ATTENTION !!!

Thursday, February 19, 2009

Bot Laju Body Guard F1 Boat

(Post: Bahasa Melayu)
"Tujuan saya menghasilkan bot F1 ini adalah bagi membuktikan rakyat Malaysia juga mampu menghasilkan rekaan bertaraf dunia walaupun ia cuma menjadi alat kawalan jauh."

Deruman enjin bot kawalan jauh 'Body Guard F1 Boat' milik Abdul Latiff Osman, 58, mungkin tidak segagah atau selaju F1 Powerboat yang asal, namun kejayaannya menghasilkan replika bot berkuasa tinggi itu harus dikagumi kerana ia diakui hampir 80 peratus menyamai bot berkuasa tinggi sebenar.

Jika sebuah F1 Powerboat mampu memecut dengan kelajuan melebihi 250 kilometer sejam (km/j), bot F1 milik Latiff dengan skala 1:6 pula boleh mencapai kelajuan sehingga 120 km/j bergantung kepada jenis enjin selain faktor cuaca.

Mengagumkan, tetapi bagi menghasilkan bot itu, Latiff terpaksa mengambil masa hampir 31 tahun dengan pelbagai peringkat ujian dan kegagalan terpaksa ditempuhinya semata-mata bagi menghasilkan bot berkuasa tinggi kawalan jauh ini.

Lebih membanggakan apabila seorang usahawan permainan kawalan jauh dari Mississippi, Amerika Syarikat, Derrick Collet, diberi hak mengeluar dan memasarkan Body Guard F1 Boat dengan ia dijangka memasuki pasaran negara berkenaan selewat-lewatnya sebelum sambutan Hari Natal ini.

Latiff yang berasal dari Kampung Tupong, Petra Jaya, berkata bot miliknya itu tidak hadir dengan mudah kerana keyakinan menghasilkannya hanya timbul selepas melihat rekaan awal bot F1 mampu menewaskan bot import yang digunakan peminat sekitar Kuching, Kuala Lumpur, Brunei dan Singapura.

Katanya, proses mendapatkan rekaan sudut aerodinamik serta hidrodinamik bot yang tepat adalah tugas paling sukar kerana beliau terpaksa memikirkan reka bentuk yang mampu 'memotong' rintangan angin dan air serentak.

Paling membanggakan pada Kejohanan Dunia F1 Powerbot 2004, beliau diberi penghormatan melakukan demonstrasi bot F1 miliknya di depan ribuan penonton tempatan dan asing malah jurutera salah satu pasukan F1 Powerboat turut tidak menyangka botnya masih stabil walaupun berada dalam kelajuan tinggi.

Latiff berkata, kelebihan Body Guard terletak pada kekuatan rekaan dan kemampuannya menampung enjin gergaji elektrik serta mesin rumput yang lebih berat berbanding enjin bot import yang lebih ringan.

Andai sebuah badan bot kawalan jauh berharga antara RM1,000 hingga boleh mencecah RM5,000 bagi model import, Latiff hanya menjualnya dengan harga serendah RM700 bergantung pada bahan yang digunakan.

"Harga mahal belum tentu menjamin kemenangan bot kerana saya cuma menggunakan kayu dan sedikit karbon fibre bagi bahagian bawah bot ini dengan kosnya cuma RM700."

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::