ATTENTION !!!

Wednesday, February 18, 2009

Lintah Agro Farm

(Post: Bahasa Melayu)
"Mengenai cabaran yang dihadapi, katanya, mereka sekeluarga pernah dikecam oleh masyarakat sekitar kerana menternak lintah yang dianggap hodoh dan menggelikan. Namun, setiap kecaman itu disambut dengan tekad untuk membuktikan bahawa ternakan lintah ini boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan."

Mendekati salah sebuah daripada 12 buah kolam yang terdapat di Kampung Lubuk Kelubi, Hulu Langat, Selangor, tiada yang istimewa. Kolam yang dijengah kelihatan sama seperti kolam ternakan lain.

Dengan menggunakan sebatang kayu, pemilik kolam ternakan ini, Nurulhuda Mohd. Yusof, 29, mengocak-gocak air di kolam tersebut.

"Salah satu sifat lintah, ia akan menyembunyikan diri daripada cuaca panas dengan mencari ruang-ruang sejuk untuk berteduh. Tetapi, apabila air diusik, haiwan ini akan keluar."

"Mungkin kerana ia merasakan ada 'mangsa' atau makanan di tempat yang diusik itu," kata Nurulhuda yang ditemui di ladang lintah milik keluarganya, Lintah Agro Farm baru-baru ini.

"Sebut sahaja lintah, pasti ramai yang akan berasa geli dan ketakutan. Namun, bagi saya, haiwan yang dianggap hodoh oleh segelintir orang itu mempunyai manfaat yang besar kepada kehidupan. Sebab itulah, kami sekeluarga menternaknya."

Ilham untuk menternak lintah muncul selepas menyertai kursus yang dikendalikan oleh sebuah syarikat yang terlibat dalam bidang bioteknologi pertanian dan penternakan.

"Kami merasakan ternakan lintah adalah yang paling sesuai."

"Ini kerana dengan keluasan tanah kira-kira satu ekar suku, kami boleh membina 12 buah kolam sebesar 7.9 meter x 18 meter dan menternak lintah secara semula jadi dengan penjagaan yang ringkas. Haiwan ini mudah diberi makan dan tahan lasak terhadap penyakit," katanya.

"Apabila lintah mencecah tahap matang, ia akan dituai dan hasilnya dibekalkan kepada penternak baru, mereka yang membuka perniagaan rawatan alternatif seperti bekam dan peniaga yang membuat minyak lintah."

"Selain itu, Lintah Agro Farm juga membekalkan lintah kepada individu persendirian yang mahukan haiwan ini untuk diri mereka," kata Nurulhuda.

Katanya lagi, "Pada masa ini, permintaan terhadap lintah amat tinggi dan ada permintaan yang melibatkan penghantaran sebanyak satu hingga tiga tan lintah dalam sebulan."

Nurulhuda berkata, harga lintah bergantung pada saiz dan jumlah yang dibekalkan.

"Biasanya, ia dijual pada harga RM1.50 atau RM2.00 seekor," ujarnya.

Menariknya tentang lintah, kata Nurulhuda, sebanyak 200 ekor lintah boleh menghasilkan kira-kira 10,000 anak lintah dan Lintah Agro meletakkan 1,000 ekor induk lintah dalam setiap kolam.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::