakan haji, UKHWAH pula menyediakan khidmat tabung umrah untuk ahli-ahlinya dengan pakej harga istimewa.

Menurutnya, koperasi juga menawarkan kepada anak ahlinya sumbangan sekurang-kurangnya RM500 bagi yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Mungkin sudah ramai yang mengetahui tentang kewujudan Restoran Rakyat 1Malaysia yang menawarkan segelas teh tarik dan sekeping roti canai dengan harga RM1.

Menurut Mustapa Kamal, restoran yang menawarkan set menu pada harga yang terendah itu adalah milik UKHWAH.

Restoran yang terletak di Jalan Medan Tuanku 1 di sini turut menawarkan pakej istimewa pada setiap Jumaat dengan memperkenalkan konsep 'ambil sendiri, nilai sendiri, bayar sendiri dan derma'.

Pada hari tersebut, pengunjung boleh menikmati sebarang makanan tengah hari dengan harga yang dinilai sendiri.

Duit yang dibayar itu pula akan dimasukkan ke dalam tabung yang dikenali sebagai Tabung Masyarakat Prihatin untuk didermakan kepada fakir miskin.

Mungkin ramai usahawan beranggapan konsep itu tidak mendatangkan keuntungan, sebaliknya konsep 'pemurah' itu adalah punca tarikan sebenar pengunjung ke restoran berkenaan sehingga memperolehi keuntungan besar.

Kini, dua lagi cawangan Restoran Rakyat 1Malaysia dibuka di Petaling Jaya, Selangor dan Taiping, Perak.

"Orang ramai juga dialu-alukan untuk membuka perniagaan berkonsepkan Restoran Rakyat 1Malaysia dan UKHWAH akan bertindak sebagai mentor kepada usahawan restoran itu," kata Mustapa Kamal.

Mustapa Kamal memberitahu, UKHWAH mempunyai beberapa perancangan untuk memajukan lagi koperasi untuk kebaikan ahli-ahlinya.

Antaranya ialah memiliki hartanah bernilai RM300 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

Selain itu katanya, UKHWAH merancang untuk menubuhkan bank yang akan memberi kemudahan dana untuk ahlinya.

Perancangan turut dibuat untuk melebarkan sayap perniagaan UKHWAH ke luar negara termasuk membuka restoran di Mekah dan Madinah.

"Memang menjadi sasaran UKHWAH untuk meningkatkan martabat Melayu dalam bidang ekonomi," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::