ATTENTION !!!

Thursday, July 30, 2009

Pembantu Rumah PTMaids

(Post: Bahasa Melayu)
"Saya memulakan perkhidmatan ini empat tahun lalu selepas melihat potensinya di Petaling Jaya."

"Kita perlukan pembantu rumah untuk membantu majikan melakukan kerja-kerja seperti memasak, menyapu, menggosok pakaian, menyidai dan melipat kain dan lain-lain. Selain itu, ada juga keluarga yang memerlukan khidmat mereka bagi menjaga anak-anak kecil yang masih bersekolah."

"Namun, tindakan menyalahgunakan khidmat mereka seperti menyuruh mencuci kereta atau membersihkan haiwan peliharaan mengundang rasa tidak selesa kepada mereka," jelas Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Datuk Raja Zulkepley Dahalan.

Berbeza dengan Hong Kong, Taiwan dan Singapura yang tidak menghadapi situasi kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), Raja Zulkepley menegaskan, hampir 1.5 juta PATI di Malaysia menimbulkan pelbagai masalah sosial dan ekonomi. Antaranya, mereka terus tinggal di negara ini selepas tamat tempoh yang dibenarkan.

"Jika badan-badan penguatkuasaan kita bersikap lebih tegas, sudah tentu masalah ini tidak berpanjangan. Di Singapura misalnya, jika seorang pembantu rumah melarikan diri dari majikan atau agensi, dia tidak akan diambil bekerja oleh pihak lain."

"Di Malaysia, lain pula ceritanya. Ramai yang mengambil pembantu rumah yang sudah tamat permit bekerja melalui agensi haram pada harga yang rendah," ujar Raja Zulkepley.

Beliau tidak menafikan, cadangan membawa masuk pembantu rumah dari Filipina juga mempunyai risikonya tersendiri. Antaranya ialah gaji yang jauh lebih tinggi, iaitu sekitar RM1,400 berbanding RM500 hingga RM600 untuk amah Indonesia.

"Buat masa ini kita mempunyai sekurang-kurangnya 10,000 pembantu rumah dari Filipina tetapi kebanyakannya dari Luzon yang beragama Kristian," kata Raja Zulkepley yang menambah pertimbangan sedang dilakukan bagi menerima pembantu rumah dari Mindanao, yang rata-ratanya beragama Islam.

Sebagai alternatif, kemasukan pembantu rumah dari China dipercayai dapat menampung keperluan antara 70 hingga 80 peratus masyarakat Cina di negara ini.

Begitupun, solusi yang mungkin terbaik dalam keadaan getir ini adalah menguatkuasakan pengenalan pembantu rumah separuh masa. Raja Zulkepley juga bersetuju dengan pendekatan ini yang masih kurang dipraktikkan secara meluas.

Tiga tahun lalu, beliau menyarankan projek mengimport pembantu rumah dalam kumpulan besar sebelum diagih-agihkan kepada agensi yang bertauliah. Dari situ, majikan yang berminat boleh mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah separuh masa sekali gus membuat bayaran pada kadar mingguan atau bulanan yang rendah mengikut tempoh masa yang digunakan.

Di bawah program ini, seseorang pembantu rumah tidak perlu tinggal bersama majikan termasuk majikan tidak perlu menanggung kos makanan, perubatan dan lain-lain.

Di PTMaids yang diasaskan oleh Justin Lock, 29, dan dibantu oleh rakannya Syed Akhbar, 33, mereka menanggung kos sampingan untuk 20 orang pembantu rumah separuh masa.

Bermula dari pukul 8 pagi hingga 6 petang, pembantu rumah ini bekerja sekurang-kurangnya di dua buah rumah pelanggan tetap setiap hari. Mereka juga bekerja di rumah pelanggan yang sama untuk memudahkan mereka membiasakan diri dengan kerja-kerja yang perlu dilakukan.

Menurut Justin, pelanggannya terdiri daripada orang bujang, berkeluarga dan ekspatriat. Kos yang perlu dibayar untuk khidmat ini adalah minimum iaitu empat jam sebanyak RM55 dan lapan jam RM100. Ada yang bekerja seminggu sekali atau beberapa kali sebulan.

"Bancian menunjukkan terdapat 500,000 penduduk yang tinggal di kawasan ini dan sekiranya hanya satu peratus penduduk memerlukan perkhidmatan pembantu rumah, ia sudah memadai," jelas Justin.

Hari ini, lebih daripada 80 pelanggannya adalah dari Sierramas, Sungai Buloh, Bangsar, Hartamas dan Puchong. Dia juga berhasrat untuk melebarkan sayap ke Ampang, Klang dan Cheras.

Sama seperti konsep housekeeping di hotel, adakalanya Justin tidak bersemuka dengan pelanggan yang menyerahkan kunci rumah untuk dibersihkan pada hari-hari tertentu.

Bagaimanapun, aspek-aspek keselamatan dipraktikkan agar tidak berlaku kejadian buruk seperti kecurian.

"Setakat ini, pekerja kami tidak pernah mengadu masalah diperhambakan oleh majikan. Selain dilayan dengan baik, ada sesetengah daripada mereka menyediakan makan petang," jelas Akhbar yang bertindak sebagai penyelaras bersama.

Katanya, ada sesetengah pelanggan beliau lebih rela memperoleh perkhidmatan sebegini daripada mempunyai pembantu rumah yang tinggal serumah. Malah, ada yang mengadu bekas pembantu rumah mereka melarikan diri dengan membawa televisyen LCD milik majikan.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

1 comments:

Harwaty Binti Abdul Wahab August 6, 2009 at 10:07 AM  

bagaimana saya dapat menghubungi agensi yang menawarkan pembantu rumah separuh masa ini?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::