ATTENTION !!!

Tuesday, June 2, 2009

Blog Ilustrasi EMILAYUSOF

(Post: Bahasa Melayu)
"Buktinya, bilangan pengunjung dalam talian telah pun mencecah lebih daripada 236,000 setakat ini. Ia satu angka yang cukup menterjemahkan populariti tuan empunya badan."

Kanak-kanak perempuan itu comel dan bertocang dua. Berwajah bujur dan berseluar dalam di luar.

Pada wajahnya terpampang satu perasaan puas. Dia puas mungkin kerana dapat meniru gaya idola hati iaitu Superman.

Di atas bajunya tercatat Kapten Emot.

Ya, inilah Adik Emot cetusan idea kecil pelukis sambilan, Nor Emila Yusof, 41.

"Emot dan seorang lagi watak, Nora, yang berambut panjang mengurai ialah dua karakter ciptaan dan kegemaran saya."

"Apabila saya membandingkan gaya lukisan dahulu dan sekarang, memang ada banyak perubahan. Jika dahulu kebanyakan karakter bermata besar dan kepala kecil, sekarang mereka lebih cenderung ke arah mata kecil," katanya sambil tertawa besar.

Seingat Emila, satu-satunya pendidikan formal subjek seni yang pernah diperoleh setakat ini hanya di sekolah rendah dan menengah.

Selama lebih sedekad bekerja dalam unit grafik dunia korporat, hati kecil Emila terdetik, sampai bilakah dia ingin terus duduk menghadap komputer, mereka letak bahan yang sama?

Persoalan itu akhirnya menemui jawapan apabila dia membuat keputusan meninggalkan segala-galanya dan menjadi 'bos' sendiri.

"Pada Ogos 2007, saya berhenti kerja dan melakukan kerja sambilan. Keputusan itu juga diambil supaya saya mempunyai masa untuk menjaga anak," katanya yang pernah melakukan pelbagai kerja sebelum menceburi bidang seni.

Jelas Emila, biarpun bekerja sambilan, memiliki kemahiran membina hubungan sangat penting. Pengalaman bekerjasama dengan agensi tertentu termasuk dengan pihak percetakan telah melancarkan kerja-kerja ilustrator sambilan sepertinya.

Justeru, sebelum berhenti daripada kerjaya korporatnya, dia sudah mula memanfaatkan kelebihan blog sebagai platform membina rangkaian kenalan.

Blog berjudul Emila's Illustrated Blog ini biarpun baru berusia lebih dua tahun, tetapi sudah ada himpunan peminatnya sendiri.

Gemar menggunakan cat air berwarna lembut untuk kebanyakan karakternya, dia biasanya akan memberikan sentuhan akhir dengan penggunaan pensel warna.

"Itulah gaya seni saya. Contohnya, lepas sapu cat air untuk warna latar dan dibiarkan kering, saya akan guna pensel warna bagi memberi tekstur pada rambut, baju dan sebagainya," katanya yang meminati warna oren dan biru.

"Kawan-kawan terpesona dengan Dolly dan syorkan agar saya buat bisnes daripadanya. Jadi, awalnya saya cuma kenakan bayaran AS$2 (RM7) setiap satu dan responsnya cukup memberangsangkan. Setakat ini, lebih daripada 150 kartun Dolly telah dilukis," katanya sambil memberitahu harga setiap Dolly telah dinaikkan sehingga AS$5 (RM17.70) sejak awal tahun ini.

Pelanggannya datang dari serata dunia dengan sebilangan besarnya dari Malaysia, Amerika Syarikat dan Britain.

Jelas Emila, untuk mendapatkan satu Dolly yang dibuat khas (custom-made), pelanggan hanya perlu mengirimkan gambar mereka secara email. Ini bagi membolehkannya menentukan karakter dan wajah Dolly yang mereka inginkan.

Biarpun kecanggihan teknologi membolehkan dia menerima tempahan merentasi benua, katanya, pelanggan luar negara lazimnya boleh dipercayai. Tidak timbul soal ditipu.

Sebaliknya, pengajaran terbesar pernah diterima Emila sepanjang bergelar seorang freelancer adalah apabila dia ditipu oleh kawan baik sendiri.

Berusaha melupakan insiden hitam itu, pelukis serba boleh ini juga seorang jurugambar berbakat. Anak kelahiran Raub, Pahang ini sering merakamkan gambar bagi keperluan rekaan kulit buku yang dikomisenkan kepadanya.

Antara yang memberinya 'mandat' mereka kulit buku termasuklah syarikat Wira Bukit Sdn. Bhd., agensi milik sasterawan negara, Datuk A. Samad Said.

Sebelum memutuskan gaya persembahan kulit buku yang ingin disampaikan, Emila lazimnya akan membaca manuskrip terlebih dahulu.

"Saya perlu dapatkan perasaan itu dahulu. Lepas itu, baru rancang rekaan kulit buku dan pergi ambil gambar. Misalnya, buku Keledang dan Dari Salina ke Langit Petang, semua ini bertemakan alam sekitar. Memandangkan Pak Samad pun harapkan tema alam, saya beri motif yang diperlukan," jelasnya yang mengagumi karya pelukis seperti Beatrix Potter, Helen Oxenbury dan Cicely Mary Barker.

Pada tahun depan, Emila akan menjengah ke Bologna, Itali untuk menghadiri Pameran Buku Kanak-kanak.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::