ATTENTION !!!

Thursday, June 11, 2009

Bisnes Lukisan Jubin

(Post: Bahasa Melayu)
"Tidak ada bezanya dengan kanvas. Kalau tidak suka atau tersalah lukis, basuh sahaja dengan air dan ia akan hilang. Kemudian, jubin perlu dibakar di dalam ketuhar bagi membolehkan warnanya tahan lama dan tidak mudah tertanggal."

Di atas meja kaca di dalam studio kecil di Damansara Perdana, barisan puluhan jubin dengan pelbagai motif dan warna pantas menarik perhatian.

Andai diteliti, paparan di atas permukaan jubin yang putih dan licin itu boleh terdiri daripada apa sahaja. Sama ada lukisan abstrak, watak hero, lirik lagu, binatang atau frasa pop yang popular.

Apa yang pasti, jubin bersaiz sama ada 2x2 inci atau 4x4 inci itu sudah ditransformasikan kepada satu bentuk seni yang comel, segar dan mampu membuat sesiapa sahaja ingin memilikinya.

"Secara purata, jubin-jubin ini akan dibakar dalam tempoh 30 minit, dibiarkan sejuk sendiri di dalamnya dan kering dalam masa 48 jam," jelas Nadiah Kimie, 31, sambil tersenyum.

Dia dan sahabatnya, Rekha Menon, mula mempamerkan hasil karya mereka di bazar seni yang dikenali sebagai Art for Grab sejak tahun lalu di Galeri Annexe Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Dengan bayaran RM100, mereka 'bekerjasama' mempamerkan hasil karya masing-masing di sana selama dua hari. Tanpa disangka, sambutan yang diterima begitu menggalakkan.

"Sangat mudah dan sesiapa pun boleh membuatnya. Kami bermula dengan 36 keping jubin. Kemudian, ada pula pelanggan yang memberi cadangan supaya jubin ini dihasilkan dalam bentuk set."

"Set yang terdiri daripada motif yang hampir sama, tetapi mempunyai warna berbeza. Ada seorang pelanggan wanita mahukan set ikan lumba. Biarpun lukisannya sama, warnanya berbeza."

"Jadi, pembeli akan memperoleh hasil yang eksklusif dan tidak akan diulang cetak," tambah Nadiah, menyatakan bahawa dia menggunakan cat arkrilik khas untuk porselin dan jubin seramik untuk melukis.

Set itu mungkin ada tiga atau lima keping jubin. Namun begitu, pelanggan juga boleh membeli satu atau dua sahaja, tidak semestinya beli semua.

Pada kali kedua program Art for Grab, mereka menjual jubin yang dilekatkan dengan magnet. Ia mendapat sambutan kerana pengunjung mempunyai lebih banyak pilihan.

"Berapa lama hendak disiapkan bergantung pada coraknya. Ada yang boleh disiapkan dengan cepat. Kalau yang senang seperti ini, cuma perlukan masa lima minit sahaja," kata Rekha sambil memegang sekeping jubin bergrafik abstrak berwarna hitam dan putih.

Bercerita tentang corak, Rekha dan Nadiah menyatakan, kebanyakannya adalah abstrak atau terdiri daripada gabungan idea.

"Kami akan mulakan siri I 'heart' seperti I Love KL dan sebagainya. Idea itu datang daripada seorang pelanggan. Seorang pelanggan lain pula mahukan siri superheroes. Ini termasuklah watak siri televisyen Heroes seperti Sylar, Hiro Nakamura, selain Wonder Women, Wolverine dan Batman."

"Ada juga individu meminta kami menghasilkan 100 keping jubin bermagnet untuk hadiah majlis perkahwinannya. Banyak sangat, jadi minta masa selama tiga bulan untuk siapkan," kata Rekha sambil memberitahu jubin ini dijual pada harga RM5 dan RM10, bergantung kepada saiznya.

Buat masa sekarang, mereka hanya 'memasarkan' produk dalam program Art for Grab.

"Memang ada yang minta supaya kami hasilkan dalam skala lebih besar seperti hadiah perkahwinan, perhiasan di bilik air, di samping ada pemilik kedai yang menawarkan untuk menjual jubin magnet di kedainya."

"Kami masih meneroka sebarang idea dan kemungkinan. Setakat ini, kami tidak mahu jadikannya sebagai satu bebanan. Kami mahu hasilkan jubin ini dalam keadaan yang seronok," ujar Nadiah.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::