ATTENTION !!!

Tuesday, February 17, 2009

Menternak Ikan Air Tawar

(Post: Bahasa Melayu)
"Mengakui tidak sukar mengusahakan ternakan tersebut, hasratnya cuma satu. Beliau mahu menjadikan kolam ternakannya itu sebagai antara lokasi eko-pelancongan yang terkenal di negeri ini suatu hari nanti."

Kepuasan bekerja bukan terletak pada wang ringgit. Itulah konsep dan pandangan hidup seorang Abdul Wahid Abdul Wahab, 46, yang bekerja sebagai pegawai pelantar cari gali petroleum di sebuah syarikat multinasional.

Baginya, pengalaman bekerja lebih dua dekad di laut termasuk dengan sebuah syarikat petrokimia Jepun sentiasa mengajarnya menjadi berani menempuh cabaran dan saingan.

Demi mencari kepuasan bekerja, Abdul Wahid memulakan langkah mengusahakan kolam ternakan ikan air tawar. Kolam tersebut dibina di atas tanah seluas empat ekar milik keluarganya di Kampung Sungai Batu, Chetok dekat Pasir Mas.

"Sebenarnya, saya anak kampung yang sudah sebati dengan selut dan lumpur, jadi saya tetap kembali ke asal," ujarnya berbekalkan modal RM100,000.

Setelah bercuti tanpa gaji selama enam bulan mengusahakan ternakan ikan air tawar ini, bapa kepada dua anak ini nekad berhenti daripada kerjayanya pada tahun 2009.

Beliau menerima bantuan berupa peralatan dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perikanan.

"Setiap bulan saya belayar dan telah menjejakkan kaki hampir ke seluruh pelosok dunia untuk tugasan yang mencabar ini. Meskipun gajinya lumayan tetapi lama-kelamaan ia bertukar rasa jemu," ujarnya.

Kata beliau, kedua-dua bidang ini memberinya kepuasan berbeza. "Kerja cari gali minyak memberi saya gaji puluhan ribu setiap bulan, tetapi menternak ikan air tawar bergantung kepada ketekunan dan kerajinan," jelasnya.

Abdul Wahid yang berasal dari kampung Penambang, Kota Bharu kini menetap di Kampung Sungai Batu, Chetok. Beliau mahu menumpukan kepada perusahaan menternak dan menjual benih ikan air tawar kepada peniaga dan pengusaha ikan.

Tambah Abdul Wahid, antara jenis-jenis ikan yang banyak diternak dan dijual benihnya ialah ikan patin, ikan keli Afrika, ikan puyu dan ikan hiasan.

Beliau bercadang untuk menjadikan kawasan kolamnya itu sebagai lokasi pelancongan. "Saya bercadang mahu menyediakan kemudahan penginapan desa kepada pengunjung.

"Saya akan daftarkan kawasan ini sebagai salah satu pusat pelancongan dengan aktiviti memancing sambil menikmati keindahan alam sekitar," katanya yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tambahnya, dia mahu buktikan kepada remaja kampung hari ini bahawa mereka mampu mengubah nasib sendiri dengan syarat mempunyai semangat dan iltizam tinggi.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::