ATTENTION !!!

Friday, November 13, 2009

Spa D Aura

(Post: Bahasa Melayu)
"Jika sekali pandang, tiada siapa menyangka bahawa spa yang terletak di sebelah pusat beli-belah Plaza South City itu adalah antara yang terbesar di Malaysia."

Namun, semuanya terjawab saat melangkah masuk ke spa D Aura yang menawarkan khidmat eksklusif bertaraf lima bintang.

Keindahan rekaan dalaman yang bercirikan neo Nusantara dan Bali menyambut mesra kedatangan pengunjung.

Tambahan, deruan air serta alunan lembut muzik yang dipasang, menambahkan lagi suasana penuh damai yang diimpikan pengunjung.

Biarpun baru beroperasi tidak sampai tiga bulan, spa yang dibuka khas untuk wanita itu sememangnya mempunyai tarikan tersendiri.

Dengan keluasan 14,710 kaki persegi, spa berkenaan menyediakan pelbagai kemudahan seperti jakuzi, mandi wap, sauna, kafe serta ruang santai yang mampu memuatkan 50 pengunjung pada satu-satu masa, 20 bilik urutan dan rawatan kecantikan serta kemudahan Internet tanpa wayar.

Pemiliknya, Dina Abu Bakar, 28, berkata spa berkenaan menyediakan segala kemudahan rawatan kecantikan di bawah satu bumbung.

Bagi dirinya, dia mahukan pengunjung benar-benar merasai ketenangan dan berehat sambil menikmati rawatan yang disediakan sebaik-baiknya.

Spa itu mempunyai bilik urutan yang selesa dengan dilengkapi kemudahan tandas serta bilik mandi di dalamnya.

"Untuk urutan, kami menggunakan lulur khas yang diperbuat daripada bahan semula jadi yang sesuai untuk semua jenis kulit."

"Biarpun hanya menyediakan perkhidmatan untuk wanita, kami juga menerima pengunjung lelaki asalkan dia datang bersama pasangan wanita masing-masing."

"Mereka boleh menggunakan bilik khas yang disediakan untuk pengunjung yang datang berpasangan," katanya yang turut menerima tempahan untuk mengadakan majlis peribadi dan rasmi.

Selain itu, spa berkenaan menempatkan kolam jakuzi, bilik mandian wap dan sauna di bahagian yang sama bagi memudahkan pergerakan pengunjung.

"Masih ramai yang tidak mengetahui bahawa aktiviti berendam di kolam air panas, mandian wap dan sauna ini amat baik untuk kesihatan."

"Ia bukan saja membantu melancarkan peredaran darah serta mengeluarkan toksin, malah turut menyegarkan badan dan memecahkan lemak," katanya.

Untuk menghilangkan dahaga, pengunjung boleh berehat seketika di kafe sambil menonton siaran televisyen yang disediakan di ruang santai.

Selain makanan menyihatkan, kafe spa berkenaan turut menghidangkan beraneka hidangan snek ringan enak yang pastinya menepati cita rasa.

"Spa ini sesuai untuk semua golongan masyarakat. Biarpun menyediakan perkhidmatan bertaraf lima bintang, harga dikenakan amat berpatutan yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat."

"Kami mempunyai pelbagai rawatan kecantikan di bawah satu bumbung dan pasti menggamit kunjungan pengunjung untuk kembali," katanya yang dibantu 10 kakitangan berpengalaman luas.

Sumber: myMetro

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::