Bantal Beanipet
(Post: Bahasa Melayu)
"Bila saya jahit bantal-bantal haiwan ini, saya rasa sangat gembira. Haiwan bagi saya, sangat comel dan mudah disayangi. Jadi, terdetik di hati, alangkah seronoknya jika ideologi ini boleh diterjemahkan dalam bentuk bantal."
Menjadi rutin harian Yue Jun Mei yang gemar menghasilkan bantal-bantal buatan tangan bermotifkan haiwan.
Menjenamakan bantal tersebut sebagai Beanipet, hobi uniknya itu berputik daripada satu alasan ringkas.
"Sebab saya suka peluk bantal. Soalnya, adakah orang yang tak suka?" jawabnya dalam nada teruja.
Di sudut 'studio' mininya terkumpul satu 'keluarga' haiwan - ada monyet, beluncas bulat, arnab, ular, harimau, tikus dan sotong kurita. Hadir dalam pelbagai saiz, bentuk dan warna, mereka terlalu comel untuk tidak dipedulikan.
Istimewanya, kesemua bantal haiwan itu tidak hanya berbeza dari segi warna, bentuk dan juga nama. Setiap satunya, jelas Jun Mei, ada karakter dan emosi yang tersendiri.
Meneliti kualiti jahitan dan kerja tangan Jun Mei yang begitu kemas, mungkin anda terkejut bahawa dia sebenarnya tidak tahu menjahit.
Pengetahuan jahitan asas yang ada hanya diperoleh daripada subjek Kemahiran Hidup di sekolah dulu. Selebihnya, kepakaran menjahit gadis langsing ini diperkasakan menerusi trial and error.
Dengan semangat yang berkobar-kobar untuk mencuba hobi barunya ini, Jun Mei membeli mesin jahit pertamanya pada Oktober tahun lalu.
Berbekalkan pengetahuan menjahit yang tidak seberapa itu lahirlah bantal sulungnya, seekor beruang bergelar Bear Bear.
Mengetengahkan motif haiwan dalam setiap rekaannya, pensyarah seni sepenuh masa di The One Academy ini sebenarnya menggemari karya berunsurkan alam sekitar.
Kini, kemahiran menjahit Jun Mei bagaimanapun bertambah baik. Daripada sekadar membuat bantal untuk kepuasan diri, dia kini mempunyai peminat karyanya sendiri. Buktinya, setakat hari ini, kira-kira 35 biji bantal berjaya dipasarkan menerusi blognya Beanipet.
Tambahnya, setiap rekaan bantalnya tidak akan diulang. Ini bermakna apa yang dimiliki pelanggan, tiada salinan kedua di dunia. Memperoleh ilham daripada kehidupan harian, bantal-bantal haiwan itu direka mengikut permintaan pelanggan masing-masing.
Memiliki pelanggan sejauh dari Sabah, harga bantalnya bermula dari RM75 hingga RM160 setiap satu bergantung kepada komplikasi rekaan.
"Setakat ini, saya rasa gembira dengan hobi ini. Rasanya jika pelanggan tak suka dengan hasil kerja saya, mungkin sukar untuk saya teruskan hobi ini," katanya.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment