ATTENTION !!!

Tuesday, April 13, 2010

Portal Pengiklanan Ads4bucks Network

(Post: Bahasa Melayu)
" Cita-cita asalnya sejak di bangku sekolah ialah menjadi anggota tentera. Mungkin disebabkan pengaruh ayahnya yang bertugas sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pada waktu itu tidak terlintas langsung di fikirannya untuk bergelar usahawan berjaya. "

Menceritakan kembali sejarah hidupnya yang disifatkannya sebagai kelam kabut, Ameer Noraizeedin Abdul Wahab, 40, berkata pembabitannya dalam dunia perniagaan dan kejayaannya hingga mampu memiliki syarikat sendiri berlaku tanpa dirancang.

Menurutnya Ameer, selepas tamat darjah enam di Sekolah Rendah Kebangsaan Larkin, Johor Bahru, dia meneruskan persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Anglo (ACS) Ayer Tawar, Perak dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga sebelum bertukar ke Sekolah Menengah Ambrose di daerah sama dari tingkatan empat hingga lima.

"Selepas mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1986, saya terus memohon menyertai TLDM dan ditawarkan menghadiri temu duga."

"Namun pada masa sama saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Manjung, Perak dalam jurusan pengurusan perniagaan."

"Hati saya berbelah bagi sama ada mahu terima tawaran belajar atau meneruskan cita-cita bergelar tentera. Disebabkan permintaan ibu yang mahu saya sambung belajar, saya turutkan saja demi masa depan," katanya.

Tambah Ameer, oleh kerana minatnya yang mendalam terhadap bidang ketenteraan, dia menyertai badan beruniform Kesatria sewaktu di UiTM selama setahun sebelum menamatkan pengajian.

Selepas tamat belajar, dia menjadi jurujual di Ipoh dan Kuala Lumpur sebelum bekerja sebagai Pegawai Perniagaan Korporat di Arab Malaysian Insurans, Kota Bahru, Kelantan sebelum mengambil keputusan berkahwin.

"Saya berkahwin pada usia muda iaitu 21 tahun. Waktu itu pendapatan memang tak cukup. Walaupun dilahirkan dalam keluarga yang senang, saya punya prinsip sendiri iaitu suka berdikari."

"Tak lama selepas itu saya berhenti kerja dan menjadi ejen insurans sepenuh masa. Risiko waktu itu memang tinggi sebab pendapatan kita bergantung pada pembelian insurans daripada orang ramai. Jika tiada pelanggan, tiadalah pendapatan."

"Kehidupan saya agak sukar pada waktu itu kerana sudah berkahwin dan mempunyai anak tiga. Saya juga pernah menjual keropok ikan di sekitar Kuala Lumpur bagi menampung kehidupan selepas berkahwin dua tahun," katanya.

Dalam usaha mengubah kehidupan supaya lebih berjaya, Ameer membuat tindakan drastik yang kemudian menjadi titik perubahan besar dalam kamus hidupnya iaitu berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) bagi mengikut jejak langkah adik perempuan yang berkahwin dan tinggal di sana.

"Saya ke AS tanpa tujuan khusus. Untuk ke sana bersama anak dan isteri, saya menjual kereta dan rumah untuk beli tiket."

"Sewaktu mahu pergi, pelbagai halangan dilalui hinggakan saya terpaksa pergi berjumpa sendiri orang atasan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membolehkan saya sekeluarga pergi ke sana."

"Akhirnya, dengan segala usaha serta kekuatan yang ada, saya sampai juga dan tempat pertama dituju adalah rumah adik untuk sementara waktu," katanya.

Hari pertama di AS, Ameer memulakan kerja sebagai pelayan di restoran makanan segera Burger King di bandar Vichita. Tidak terhenti setakat itu, dia turut bekerja sebagai pencuci pejabat, sekolah dan premis perniagaan.

Yang pasti, kehidupan di negara orang banyak mengajarnya erti kesusahan dan hidup lebih berdikari.

Ameer berkata, disebabkan tidak mahu terus bekerja menghidangkan daging babi di restoran makanan segera itu, dia bekerja di restoran 'Passage To India' milik orang India selama empat bulan.

"Namun timbul masalah lain pula. Majikan saya panas baran. Jika ada perselisihan faham sedikit, pisau menjadi penyelesaian. Memikirkan keselamatan diri, saya berhenti kerja dan kembali bekerja di restoran makanan segera."

"Kali ini rezeki saya lebih baik kerana diberi kepercayaan untuk menjadi pengurus stor dan pendapatan yang diterima lumayan," katanya.

Bagaimanapun, atas semangat ingin berdikari yang membuak-buak selain mahu menumpukan lebih perhatian kepada anak yang sudah remaja, Ameer membuat keputusan berhenti kerja dan berniaga kecil-kecilan di rumah dengan menjual nasi lemak dan kuih muih.

"Pelanggan saya adalah pelajar yang menetap di sekitar tempat tinggal dan mereka sangat menggemari makanan dari Malaysia."

"Tidak lama selepas itu saya terfikir, sampai bila harus berada di negara orang. Hujan panas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lantas, saya kembali ke Malaysia," katanya.

Beliau berkata, untuk mengelak menganggur dia bekerja semula di syarikat lama dalam bidang insurans sebelum seorang rakan mengajaknya membuka perniagaan yang berkonsepkan e-dagang menerusi Internet.

Daripada situ, lahirlah Ads4bucks Network Sdn Bhd pada November 2008 yang memberi peluang kepada orang ramai menjana pendapatan melalui komisyen dan biarpun tidak sampai dua tahun beroperasi, syarikat itu kini berkembang maju dengan lebih 20 kakitangan dan hampir 40,000 ahli di seluruh negara.

"Sambutan diterima sangat menggalakkan. Saya membuka perniagaan ini tanpa modal tetapi banyak tenaga dan pengorbanan perlu dilakukan. Mungkin ramai menganggap perniagaan ini seperti Multi Level Marketing (MLM) atau skim cepat kaya."

"Hakikatnya syarikat ini menjalankan perniagaan berasaskan penjualan produk portal pengiklanan, di mana objektif utamanya ialah membina portal pengiklanan yang popular."

"Ia juga bakal mewujudkan komuniti usahawan yang mempunyai ilmu untuk mengembangkan perniagaan masing-masing melalui internet sebagai satu cara pemasaran," katanya.

Menurut Ameer, paling penting dalam perniagaan adalah kesungguhan, tidak cepat putus asa dan buang perasaan hasad dengki yang sinonim dengan masyarakat Melayu.

"Kadangkala dalam hidup, kita perlu mengambil risiko untuk menjadi lebih berjaya dan optimistik," katanya.

Sumber: myMetro

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::