ATTENTION !!!

Wednesday, July 8, 2009

Pasar Tani Mega Putrajaya

(Post: Bahasa Melayu)
"Pasar Tani Mega Putrajaya dikunjungi oleh kakitangan awam yang membeli barangan dan makanan pada harga yang berpatutan."

Sewaktu golongan lelaki beragama Islam berpusu-pusu ke masjid berdekatan untuk mengerjakan solat Jumaat, lain pula halnya dengan golongan Hawa yang tinggal dan bekerja di sekitar kawasan Persint 2, Putrajaya.

Suasana para peniaga wanita dan bukan Muslim yang mula sibuk memasang meja dan bersiap sedia menerima pelanggan menyebabkan Pasar Tani Mega Putrajaya sangat unik dan berbeza.

Berbanding pasar tani lain, pengunjung pasar yang terletak di tapak letak kereta di hadapan Bangunan Pinjaman Perumahan, Putrajaya itu terdiri daripada mereka yang mengenakan pakaian formal pejabat.

Bagi kaum wanita yang mempunyai masa rehat lebih panjang pada hari Jumaat, semestinya mereka tidak ketinggalan mengatur langkah ke pasar tani itu untuk mencari barangan rumah yang murah.

Urban yang sempat meninjau suasana di pasar tani itu baru-baru ini, mendapati suasana kemeriahan Pasar Tani Mega tersebut mencapai waktu puncaknya di antara pukul 12.30 hingga 2 petang.

Biarpun cuaca panas terik, ia sedikit pun tidak menghalang pengunjung untuk berjalan bagi meninjau barangan jualan di seluruh kawasan Pasar Tani yang luas itu.

Kemeriahan pasar tani pada waktu tengah hari solat Jumaat itu juga diakui sendiri oleh Setiausaha Pasar Tani Mega Putrajaya, Siti Zaleha Osman.

Katanya, pengunjung yang paling ramai singgah pada waktu tengah hari adalah di kalangan kakitangan awam, selain pengunjung luar yang datang pada sebelah petang sehingga malam.

"Jangan terkejut kalau datang ke sini, anda dapat melihat kebanyakan para pengunjungnya berpakaian kemas dan berkemeja serta memakai tanda nama.

"Ini kerana, mereka semua adalah kakitangan awam yang tidak mahu ketinggalan merasai kemeriahan pasar tani yang mempunyai pelbagai barangan keperluan sama ada barangan basah atau kering," katanya.

Menurut Siti Zaleha lagi, pasar itu mempunyai kira-kira 400 peniaga yang menjual pelbagai barangan kering dan basah.

"Wanita yang bekerja, mungkin tidak cukup masa untuk ke pasar atau pasar raya. Tetapi apabila ada pasar tani seperti ini, mereka dapat menjimatkan masa kerana tidak perlu pergi jauh dari pejabat atau rumah untuk membeli barangan keperluan.

"Lebih penting lagi mereka boleh menjimatkan bajet barangan rumah kerana harga barangan yang lebih murah di sini," ujarnya.

Zaleha menambah, selain barangan keperluan harian, pengunjung juga boleh meninjau apa yang ditawarkan oleh syarikat swasta yang mengadakan promosi di gerai-gerai tertentu.

"Kadangkala, ada tawaran istimewa untuk pembelian kenderaan tempatan, pinjaman perumahan atau promosi hartanah," katanya.

Sementara itu seorang kakitangan awam, Nurhidayah Ibarahim, 33, memberitahu ramai kaum ibu yang singgah di pasar tani itu kerana mudah, murah dan menjimatkan masa.

"Daripada menghabiskan masa berbual atau keluar makan di tempat yang jauh kerana waktu rehat yang panjang, lebih baik singgah di sini sejam dua," katanya.

Antara barangan dan keperluan yang boleh didapati di Pasar Tani Mega Putrajaya termasuklah, pelbagai jenis makanan, minuman, barangan am dan pakaian.

Untuk kanak-kanak pula, permainan dan makanan ringan yang banyak ditawarkan di sini menjadi produk yang paling digemari.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::