ATTENTION !!!

Wednesday, April 14, 2010

Dari Cub Prix ke Dunia Usahawan

(Post: Bahasa Melayu)
" Usianya baru 31 tahun namun gaya, pertuturan dan visinya jelas mempamerkan kematangannya. Susuk tubuh bersaiz kecil turut tidak menjadi kekurangan kepadanya untuk menggalas beban tanggungjawab berat yang diamanahkan kepadanya. "

Tidak cukup itu, anak muda kelahiran Gelugor, Pulau Pinang ini turut dilantik sebagai Pengerusi Koperasi Muda Niaga Pulau Pinang Berhad; Pengerusi Belia 4B Pantai Jerjak dan Pengurus Kelab Bola Sepak Pulau Reka.

Jawatan dan tugas yang diamanahkan itu membuktikan kredibiliti bapa kepada tiga cahaya mata berkenaan diakui, malah pencapaian Mohd Fauzi seharusnya dibanggakan.

Lebih menarik lagi, apa yang dimilikinya adalah hasil usaha sendiri meskipun bapanya terlebih dulu menceburi dunia perniagaan atau korporat.

Kejayaan anak muda ini juga boleh dijadikan ikutan kerana di sebalik ketiadaan pengalaman, dia mampu mencipta nama dalam industri pembinaan, khususnya di Pulau Pinang.

Antara sentuhan atau projeknya ialah pembinaan Pangkalan Polis Marin di Batu Uban, Pulau Pinang pada 2001; Pangkalan Polis Marin di Pelabuhan Klang (2005); Marina Pulau Indah, Pelabuhan Klang (2006) dan Projek Pembangunan Hilir Sungai Pinang, Serina Bay pada 2004.

"Saya memulakan bisnes ini daripada tiada pengalaman, namun saya bergerak dari bawah dan sedikit demi sedikit. Misalnya, saya pernah jadi penghantar surat dan memotong rumput di tepi lebuh raya hanya kerana mahu mencari pengalaman," katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, pencapaiannya hari ini banyak didorong kejayaan bapanya, Datuk Mohd Shariff Ibrahim, 66, dan asuhan ibunya, Datin Wan Abu Bakar, 58.

Kata Mohd Fauzi, sebelum terbabit dalam dunia perniagaan, bapanya berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan di Jabatan Perikanan, Pulau Pinang dan berhenti daripada jawatan itu pada 1985.

Sejak itu, katanya, hidup mereka sekeluarga berubah bukan hanya perlu merancang kehidupan kembali tetapi terpaksa hidup berpindah-randah.

"Ketika ayah bekerja sebagai kakitangan kerajaan, kami menetap di kuarters. Namun selepas berhenti, hidup kami sekeluarga berubah. Lima tahun kami menumpang rumah datuk dan nenek di dalam sebuah bilik kecil yang menempatkan lima orang, iaitu emak, ayah dan kami tiga beradik."

"Selain itu, kami terpaksa berjimat kerana perniagaan yang ayah ceburi iaitu pembinaan masih baru dan saya membawa bekal ke sekolah untuk berjimat," katanya.

Menurutnya, bapanya tegas dalam kehidupan dan sangat mementingkan pelajaran kepada anak meskipun dirinya tidak berpelajaran tinggi.

Kerana itu, kata Mohd Fauzi, sesusah mana sekalipun, bapanya berusaha menghantar anak mendapat pendidikan tertinggi demi masa depan masing-masing.

"Ketika menumpang di rumah datuk dan nenek, kedua-dua abang hendak memasuki MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) dan UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan ayah bersusah payah mencari wang sendiri untuk membantu mereka," katanya.

Begitupun, sebaliknya berlaku kepada Mohd Fauzi apabila dia bekerja selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di beberapa syarikat sebagai penghantar surat selama dua tahun.

Dia juga pernah terbabit dalam perlumbaan motosikal iaitu Kejuaraan Cub Prix kerana minat mendalam dalam sukan permotoran.

"Masa kerja sebagai penghantar surat, saya juga aktif dalam aktiviti lumba motosikal secara haram dan kerana minat, saya berusaha memasuki Cub Prix namun hanya aktif selama empat tahun," katanya.

Di samping aktif berlumba dan bekerja, satu aktiviti yang tidak boleh ditinggalkannya ialah berniaga iaitu menjual pakaian. Malah, aktiviti itu dilakukannya sejak menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdullah Munshi dengan rakan menjadi pembeli setianya.

"Pelbagai jenama kemeja-T saya jual, namun lebih banyak kepada rakan. Selepas kerja, saya bawa beg plastik mengandungi pelbagai baju T dan tunjuk kepada rakan," katanya.

Disebabkan minat di samping melihat kejayaan bapanya yang mampu mengukir nama dalam industri pembinaan, anak muda itu mengambil keputusan menubuhkan syarikat Pulau Reka Enterprise pada 1999.

"Syarikat ini saya tubuhkan bersama isteri yang ketika itu tunang saya. Dia jaga akaun dan saya cari pasaran. Pada awalnya kami membekal alat tulis dan melakukan kerja berkaitan perumahan dan pembinaan secara kecil-kecilan."

"Ketika itulah saya ambil kontrak memotong rumput di tepi lebuh raya sekitar negeri ini, bina tempat letak kereta, bilik stor, surau dan sebagainya," katanya.

Mohd Fauzi berkata, bukan mudah untuknya menceburi bidang yang dia sendiri tiada pengalaman namun berkat kesabaran selain dia sendiri turun padang, semua cabaran berjaya dihadapi.

"Saya berpegang dengan kata-kata ayah, iaitu apabila bekerja kita perlu ikhlas dan pegang amanah yang diberikan sebaik-baiknya. Selain itu, ayah selalu berpesan, ketika berniaga jangan tipu atau aniaya orang, jangan main duit dan tidak sombong," katanya.

Pegangan itu menjadikan Mohd Fauzi seorang yang kental, malah meskipun memiliki empayar sendiri, dia masih merendah diri.

"Saya pernah alami hidup susah dan saya tahu bagaimana menjadi orang susah dan ia menjadi panduan berguna untuk saya melayari kehidupan ini," katanya.

INFO:
Nama: Mohd Fauzi Mohd Shariff
Jawatan: Pengarah Urusan Kumpulan Pulau Reka Sdn Bhd

Anak syarikat:
- PR Builders Sdn Bhd ( pembinaan)
- PRG Resources Holdings Sdn Bhd (pelaburan)
- Pulau Reka Corporation Sdn Bhd (Pengurusan Aset)
- Talian Selasih Development Sdn Bhd (pemaju perumahan)
- ARICT Sdn Bhd (teknologi maklumat)
- PR Agro Sdn Bhd (ternakan lembu)

Pendidikan:
- Diploma Kemahiran Kaunseling (Psikologi) Kolej Ritz (2009-2010)
- Diploma Teknologi Multimedia dari Pusat Latihan Telekom (1998-1999)
- Sekolah Menengah Kebangsaan Abdullah Munshi, Pulau Pinang

Jawatan lain:
- Pengerusi Belia 4B Pantai Jerjak, Pulau Pinang
- Pengurus Kelab Bola Sepak Pulau Reka
- Pengerusi Koperasi Muda Niaga Pulau Pinang Berhad

Sumber: myMetro

Bookmark and Share

1 comments:

etomyam April 15, 2010 at 10:06 AM  

salam, kagum dengan pencapaian dan prestasi cemerlang..syabas, jadi motivasi untuk org seperti saya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::